Thursday, 24 April 2014

"KALAU AKU TUHAN!!!"


‘Kalau Aku Tuhan’… Manifestasi Kufur Bila Politik Disatukan Dengan Agama.


Untuk mendapat sokongan meluas daripada orang Islam terutama sekali golongan jahil yang sedang tercari-cari jalan untuk kembali kepada Allah Taala, doktrin yang paling berkesan adalah menfatwakan bahawa POLITIK TIDAK BOLEH DIPISAHKAN DENGAN AGAMA.

Kalau menurut Syaidina Ali r.a dalam satu peristiwa membabitkan golongan Khawarij, kata-kata tersebut adalah benar tetapi motifnya adalah untuk menyesatkan!

Begitulah yang berlaku. Pegangan bahawa politik tidak boleh dipisahkan dengan agama menyebabkan berlakunya pentakfiran secara meluas dan wujudnya golongan yang sentiasa menganggap, kata-kata mereka adalah kanun dan pendapat-pendapat agama mereka adalah total serta tidak boleh disangkal.

Kejahilan sememangnya mendekatkan kita ke jurang kehancuran. Sama seperti ilmu yang diperolehi tetapi digunakan ke jalan yang salah, akan menyebabkan ilmu berkenaan tidak memberikan manfaat kepada orang berkenaan apabila dia berada di alam barzakh nanti. 

Bahkan ilmu yang telah diseleweng mengikut hawa nafsunya itulah yang akan memastikan dia kekal di Neraka Jahannam buat selama-lamanya.

Politik di Malaysia adalah politik hawa nafsu. Biar setebal mana pun serban, sezuhud mana pun jubah bahkan sedaif mana pun capal yang tersarung, sesiapa sahaja yang terlibat dengan politik di Malaysia, mereka adalah pengikut hawa nafsu. 

Matlamat mereka hanyalah satu iaitu mendapatkan kuasa dan agama pula merupakan lesen untuk mereka berbuat sekehendak hati dan meraih undi serta sokongan sebanyak mungkin.

Justeru itulah masyarakat Islam di negara ini, walaupun mereka baru sahaja belajar memakai tudung atau mengenal tikar sejadah, mereka cenderung untuk menjatuhkan hukum. 

Halal, haram, makruh, harus dan sunat, menjadi buah mulut mereka. Dan kesemua hukum tersebut hanya untuk orang lain, bukan untuk diri sendiri seolah-olah mereka telah bebas daripada tertakluk kepada mana-mana hukum syarie.

Dan pada masa yang sama, wujud pula golongan yang diceritakan di dalam al Quran tentang kecenderungan mereka untuk bersaing dengan Allah Taala. 

Golongan seperti Firaun dan Namrud yang mengaku mereka adalah Tuhan, tetap wujud sehingga sekarang. 

Walaupun mungkin sebahagian daripada mereka berkias dengan menyatakan, JIKALAU MEREKA ADALAH TUHAN namun kiasan tersebut tetap tertakluk kepada cita-cita mereka untuk menjadi Tuhan yang mana menurut mereka boleh berbuat sekehendak hati dan mereka pula lebih adil daripada Tuhan Yang Mutlak dalam memberikan balasan serta hukuman.

Golongan terbabit semakin menyubur dan berkembang serta tidak lagi berselindung di sebalik pelbagai pertubuhan atau entiti seperti Anti-Hadis dan sebagainya kerana kebelakangan ini, pihak berkuasa terlalu lemah untuk menangani mereka.

Jikalau dahulu, golongan yang mengaku mereka adalah al-Haq terdiri daripada golongan yang sudah berusia dan perasan mereka mempunyai ilmu agama yang sangat tinggi, khususnya ilmu hakikat dan ilmu mengenal diri yang disusup dalam ajaran sufi mahupun tarekat, kini golongan muda yang sangat mentah, bahkan tidak mengetahui apa agama yang dianutinya, terutama sekali yang terbabit dalam fahaman Sosialisme dan Komunisme, sudah berani mengakui mereka adalah Tuhan atau berasa sangsi terhadap keadilan Allah Taala.

Itu yang dapat kita lihat daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang remaja yang cukup terkenal dengan fahaman Sosialismenya. Kecenderungannya untuk membuktikan dia lebih bijak daripada orang lain dan fahamannya lebih meluas serta lebih ideal ditambah pula dengan kejahilannya yang keterlaluan, akhirnya mendedahkan tembelangnya yang sebenar.

Anehnya golongan yang begitu bijak mengeluarkan hukum terutama sekali hukum fitnah, terkesima dan buat-buat tidak nampak atau buat-buat tidak tahu. Mereka jadi berhala bisu, pekak dan buta memandangkan remaja terbabit dikenali kerana menyokong kumpulan dan aliran politik mereka sendiri.

 Sebaliknya mereka terpaksa mengada-adakan alasan sebagaimana alasan VIDEO DIUBAHSUAI, TEKNIK CGI UNTUK FITNAH ANWAR, VIDEO TAK BOLEH DIJADIKAN SAKSI SEBAB BESI dan sebagainya, semata-mata untuk menyelamatkan teman sekongkol mereka.

Ironinya, golongan yang sama jugalah yang berteriak dan memberitahu, assobiyyah dilarang di dalam agama Islam dan Nabi s.a.w telah menyatakan mereka yang mengamalkan assobiyyah bukanlah dari kalangannya. 

Assobiyyah yang mereka fahami pula adalah makna perkataannya iaitu KEBANGSAAN tetapi makna hakiki sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu golongan yang saling bertolongan antara puaknya untuk melakukan kejahatan dan kezaliman, langsung tidak disentuh.

Inilah contoh terbaik bagaimana pembohongan POLITIK ITU SEBAHAGIAN DARIPADA AGAMA didedahkan oleh Allah Taala sendiri. Semoga kita mendapat hidayah daripada petunjuk yang diberikan-Nya!