Friday, 31 July 2015

Pengesahan Secepat Mungkin. Serpihan Pesawat DiHantar Ke Toulouse, Perancis!!!




KERATAN Utusan Malaysia.


KUALA LUMPUR 30 Julai - Pengesahan mengenai serpi­han berukuran dua meter yang dikatakan selari dengan model 777 keluaran Boeing sama ada milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 atau tidak akan dilakukan dengan secepat mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mem­per­cepatkan proses pengesahan itu, serpihan dihantar ke Toulouse, Perancis, untuk disiasat Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu agensi penyiasat kemalangan pesawat negara tersebut.

Katanya, pasukan khas Malaysia yang dianggotai pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), pasukan penyiasat MH370 dan MAS juga kini dalam perjalanan ke Toulouse bagi membantu siasatan BEA.

Pada masa sama, jelas beliau, sebuah lagi pasukan siasatan khas negara akan menuju ke Pulau Reunion, lokasi di mana serpihan di percayai dari sayap pesawat tersebut ditemukan bagi membolehkan siasatan rapi dilakukan.

“Lokasi penemuan serpihan pesawat tersebut (Pulau Reunion) konsisten dengan analisis data oleh pasukan penyiasat negara bahawa pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 berakhir di selatan Lautan Hindi.

“Kita akan membuat pengesahan kepada rakyat sebaik sahaja pasukan penyiasat mempunyai maklumat mengenai status serpihan itu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya di sini hari ini.

Pulau Reunion adalah sebuah kepulauan yang terletak di Lautan Hindi, dengan jarak kira-kira 175 kilometer (km) dari barat daya Mauritius atau 900km dari Madagascar.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang berserta anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac 2014 dan sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, tetapi dilaporkan hilang.

Kehilangan tersebut mencetuskan misteri penerbangan abad ini dengan pelbagai teori mengenainya diperkatakan dan akhirnya pada Januari lalu, pihak berkuasa mengisytiharkan semua penumpang berserta anak kapal MH370 maut.

Dalam pada itu, Najib mengulangi janji kepada seluruh ahli keluarga MH370 bahawa biar apa maklumat yang diperoleh daripada siasatan ke atas serpihan pesawat berkenaan, kerajaan tidak akan berhenti mencari kebenaran.

“Banyak laporan yang tidak te­pat sebelum ini tetapi demi kepentingan ahli keluarga MH370 yang kehilangan orang tersayang, yang berdepan kesedihan selama ini, ki­ta akan mencari kebenaran untuk mereka,” katanya.

No comments: