Tuesday, 7 July 2015

SIAPA YANG KAYA???


Seorang hartawan membawa anaknya menginap dirumah kawannya yang miskin. Dia berharap anaknya akan sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah genap tiga hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan si ayah bertanya, "Apa pandangan kamu tentang kembara kita?"
" Seronok !" Jawab si anak.
"Sekarang tentu kamu dapat banding tentang hidup sebagai orang kaya dan orang miskin bukan?"
"Ya" Jawab anaknya penuh ceria.
" Cuba ceritakan apa yang kamu dapat belajar dari pengembaraan kita ni?"
Si anak menjawab dengan penuh yakin, "kita mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai jernih yang mengalir untuk mereka mandi, kita ada lampu inport yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang yang bergemerlapan di langit untuk mereka pandang saat mereka bersantai-santai di halaman rumah pada malam hari...."
Si ayah ingin menyampuk namun si anak meneruskan, " Kita ada jalan berturap, tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria memberi khidmat dan pertolongan kepada orang lain. 
Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada penjaga yang menjaga harta kekayaan kita....tetapi mereka ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka."
Si ayah semakin terdiam apabila anaknya menambah, "terima kasih ayah kerana menyedarkan betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita!"
PENGAJARAN DARI KISAH INI:-
Kekayaan sebenar terletak di hati yang sentiasa bersyukur dan redha. Bukan kerana apa yang kita miliki, tetapi kerana apa yang kita beri. Untuk mencapai kesenangan, kita perlu memiliki. Tetapi untuk mencapai ketenangan kita perlu memberi. Memberi lebih gembira daripada menerima.

No comments: