Sunday, 14 June 2015

Saya Punca Krisis 1MDB, Kata Tun M???



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir 
Mohamad menyifatkan tuduhan Perdana 
Menteri yang mendakwa beliau penyebab 
berlakunya krisis pada hari ini sebagai satu 
cubaan Datuk Seri Najib Tun Razak agar 
semua pihak menerima episod kehilangan 
wang berbilion ringgit serta menganggap 
sebarang salah laku tidak dilakukan.

Menurutnya, kehilangan wang disebabkan 
1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu 
tidak boleh dibiarkan sebaliknya, pihak 
yang bertanggungjawab perlu diadili.

“Perdana Menteri kata Dr M (sayalah) di 
sebalik krisis ini. Saya akan akui bahawa 
saya di sebalik ‘krisis’ ini. Saya di sebalik
nya kerana wujud ketakutan dalam negara 
ini.

“Dengan menuduh saya bertanggungjawab 
terhadap krisis ini, Najib cuba mahu kita 
menerima kehilangan wang berbilion Ringgit 
dan berlagak seperti tiada salah laku 
dilakukan. 

Dari kepentingan dan kebimbangan yang 
ditunjukkan orang ramai atas kerugian 
dialami 1MDB, perkara ini tidak boleh 
diabaikan. Orang yang bertanggungjawab 
mesti disiasat dan jika didapati bersalah, 
mereka mesti dihukum.

“Krisis mungkin akibatnya tapi adakah kita 
wajar membiarkan pencuri mencuri berbilion 
ringgit hanya kerana mahu mengelakkan 
krisis?,” katanya melalui catatan terbaharu 
di blognya.

Sebelum ini, Najib berkata Dr Mahathir 
telah mendakwa beliau menimbulkan 
‘masalah lebih besar’ terhadap negara 
sedangkan sebahagian besarnya berpunca 
daripada perbuatan bekas perdana menteri 
itu sendiri termasuk serangan dan laungan 
pembohongan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, banyak 
pihak mengetahui kehilangan wang berbilion 
ringgit yang itu disebabkan 1MDB namun 
mereka takut tindakan yang bakal menanti 
daripada pihak kerajaan.

“Mereka tahu kerana melihat bukti kehilangan 
itu tapi mereka takut akan tindakan yang bakal 
dikenakan oleh kerajaan terhadap mereka. 
Mereka mungkin hilang kerja, kontrak atau 
pangkat dan sebagainya.

“Jadi, mereka datang jumpa saya dan minta 
saya buat sesuatu. Untuk sekian lama saya 
senyap sebab saya tahu jika saya dedahkan 
salah laku 1MDB, ia akan menyebabkan 
perdana menteri disoal siasat. Saya cuba 
buat senyap-senyap tapi tak ada kesan. 
Saya beritahu perdana menteri, saya tidak 
lagi menyokong dia. Tiada kesan.

“Jadi, saya kena dedahkan secara publik. 
Najib telah musnahkan Umno dan BN. Saya 
tahu dia akan kalah dalam pilihan raya akan 
datang dan seluruh negara akan huru hara 
tiada parti yang mempunyai majoriti untuk 
mentadbir negara. Jadi, saya putuskan untuk 
dedahkan salah laku 1MDB di mana perdana 
menteri adalah ketuanya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir akui krisis ini 
boleh diselesaikan sekiranya Najib meletak
kan jawatan dan membenarkan siasatan 
penuh dijalankan terhadap wang RM42 
bilion yang dipinjam 1MDB.

“Adakah krisis itu ada? Ia ada. Ia disebabkan 
perdana menteri mencipta 1MDB meminjam 
jumlah wang yang besar dan kehilangan 
berbilion ringgit. Krisis ini boleh ditamatkan 
segera jika perdana menteri meletakkan 
jawatan dan benarkan siasatan penuh. 
Selagi perdana menteri di situ, tiada siasatan 
yang sempurna dapat dijalankan.

“Kita lihat sendiri, bukan sahaja laporan 
polis terhadap 1MDB dan Jho Low tidak 
disiasat, bahkan tukang buat laporan juga 
disahkan bankrap, rumahnya disita dan 
dijual. Malah dia sendiri disiasat atas 
penggubahan wang haram dan membiayai 
pengganas. Mahkamah telah putuskan dia 
tidak bankrap.

“Jika tiada jenayah dikesan dan semua wang 
dipulangkan, Najib boleh kembali sebagai 
perdana menteri dan memimpin BN dalam 
pilihan raya akan datang,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-kira Wang 
Negara (PAC) mengumumkan bakal 
memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 
1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas 
CEO Datuk Shahrol Halmi pada awal Ogos 
bagi memberi keterangan berhubung isu 
1MDB setelah gagal hadir untuk memberi 
keterangan bulan lalu-Belantan.

No comments: