Thursday, 18 February 2016

Utusan dari NERAKA.



Gambaran berikut cukup jelas menceritakan mengenai segolongan manusia yang mewakili Makhluk Ganas seperti yang disebut dalam alQuran. Ganas, zalim dan merosakkan. Sesuai dengan sifat Yakjuj dan Makjuj.

“Mereka menunggang unta dan kuda dengan tangkas, tubuh mereka bagaikan besi, wajah membara, tatapan muka garang, leher pendek, telinga lebar berbulu dan memakai anting-anting, kulit kasar penuh kutu dan baunya amat busuk.” Amir Khusraw memberi gambaran tentang orang-orang Monggol itu. 
Penulis lain mengatakan "bahawa mereka seperti keturunan anjing saja, wajah rajanya seperti binatang buas dan berkata bahawa tuhan mencipta mereka dari api neraka.”
 
“Jengis Khan naik ke atas mimbar masjid dan mengaku sebagai cemeti Tuhan yang diutus untuk menghukum orang-orang yang penuh dosa.” 
- Juwayni sejarawan abad ke-13 menulis dalam bukunya Tarikh-I-Jehan Gusan.

Imbas kembali pesanan dari Rasulullah SAW mengenai serangan besar kaum bermata sepet ke atas kerajaan Islam. Perkara ini benar-benar berlaku dalam tahun 1258 M. Kekhalifahan Abbasiah mengalami kekalahan total dan bumi Baghdad hancur luluh.

Nabi Muhammad tiba-tiba terbangun dari tidurnya dengan muka merah padam. Seperti diceritakan oleh Zainab binti Jahsy, ketika terbangun itu, Nabi tiba-tiba berkata, 

“Tiada Tuhan yang patut disembah selain Allah. Sungguh kerosakan akan menimpa bangsa Arab akibat datangnya kejahatan yang telah dekat. Hari ini, sebuah lubang sebesar ini telah terbuka di dinding Ya’juj dan Ma’juj. “

Ketika itu, Nabi membuat tanda lubang dengan ibu jari dan jari telunjuknya.


Adakah mereka ini yang digelar Yakjuj dan Makjuj?

Asal usul Monngol adalah pecahan kaum
Turk yang berhijrah ke arah timur


Dari Abu Bakrah bahawasanya Rasulullah telah bersabda:
Akan ada segolongan kaum dari umatku yang menetap di sebuah daerah yang mereka namakan Bashrah, di sisi sebuah sungai yang disebut Dijlah (Dajlah), dan di atas sungai itu ada sebuah jambatan. Penduduk daerah itu akan bertambah banyak, dan ia akan menjadi salah satu negeri dari negeri-negeri orang-orang yang berhijrah."  
[Perawi Muhammad ibnu Yahya berkata: Abu Ma’mar meriwayatkan dengan mengatakan: negeri-negeri kaum muslimin].

"Kelak di akhir zaman Bani Qanthura’ yang berwajah lebar dan bermata sepet akan datang menyerbu, sehingga mereka mencapai tepian sungai Dajlah. Pada saat itulah penduduk daerah itu akan terpecah menjadi tiga kelompok. 
Satu kelompok mengikuti ekor sapi (menuntun binatang mereka) dan menyelamatkan diri ke pedalaman, mereka akan binasa. 
Satu kelompok lainnya memilih menyelamatkan dirinya dengan jalan memilih kekafiran. 
Adapun kelompok terakhir menempatkan keluarganya di belakang mereka dan bertempur melawan musuh. Mereka itulah orang-orang yang akan mati syahid.” HR. Abu Daud, dihasankan oleh Al Albani. 
“Adapun satu kelompok yang terakhir menempatkan keluarganya di belakang punggung mereka dan mereka maju berperang menyongsong musuh. Orang-orang yang terbunuh di antara mereka adalah orang-orang yang mati syahid, dan Allah akan melimpahkan kemenangan kepada mereka melalui orang-orang yang tersisa.” HR. Ahmad-shahih.

Sewajarnya kita mengambil iktibar dari sejarah. Sejarah tidak pernah menipu tetapi manusia sendiri yang menipu sejarah. Ramai yang masih belum sedar sehingga kini, masih ragu dan tidak percaya bahawa Yakjuj dan Makjuj telah lama turun menghancurkan muka bumi ini.

Disebalik bilangan manusia yang berwatak Yakjuj dan Makjuj ini, para pengikut mereka juga akan menjadi sebahagian dari mereka. Ia menyebabkan keluarga Yakjuj dan Makjuj ini semakin hari semakin membesar sehingga sebahagian besar muka bumi ini dipenuhi oleh mereka. Mereka melakukan 'fasad' iaitu memusnahkan apa sahaja yang ada. Tamak dan tidak pernah bersyukur.


Sejarah telah menunjukkan sebahagian dari manusia Yakjuj dan Makjuj ini boleh berubah menjadi Mukmin begitu juga sebaliknya. Kaum Mukminin yang lalai dan ingkar bertukar watak menjadi Yakjuj dan Makjuj. Misteri ini hanya dapat dirungkai dengan memberi perhatian kepada beberapa petunjuk yang berkias dalam alQuran dan Hadis.


Ada banyak rahsia disebalik setiap kejadian. Kehancuran peradaban hebat di Asia Barat oleh tangan makhluk ganas dari Utara Dunia amat menyentuh perasaan. Bagaimana manusia primitif berjaya mengubah sejarah dan menghancur luluhkan sebuah peradaban. Mereka hanya suka berperang dan membunuh.


Di sebalik penderitaan dan kehancuran pemerintah Islam, ada peristiwa luar jangkaan muncul. Kerajaan Islam telah hancur berkecai meninggalkan kesan yang sungguh menyayat hati kaum Muslimin. Walaupun begitu, rahmat Allah tetap mengatasi segalanya. Kemusnahan ini mempunyai hikmah yang tidak terjangkau oleh akal manusia.



Setiap peristiwa yang terjadi semestinya ada penyebabnya. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, kejatuhan empayar Abbasiah pada 1258M pastinya akan memperlihatkan kejatuhan Islam secara total. Segalanya musnah jadi debu, bukan sahaja khalifahnya, malah seluruh cendekiawan, ulama dan hasil penulisan mereka ikut musnah. 


Segala peradaban yang gilang gemilang, bangunan-bangunan hebat yang dikagumi seluruh bangsa dunia hilang lenyap. Dibakar dan diruntuhkan. Jika dinilai dari situasi ini, Islam tentu sahaja akan ranap dan hilang dari permukaan bumi.


Sebaliknya, manusia ganas dan buas ini secara tiba-tiba telah bertukar wajah menjadi penakluk baru bagi kaum Muslimin pula. Mereka membawa Islam menyeberangi sempadan hingga ke India, China dan juga pendalaman negara mereka Monggolia. Kejadian ini memang aneh.

Walau apa pun keadaannya, Allah telah menghukum kaum bangsawan dan pemerintah Banghdad yang semakin lalai terhadap perintah agama dan lebih mencintai dunia. Berlumba mencari pengaruh dan saling besengketa. Meninggalkan sunnah dan memilih untuk bermusuhan sesama sendiri. Berpecah belah sehingga ada yang sanggup melakukan khianat.

Manusia ganas ini (Monggol) seolah-olah dihantar dari neraka untuk menghancur lumat peradaban yang amat dibanggakan ketika itu. Menghukum manusia lalai, tamak dan meninggalkan sunnah.

hiburan dan kemewahan melampau


Kegilaan kepada pangkat, kuasa, harta dan pengaruh menjadikan segala urusan hanya berkiblat kepada dunia. Ada maklumat menyatakan ulama dari berlainan mazhab juga saling berlumba dan memusuhi sesama sendiri. 

Ada di antaranya melibatkan pertumpahan darah sesama umat Islam akibat petelagahan antara pengikut. Pada waktu itu bilangan mazhab yang wujud tersangat kecil berbanding dengan apa yang wujud pada hari ini.

Kelalaian terhadap agama dan tertarik kepada dunia menjadikan bangsa Arab telah terjajah oleh nafsu. Keseronokan melebihi batas serta mabuk syahwat. Memilih untuk hidup mewah berbanding kesederhanaan yang dianjurkan oleh agama. 

Tak semena-mena datang satu kaum ganas dan gasar ini dan sekelip mata semuanya hilang bagai dipuput bayu. Bumi Baghdad sama seperti bandar-bandar besar yang lain telah diratakan oleh serangan Monggol, bertukar rupa menjadi padang jarak. Yang tinggal hanyalah epik Arabian Night - kisah 1001 malam yang terkenal itu.

kisah seribu satu malam


Mampukah manusia hari ini mengambil iktibar dari peristiwa ini? Rasanya tidak. Apabila hati sudah terpaut pada cara hidup mewah dan memanjakan nafsu, segalanya akan dicampak ke tepi. Ini adalah realiti kehidupan makhluk yang dicipta dari air yang jijik ini. Senonim dengan sifat 'bergopoh gapah' dan melebihi batas, ramai diantara kita kurang berminat untuk berfikir sebelum melakukan sesuatu. 

Hanya sedikit yang menyedari hakikat bahawa ini semua adalah ujian sementara hidup di muka bumi. Hanya sedikit yang bersedia mengorbankan hawa nafsu. Hanya sedikit yang meletakkan agama melebihi kuasa, harta dan 
pangkat.

Manusia inilah yang akan selamat. 

Selain daripada golongan ini, semuanya akan ditawan oleh dunia. 

Manusia yang sedikit inilah yang berjaya melepaskan diri dari menjadi pecacai Yakjuj dan Makjuj. Selain dari itu, semuanya secara tidak langsung bertukar watak menjadi sebahagian dari Yakjuj dan Majuj ini. Seperti kata pengkaji fenomena akhir zaman, Sheikh Imran Hosein dalam salah satu ceramahnya. 


Jika kita memuja Yakjuj dan Makjuj dan hidup selesa sebagaimana mereka anjurkan maka kita akan ditarik masuk menyertai kumpulan Yakjuj dan Makjuj, kita makan apa yang mereka makan, kita pakai apa yang mereka pakai.

Kita akan hidup seperti mereka dalam setiap aspek kehidupan. Kita tertarik dan begitu ingin menjadi seperti mereka. Kita bangga menggunakan bahasa mereka, kita kagumi kejayaan mereka, kita selesa perpakaian sepertimana mereka. 


Kita meniru gaya hidup mereka. Akhirnya kita percaya terhadap falsafah dan setiap kata mereka. Dalam tidak sedar kita telah mengangkat mereka sebagai idola dan contoh kehidupan untuk diikuti.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka". (Riwayat Muslim)
Seperti yang beliau (Syeikh Imran) sebutkan, jika dibayangkan 99.9 peratus manusia adalah Yakjuj dan Makjuj, berapa ramaikah lagi yang tinggal untuk menjadi pengikut Imam Mahadi? Jelasnya, memang hanya sedikit sahaja. Bilangan pengikut Imam Mahadi tersangatlah sedikit iaitu manusia beriman (0.1 peratus). Ratio (kadar) yang boleh diperkirakan ialah, hanya seorang yang beriman di kalangan 1000 orang manusia.

"Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat: Hai Adam, bangunlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu untuk ditempatkan ke dalam neraka, dan satu di antara mereka itu akan ditempatkan ke dalam syurga." (Ketika Rasulullah SAW menerirna firman Allah ini kemudian menyampaikannya kepada para sahabat), 
Rasulullah SAW menangis terisak-isak, demikian pula para sahabat lainnya, lalu beliau bersabda: "Angkatlah kepala kamu semua. Demi Tuhan yang menguasai jiwaku. (jika dibandingkan) dengan umat-umat Nabi yang lain, maka umatku bagaikan sehelai bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantan yang berbulu hitam".
(HR. Tabrani).

Adakah anda juga ikut menangis mendengar berita tersebut? Begitulah malangnya manusia akhir zaman ini. Jelas terbukti hanya sedikit sahaja yang akan selamat dari neraka Allah. Mahukah kita terus menerus mengikut cara hidup Yakjuj dan Makjuj dan akhirnya menjadi sebahagian dari mereka? 

Kita terdiri dari makhluk di akhir zaman ini, selain dari terpaksa menghadapi Dajjal, kita juga akan dimusnahkan oleh Yakjuj dan Majkjuj. Ini hanyalah sebuah peringatan untuk kita semua insafi, bukan bermaksud untuk memaksa anda.

Contoh, jika seluruh penduduk dunia berjumlah 10 billion orang, 10 juta orang sahaja yang menjadi pengikut Imam Mahadi nanti. Mampukah 10 juta orang beriman ini menentang 10 billion orang Yakjuj dan Makjuj selain dari Dajjal itu sendiri? 


Selain dari itu, kita sendiri belum pasti adakah kita termasuk di kalangan mereka "yang sedikit" itu. Tetapi harus di ingat bahawa golongan ini akan menghadapi sesuatu musibah yang sungguh dahsyat.

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)

Bersedialah menyertai kumpulan ini dan teruslah berdoa agar, kita termasuk di kalangan "golongan yang sedikit" tersebut kerana Yakjuj dan Makjud bakal menghuni neraka, Nauzubillah.

Daripada 'Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puIuh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri ku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, mana yang selamat"? Nabi saw. menjawab, “Mereka adalah jamaah".
(Ada yang membuat tafsiran "jemaah" itu bermaksud Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, namun ia tentu sekali bermaksud mereka yang berkasih sayang antara sesama Muslim - kefahaman kami).

Bagi pengkaji peristiwa akhir zaman, bukanlah mudah untuk menilai dan mengagak peristiwa yang bakal terjadi, namun atas keinsafan dan ketakwaan yang kuat pastinya mendapat petunjuk. Lihatlah dengan hati yang suci bersih dan insaflah dengan sebenar-benarnya. Perkara utama yang wajib ada di antara kita ialah sifat "kasih sayang" dan menjauhi tindakan "memutuskan tali persaudaraan" sesama Islam walau dalam keadaan apa sekali pun.



p/s- 
Legenda mengenai Ya’juj dan Ma’juj tidak hanya dikenali di dalam ajaran Islam. Dalam ajaran Kristian  pun kisah mengenai se kelompok manusia yang bakal membuat kerosakan besar di muka bumi itu juga diceritakan, lebih dikenali dengan nama Gog dan Magog. 

Adalah Zulkarnain, seorang raja besar pada masa lalu yang telah mengurung kaum Ya’juj dan Ma’juj di sebuah lembah di antara dua gunung tinggi (assaddain) dengan cara membina tembok penghalang terbuat dari besi dan tembaga, seperti diceritakan dalam Al-Quran surah al-Kahfi ayat 93-97.

No comments: