Friday, 21 August 2015

Tuduhan Zikir Karut Minta Tolak Syurga ?



Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga.




Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:
إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم

Maksudnya:

Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.

Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.


Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah s.w.t., pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah s.w.t..

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:


لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب

Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar r.a., maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar r.a. berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.”
Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar r.a. mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam selepas Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar r.a.. Beliau ialah Saidina Umar r.a.. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar r.a..

Pun begitu, apa kata Saidina Umar r.a. tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam? Beliau berkata:

لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .

Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk syurga tersebut).”
[Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar r.a.. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat r.a. terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman r.a. di hadapan Allah s.w.t. terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman r.a. pernah berkata:

لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير

Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku.
[Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman r.a.]

Ini adalah Saidina Uthman r.a., sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah s.w.t., yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah s.w.t..

Para sahabat r.a. yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah s.w.t., bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah s.w.t. dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali r.a. sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat r.a. yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah s.w.t. berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:


ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل

Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah s.w.t..”
[Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat r.a. tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah s.w.t. lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah s.w.t. berbanding selain Allah s.w.t., kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat r.a.. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal r.a. yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz r.a. ketika tahajjud adalah:


اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف

Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.”
[Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal r.a.]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah s.w.t. terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut


يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت

Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.”
[Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah s.w.t.. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah s.w.t. dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah s.w.t. tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t., maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam..

No comments: