Kuih ! Kuih !
Kuih ! Kuih !
Karipap ! Donut ! Seri Muka ! macam2 ada..
Marilah singgah beli !
Begitulah
kadang-kadang hiruk-pikuk yang membelah kesunyian pagi di
kampung-kampung suatu ketika dahulu.
Kanak-kanak yang keluarganya miskin
seringkali kelihatan menjaja kuih-muih buatan ibu mereka untuk mencari
sesuap rezeki. kadang-kadang rezeki mereka murah, kadang-kadang tidak
pula. Beruntunglah kita yang lahir dari keluarga yang lebih bernasib
baik. Alhamdulillah.
Di
kesempatan ini, Brader tertarik untuk membawa kembali sebuah kisah
seorang budak penjual kuih. Cerita beliau ini tidak sama seperti cerita
penjual kuih yang lain. Ada kelainannya. Ayuh kita baca dan ambil
iktibar.
Selepas seminggu beraya di
kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah
Teluk Intan.
Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di
pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia
lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.
"Abang nak beli kuih?" katanya sambil
tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul
kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan,"
jawap saya ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus
menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi
menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak,
dia berlalu begitu saja.
"Abang dah makan, tak nak beli kuih
saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang
lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai
di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya,
"Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak
menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan.
Sambil memerhati,
terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia
berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun
orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya
terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan
kedai yang sama.
Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum
sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia
menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.
"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang
perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya
petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul
dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja.
Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan
sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang
beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat
mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima
kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai.
Saya gembira dapat
membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah
terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian
saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta,
memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada
pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap
pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah
kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah
kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya.
Kalau dia tahu saya bawa
duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata
mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!"
katanya begitu lancar.
Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup
kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih
dalam bakul itu.
"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya
dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang."
Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam
plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada
pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanyakan
statusnya.
Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus
terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi
kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu
penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak
itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
sumber cerita : Facebook.com
No comments:
Post a Comment