Masalah pernah timbul ketika zaman
pentadbiran Tun M apabila wang yang
dimasukkan ke akaun proksi UMNO sukar
untuk parti mendapatkannya kembali.
PUTRAJAYA: Jika dana dan harta UMNO
dipegang oleh proksi parti, ia mungkin
akan menimbulkan masalah, sepertimana
berlaku pada zaman pentadbiran Tun Dr
Mahathir Mohamad dahulu.
Oleh itu, lebih baik ia dipegang oleh
presiden parti sendiri daripada individu
yang tidak berjawatan di dalam parti,
kata Pengarah Komunikasi dan Strategi
Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul
Rahman Dahlan.
Beliau berkata derma dana politik yang
diterima Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak adalah satu perkara biasa
yang sememangnya telah diamalkan
pemimpin terdahulu lagi.
"Dari zaman Dr Mahathir lagi, namun
ketika itu dana dipegang oleh individu
bukan ahli dan Dr Mahathir pernah
menyuarakan kekecewaannya kerana
sukar mendapatkan kembali harta dan
wang UMNO kerana dipegang oleh
individu lain.
"Sebagai ahli UMNO dan pemimpin UMNO,
saya lebih yakin dan selesa kalau duit itu
dipegang oleh Presiden parti daripada
individu atau ahli perniagaan yang menjadi
proksi kepada parti," katanya ketika ditemui
selepas majlis sambutan Aidilfitri Jabatan
Bomba di Putrajaya pada Selasa.
Abdul Rahman, yang juga Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, berkata isu ini tidak
akan membebankan jentera BN dalam
persediaan untuk Pilihan Raya Umum
ke-14 nanti kerana kemasukan sumbangan
dana politik ke dalam akaun Najib bukan
satu jenayah.
"Pendedahan (oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia) itu tidak menunjukkan ada
apa-apa kesalahan dari segi undang-undang,"
tambahnya.
SPRM pada Isnin telah menafikan dana
RM2.6 bilion yang dipindahkan ke
akaun Najib adalah dari dana 1Malaysia
Development Berhad.
Sebaliknya, siasatan SPRM mendapati ia
disumbang penderma politik, kata institusi
itu dalam satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment