Wednesday, 3 June 2015

HUKUM KENAJISAN ANJING:SATU PENILAIAN SEMULA!!!



susunan:Hafiz Firdaus Abdullah

Apabila sahaja disebut tentang anjing, pasti ramai yang akan merasa jijik. Apabila sahaja melihat anjing, ramai yang akan cuba menjauhinya. 

Ini kerana kita sejak awal telah diajar bahawa anjing adalah najis yang berat. Akan tetapi pada masa kini, wujud beberapa suasana di mana kita terpaksa berada “berhampiran” dengan anjing. 

Sebagai contoh, terdapat beberapa lapangan terbang antarabangsa yang menggunakan anjing untuk mengesan dadah pada penumpang dan bagasi mereka. 

Ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kita kerana kesukaran untuk menyamak mana-mana bahagian yang telah disentuh oleh anjing tersebut.

    Dalam risalah ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian mengkaji semula, adakah benar anjing adalah najis yang berat? 

Adakah setiap kali anjing bersentuhan dengan kita, kita perlu menyamaknya? 

Sebelum dimulakan kajian ini, penulis ingin terlebih dahulu memberi muqaddimah tentang pandangan Islam terhadap haiwan secara umum.


Pandangan Islam Tentang Haiwan.


Islam adalah agama yang bukan sahaja menjaga hak-hak manusia tetapi juga hak-hak haiwan. Pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melintasi seekor unta yang kelihatan kempis perutnya kerana kelaparan. Lalu baginda bersabda:


Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan baik.[1]


Perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk “…bertaqwa kepada Allah terhadap haiwan-haiwan …” menunjukkan bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada Hari Akhirat nanti dengan bagaimana sikap kita terhadap haiwan. 

Jika kita menjaga mereka dengan baik, memberi hak-hak mereka seperti makanan, minuman dan tempat berteduh, kita akan memperoleh ganjaran daripada Allah. 

Sebaliknya jika kita menzalimi mereka, maka kita akan memperoleh azab daripada Allah. Dua hadis berikut perlu menjadi sumber iktibar bagi kita:


Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.[2]


Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya.
Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya
untuk makan serangga di tanah.[3]


    Daripada hadis-hadis di atas, jelas bahawa sikap kita terhadap haiwan memiliki kedudukan yang penting di dalam agama sehingga melibatkan antara syurga dan neraka. 

Oleh itu hendaklah kita sentiasa memerhatikan sikap kita terhadap haiwan. Jangan dihadkan belai kasih kepada haiwan peliharaan sahaja tetapi hendaklah diluaskan kepada haiwan-haiwan yang lain. 

Sebagai contoh, jika di persekitaran rumah ada kucing yang menjadi pemeliharaan seseorang dan beberapa kucing lain yang berkeliaran, janganlah makanan disediakan untuk kucing yang dipelihara sahaja. Sediakan juga makanan kepada kucing-kucing yang lain.

    Berdasarkan hadis-hadis di atas juga, kita patut bersikap terbuka untuk menilai semula, sejauh manakah pendapat yang mengatakan anjing adalah najis berat. Pendapat ini memang masyhur akan tetapi kemasyhuran sesuatu hukum tidak menjamin kebenarannya. Justeru marilah kita menilai semula hukum kenajisan anjing.


Hukum kenajisan anjing.


Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.[4]


Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari– hadis no: 172. 

Dalam riwayat-riwayat lain diterangkan bahawa salah satu basuhan hendaklah bersama dengan tanah. Sebahagian riwayat menyebut basuhan kali pertama, sebahagian lagi kali terakhir dan sebahagian lagi kali ke-lapan. Yang rajih (kuat) adalah basuhan kali pertama kerana sifat riwayat-riwayatnya.[5]

Berdasarkan hadis ini wujud dua pendapat tentang kenajisan anjing. Pendapat pertama berkata anjing adalah najis keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ianya tidak najis keseluruhannya. Perinciannya adalah seperti berikut:


Pendapat pertama dan dalil-dalilnya:


Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat Mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali.[6] Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini.

Dalil pertama adalah berdasarkan kaedah qiyas. Suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing. 

Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya  - yakni seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing adalah najis.


Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadis:

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”


Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Hakim. Berdasarkan hadis ini difahami bahawa anjing adalah najis (berbeza dengan kucing yang bukan najis).


Pendapat kedua dan dalil-dalilnya.


Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali mulut, air liur dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai najis.[7]

Tokoh-tokoh Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan kepada ketaatan kepada Allah semata-mata (ta’abudi). 

Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadis Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu dan tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. 

Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan tersebut adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]


Berdasarkan gabungan dalil-dalil ayat di atas dan hadis-hadis yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk memburu, mazhab Maliki berpendapat bahawa mulut, lidah dan air liur anjing bukanlah najis.

Sedikit berbeza adalah mazhab Hanafi di mana mereka berpendapat anjing bukan najis kecuali mulut, lidah dan air liurnya adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada hadis yang pertama di atas.


Pendapat yang rajih (kuat):

Pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah pendapat yang kedua. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:


Pertama:

Kaedah qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh anjing sebagai najis adalah qiyas yang lemah.

Ini kerana asal pengusulan kaedah qiyas adalah bagi mencari hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya wahyu – al-Qur’an dan al-Sunnah.

‘Illat atau sebab bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.

Menggunakan qiyas untuk menghukum keseluruhan anjing sebagai najis dianggap lemah kerana anjing pada asalnya sudah wujud pada zaman turunnya wahyu. 

Bererti ia bukanlah kes yang baru. Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.

Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada kedudukan yang asal, iaitu halal/harus/bersih. Firman Allah:

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. [al-Baqarah 2:29]

Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. [al-Jatsiyah 45:13]

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? [Luqman 31:20]


Kesimpulannya, anjing adalah haiwan yang sedia wujud pada zaman Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Apabila tiada ketentuan hukum diturunkan dalam persoalan najis atau tidaknya anjing, bererti hukum anjing kembali kepada yang asal, iaitu ia adalah haiwan yang tidak najis.


Kedua:

Hadis yang menerangkan keengganan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memenuhi undangan kerana ada anjing di dalam rumah adalah lemah (dha‘if). Berkata Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh ketika mentakhrij hadis tersebut:[8]

Dikeluarkan oleh Ahmad (2/442), al-Hakim (1/183), al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ (3/386) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (1/151); setiapnya daripada jalan ‘Isa bin al-Musayyab, daripada Abi Zur’ah, daripada Abi Hurairah.

Berkata al-Hakim: “Dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq) dan tidak tidak dicela secara pasti.”

Namun ini kemudiannya diikuti dengan komentar al-Zahabi: “Berkata Abu Daud (tentang ‘Isa bin al-Musayyab): Dha’if. Berkata Abu Hatim: Tidaklah dia kuat.”

Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Yahya bin Ma’in bahawa dia berkata: “‘Isa bin al-Musayyab dha’if.” Berkata al-Haitsami di dalam al-Majma’ (4/48):

“Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat ‘Isa bin al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan dha’if oleh selainnya.” (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (6/288): “Dianggap shaduq akan tetapi kuat.”

Demikian takhrij oleh Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh. Selain itu, al-Daruquthni dan al-Baihaqi menilai ‘Isa bin al-Musayyab sebagai “shalih al-Hadis.” Akan tetapi dalam ilmu hadis sedia diterangkan bahawa apabila bertembung celaan dan pujian, hendaklah diunggulkan celaan tersebut.

Oleh kerana itu Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daruquthni (Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jld 1, ms 103 telah mengkategorikan hadis ini sebagai: “Hadis Dha’if.”

Kesimpulannya, hadis ini dha’if dan tidak boleh dijadikan sumber dalil dalam perkara hukum.


Ketiga:


Hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafi’iy berakhir dengan lafaz:“Sesungguhnya kucing bukan najis.” Lafaz ini sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Lafaz yang terdapat dalam Sunan al-Daruquthni adalah:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami.” Maka baginda menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada anjing.” Mereka berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing.” Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau).”


Oleh itu al-Hafiz al-‘Iraqi telah berkata:[9]

Seandainya sabit tambahan ini (yakni “Sesungguhnya kucing bukan najis.”), ia telah menjadi sumber pendalilan yang masyhur. Akan tetapi ianya tidak dikenali asal usulnya di dalam mana-mana kitab hadis yang sedia ada. Padahal hadis ini diriwayatkan dengan tambahannya oleh Imam Ahmad, dalam Musnadnya, al-Daruquthni dalam Sunannya dan al-Hakim dalam al-Mustadraknya daripada riwayat ‘Isa bin al-Musayyab daripada Abi Zur’ah daripada Abi Hurairah, kecuali mereka tidak menyebut dalam (kitab-kitab mereka) lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Sesunguhnya yang disebut adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

“Kucing adalah sejenis binatang buas.” Dan berkata al-Daruquthni sesudah mengeluarkan hadis tersebut: “’Isa bin al-Musayyab Shalih al-Hadis.” Dan berkata al-Hakim: “Hadis ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan (oleh al-Bukhari atau Muslim) dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah, akan tetapi (tak mengapa) kerana dia benar (shaduq) dan tidak dicela secara pasti.”

Saya (al-Hafiz al-Iraqi) berkata: Bahkan yang benar dia telah dicela oleh Ibn Ma’in, Abu Daud, al-Nasa’iy, Ibn Hibban dan al-Daruquthni sendiri di tempat yang lain.

Kesimpulannya, hadis yang dijadikan dalil kenajisan anjing tertolak dari dua sudut: 

pertama adalah kelemahan sanadnya manakala kedua adalah tambahan lafaz“Sesungguhnya kucing bukan najis” yang sebenarnya tidak wujud dalam mana-mana kitab hadis.

Berdasarkan tiga sebab di atas, maka yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua, iaitu anjing tidak najis. 


Hadis yang menyuruh menyucikan bekas yang dijilat oleh anjing tidak semestinya bererti jilatan anjing itu najis, sebagaimana kita manusia juga disuruh berwudhu’ dan bertayamum – suruhan ini tidaklah bererti kita najis. Akan tetapi ia adalah ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya semata-mata.


Inilah juga merupakan pendapat Yusuf al-Qaradhawi. Setelah mengkaji dalil masing-masing mazhab, beliau merumuskan:[10]

Di antara yang najis ialah air liur anjing. Disebut dalam Shahih al-Bukhari  dan Muslim daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu,
maka basuhlah ia tujuh kali.

Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya (al-Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal tentang kenajisannya.  Dengan demikian, jelaslah tentang najisnya air liur anjing itu.

Bahkan, di sana ada beberapa fuqaha yang menyebut tentang kenajisan semua anggota tubuh anjing.  Padahal tidak ada dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun sunnah Rasulullah.  

Sedangkan pengambilan dalil tentang dijilat atau minumnya anjing dari tempat air, maka itu khusus untuk sesuatu yang dijilat saja.  Tidak ada yang menunjukkan pada kenajisan anjing secara keseluruhan: daging, tulang, darah, bulu, dan keringat.  

Sedangkan mengqiyaskan ini dengan jilatan anjing, adalah bentuk qiyas yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam al-Syaukani.  Khususnya jika dikaitkan dengan hadits ‘Abd Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan)


“Anjing masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat
tidak memercikkan air apa pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud).


Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian semua anggota tubuh anjing dan mengatakan, sesungguhnya dicucinya tempat yang dijilat anjing adalah masalah yang bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya Allah yang tahu.  Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah mengamalkan apa yang ada di dalam nash walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya.  Ini adalah madzhab Imam Malik.

Imam Malik berhujah bahwa Allah membolehkan makan dari hasil buruan anjing tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya.  Sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu.
Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu
dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]


Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada pendapat Imam Malik bahwa semua yang hidup adalah suci.  Demikianlah juga dengan anjing.  Dalam zatnya dia suci.  Oleh sebab itulah dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil buruannya.  Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat anjing adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi. Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang menyangkut air liur anjing bahwa di dalamnya ada penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan lebih mengejutkan.

Sekian al-Qaradhawi.


Di atas merupakan pendapatnya yang terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.

  
Seterusnya terdapat tiga persoalan lanjut yang perlu dijelaskan:


Persoalan pertama:


Jika anjing tidak najis, haruskah kita mencuci jilatannya jika ia menjilat kita atau perkakas kita?

Penjelasan kepada persoalan pertama:

Jawapannya ya, berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menyuruh kita mencuci jilatan anjing. Kita mencucinya bukan kerana ia najis tetapi kerana taat kepada perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.


Persoalan kedua:

Apabila tersentuh jilatan atau air liur anjing, adakah cara menyucinya wajib dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah atau boleh dicuci dengan apa sahaja yang bersifat menyucikan?


Penjelasan kepada persoalan kedua:


Di sini para fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan bahawa sebahagian fuqaha Syafi‘iyyah dan Hanabilah kontemporer membolehkan penggunaan sabun. Bahkan Mazhab Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib, ia sunnah sahaja.

Pendapat yang dipertengahan lagi mendekati hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah mencuci jilatan anjing dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah. 

Akan tetapi jika tidak ditemui tanah atau pada saat itu tidak sesuai untuk menggunakan tanah maka dibolehkan menggunakan sabun atau apa jua yang sifatnya menyucikan. 

Ini kerana mencuci jilatan anjing ialah duduk dalam bab ketaatan kepada perintah syari‘at dan ketaatan ini adalah berdasarkan kemampuan setiap individu berdasarkan kesenangan dan kesukaran yang dihadapinya. 

Jika menghadapi kesukaran untuk mentaatinya maka syari‘at memberi kelonggaran sekadar mana yang perlu. Allah Subhanahu wa Ta‘alaberfirman:

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. [al-Taghabun 64:16]

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Apa sahaja yang aku larang kamu daripadanya maka tinggalkanlah ia dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu dengannya maka lakukanlah ia sedaya upaya kamu.[11]



Persoalan ketiga:


Bolehkah memelihara anjing sebagai haiwan kesayangan (pet)?

Penjelasan bagi soalan kedua:

Jawapan kepada soalan kedua boleh diperolehi dengan merujuk kepada hadis berikut:

Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.[12] [Shahih Muslim – no: 1574]


Terhadap hadis di atas para fuqaha berbeza pendapat adakah haram atau makruh untuk memelihara anjing atas sebab-sebab selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya, sebagaimana ulas al-Syaukani:[13]

Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara anjing atas sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di atas). Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya (memelihara anjing selain daripada tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram.

Kesimpulannya, makruh hukumnya untuk memelihara anjing kecuali jika memiliki sebab-sebab yang tertentu demi menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. 

Adapun hikmah hukum makruh ini antara lain adalah kerana memelihara anjing akan menyebabkan malaikat rahmat menjauhi rumah kita, menimbulkan rasa takut kepada tetamu dan salakannya mengganggu ketenteraman jiran.


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1995), hadis no: 23.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnyahadis no: 3467 (Kitab hadis-hadis al-Anbiya’).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnyahadis no: 3318 (Kitab permulaan penciptaan).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – hadis no: 172 (Kitab Wudhu, Bab jika anjing minum daripada bekas air……)
[5] Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq Bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut), jld. 1, ms. 369-370 dan al-Albani – Irwa’ al-Ghalel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktab al-Islami, Beirut 1985), jld 1, ms 62.
[6] Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa ‘Adilatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1994), jld. 1, ms. 305
[7] Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, jld. 1, ms. 305.
[8] Sunan al-Daruquthni (Dar al-Ma’refah, Beirut 2001), jld. 1, ms 171.
[9] Thahr al-Tastrib bi Syarh al-Taqrib al-Asanid wa Tartib al-Masanid (Dar al-Fikr, Beirut), jld. 2, ms 123.
[10] Fiqh al-Thaharah (edisi Indonesia atas judul yang sama; al-Kautsar, Jakarta 2004), ms. 21-22.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1337. Rujuk juga Hadis 40 al-Imam al-Nawawi – hadis no: 9.
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1574 (Kitab al-Masaqah, Bab perintah membunuh anjing……)
[13] Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Abrar (Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 5, ms. 204.

2 comments:

MDDZAHIR said...

KENAPALAH PERLU MELETAKKAN GAMBAR FAZURA DLM SATU FRAME GAMBAR TU? APA KAITANYA...SEOLAH-OLAH MENGHINA PULA..

Kutukan Dewata said...

sbb dah viral kisah dia dengan selfie anjing.jadi aku nak perjelaskan hukum kenajisan ini supaya orang tidak cepat menghukum tanpa tahu asas hukumnya! menghina tu bergantunglah pada persepsi awak sendiri.baca habis dan fahamkan.barulah tahu maksud kau!