Karpal Singh, perginya wira demokrasi – Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Secara peribadi saya ucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Karpal Singh atas pemergian beliau awal pagi ini. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat demokrasi Malaysia.
Beliau yang merupakan bekas Pengerusi DAP adalah seorang yang amat teguh berpegang dengan prinsip keadilan dan demokrasi. Wataknya sebagai pengamal undang-undang amat digeruni kawan dan lawan. Kesetiaannya terhadap perlembagaan negara tiada tolok bandingnya.
Kita mengenang jasanya yang pernah menjadi peguambela untuk kes seorang wanita Islam yang diberhentikan kerja kerana berpurdah. Kita juga amat mengingati sumbangannya dalam mengkritik kerajaan dalam pengamalan demokrasi negara ini. Mendiang adalah orang yang cukup lantang di Parlimen sehingga beberapa kali digantung dari Dewan kerana mempertahankan hujahnya.
Kita juga amat menghargai keterbukaannya untuk berdialog tentang negara Islam dan hudud. Penentangan beliau dalam isu hudud bukan kerana memerangi Islam secara terang-terangan, tetapi berdasarkan pemahamannya mengikut konteks perlembagaan Malaysia.
Ini membuktikan sikap profesionalnya walaupun tampak tegas. Kerana itu tidak hairanlah beliau mampu menang di Parlimen Bukit Gelugor dengan majoriti lebih dari 41 ribu undi.
Berita pemergiannya yang diterima awal pagi tadi amat mengejutkan. Bagaimana insan kurang upaya sepertinya masih berada di jalanraya lewat jam 1 pagi, ketika manusia lain sedang asyik dibuai mimpi. Sungguh insan yang pernah mendapat julukan Tiger of Jelutong itu amat sukar untuk dicari ganti.
Kepada rakyat Malaysia, teruskan perjuangan beliau membela keadilan. Kematiannya bukanlah bererti runtuhnya pembelaan terhadap demokrasi. Sungguhpun perjuangan Rasulullah dibentengi bapa saudaranya Abu Talib, baginda dan para sahabat langsung tidak berputus asa walaupun bersedih memperingati pemergian beliau.
Sekali lagi saya ucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh kenalan YB Karpal Singh. – 17 April, 2014.
* Penulis adalah timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
2 comments:
Semua org ada baik dan ada buruknya, tp pd aku, KS ni aku anggap lbh kpd musuh drpd rakan dan teman terhdp umat Islam, walaupun mungkin ada jasanya. Bila dia dah tak ada pd aku to be frank and hipocrite, itu lbh baik.
Tp pd aku juga, to be frank also, org pakatan jgn marah ye, pndpt aku, AI,HH dan NA lbh besar mudaratnya kpd umat Islam.
Salah taip, "to be frank and not hipocrite"
anon 21:15
Post a Comment