Sekali Serban Dililit.
Tuah Anak Tok Guru
1. Saya hanya anak seorang peneroka felda. Bukan anak kepada seorang Tok Guru. Namun saya adalah anak murid kepada Tok Guru. Seperti orang lain juga, saya pernah dan sempat berguru dengan Tuan Guru Hj Yusuf Rawa, Tuan Guru Hj Fadhil Noor, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Hj Abdul Hadi dan ramai lagi yang sengaja saya tidak menyebut nama - nama mereka di ruang ini kerana tidak termasuk dalam subjek tulisan saya pada kali ini.
2. Empat Tok Guru ini pernah hidup sezaman dan mereka sangat akrab malah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalam memimpin PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang unggul di Malaysia. Kini kita kehilangan mereka kecuali Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang masih hidup bersama kita. Semoga Allah swt merahmati ruh tok - tok guru yang telah pergi meninggalkan kita.
3. Semasa hayat hidup 3 tok guru ini, saya sempat menyaksikan bagaimana kepimpinan mereka. Kini tinggal Tok Guru Hj Abdul Hadi menyambung baton perjuangan mereka. Sepanjang saya mendampingi Tok Guru Hj Abdul Hadi, beliau tidak pernah mempersoal, mempertikai apa lagi menceritakan suatu yang negatif mengenai tok - tok guru yang terdahulu. Malah apa yang sering diceritakan kepada kami ialah kehebatan tok - tok guru sebelumnya. Jelas akrabnya persahabatan dan eratnya ukhuwwah diantara mereka.
4. Tidak semena - mena mutaakhir ini dimusim menghadapi muktamar pemilihan PAS, saya dapati beberapa pentas dianjurkan untuk menampilkan anak - anak kepada al marhum Tok Guru bertiga. Secara positif saya gembira melihat kelibat pewaris tok guru tersebut. Semoga mereka bakal mewarisi perjuangan ayahanda mereka.
5. Namun harapan saya agar janganlah anak - anak Al Marhum Tok Guru itu diguna, diusung dan diarak dari satu pentas ke satu pentas yang lain untuk memperkecil dan mempertikai secara terbuka peribadi dan kepimpinan sahabat karib ayahanda mereka iaitu Tuan Guru Hj Abdul Hadi.
6. Biarlah orang lain memperkecil jasa dan ketokohan Tok Guru Hj Hadi, tapi jangan anak - anak Al Marhum Tok Guru bertiga itu, kerana sekali lagi saya sebut bahawa Tok Guru Hj Hadi adalah sahabat karib ayahanda mereka.
7. Sepanjang persahabatan saya dengan Ust Mohd Khalil Abdul Hadi yang merupakan anak kepada Tok Guru Hj Hadi dan Ust Nik Mohd Abduh yang merupakan anak kepada Al Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz, Alhamdulillah saya dapati mereka tidak pernah mempersoal dan memperlekeh al Marhum Tok - Tok Guru yang menjadi sahabat karib ayahanda mereka .
Saya mengajak anda semua untuk sama - sama kita hayati firman Allah swt :
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
Surah Al Hasyr : 10
Sekian.
No comments:
Post a Comment