Friday, 23 January 2015

MELAYU DI AMBANG PETAKA!!! DAH HENDAK SANGAT,TERIMA AJELAH!!!




Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini. Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang 'sorak' tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.

Raja-Raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang; pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu kiambang bertaut.

Dalam suasana pimpinan politik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh - platform penyatuan yang bebas dari politik berparti.


Satu kelainan bermula. Raja dan Sultan Melayu mula mengorak langkah menjadi penghulu kepada umat. Satu perubahan positif mendaulatkan Islam di negara ini dan ini akan membantu menghalangkan serangan brutal beberapa pihak terhadap kedudukan Islam dalam Persekutuan.



Islam dinodai oleh bukan Islam dan malangnya ia diizinkan oleh individu Islam yang berkepentingan. 


Kemelut demi kemelut melanda Malaysia, negara yang selama ini diterima dengan penuh kesedaran sebagai sebuah negara merdeka yang bertuankan bangsa Melayu, ia diterima tanpa sebarang prejudis. 


Selama ini juga Islam telah diterima sebagai agama negara dengan rela oleh semua warganya. Sebelum ini semuanya berlangsung dengan baik, tiada usaha menggugat kedudukannya yang telah dinobatkan dengan rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. 


Akhir ini, gugatan muncul bertali arus. Islam dinodai dengan rakus. Hal ini mewujudkan kecelaruan yang sungguh menyedihkan.


Tidak dinafikan kemelut ini bakal semarak menjadi krisis. Islam dirobek dan tidak mustahil ia bakal dinafikan terus jika ada peluang dan Melayu pula akan disama ratakan dengan bangsa pendatang. 


Tiada lagi kelebihan setelah dirampas haknya. Sedikit sebanyak ia menghiris hati dan menggurus perasaan suatu bangsa yang telah banyak berkorban menyerahkan sebahagian dari haknya kepada saudara dari bumi asing.


Negara kini bakal berdepan dengan pelbagai asakan luaran dan dalaman sama ada secara terbuka mahupun sebaliknya. Kecenderungan baru semakin meningkat. Semuanya membawa kepada kehancuran. 


Semua ingin dicorak semula termasuk perkara-perkara yang bersabit dengan agama. Segala-galanya mahu diubah kononnya atas nama demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan, keterbukaan, liberalisme dan pluralisme.


Kemusnahan ummah kini akibat pencerobohan baru, berselindung si sebalik perjuangan dan kemodenan. Licik dan halus, berbeza ketika zaman lampau angkara pencerobohan Alfonso di Albuquerque, Stamford Raffles, Francis Light mahupun Yamashita.


Pencerobohan baru meliputi perlanggaran kalimah suci "Allah" sehinggalah kepada manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara. Siapa dalang disebalik semua ini?


Hakikatnya semua ini akan menjadikan Islam sebagai mangsa secara langsung atau tidak. Tujahan terhadap pemerintah diseret bersama kebencian terhadap bangsa dan agama pribumi. Sesuatu yang amat menyakitkan.


Ia telah pun berlaku. Persoalannya apakah yang perlu dilakukan selepas ini? Cabaran yang dihadapi oleh umat Islam bukan di dalam dewan besar, moden dan serba dingin tetapi di luar sana - seluruh pelosok tanah air. 



Cabaran umat Islam semakin kritikal. Ekonomi orang Islam yang merupakan golongan majoriti masih jauh tertinggal dibelakang, kemiskinan terus menghantui dan menyepit, perpecahan pula menjadi-jadi dan kuasa yang ada kini semakin mendekati hujung tanduk. 


Pernah satu kongres melibatkan umat Islam dan didokong sokongan padu raja-raja Melayu telah diadakan. Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Ia sesuatu yang luar biasa yang mana belum pernah Raja dan Sultan terutama Yang Di Pertuan Agung menghadiri kongres sebegini. 


Ini menunjukkan bahawa sesuatu yang gawat telah melanda bangsa ini. Maka kongres itu menuntut lebih banyak gerakan susulan untuk mencetuskan gelombang kesedaran baru. Kedudukan Islam harus dipelihara sebaiknya.



Kekuatan dan perpaduan umat Islam akan melimpahkan faedah besar buat kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama. Ia telah dibuktikan selama puluhan tahun. Kedaulatan Islam adalah center of gravity dalam konteks keselamatan nasional.



Pada akhir titah, Raja Nazrin sebagai pemangku Sultan perak sebak selepas menitipkan doa. Kita turut terharu sambil mengenangkan kian banyak pencerobohan baru, serta apa kesudahan nasib umat Islam di tanah air ini nanti.



"... Peruntukan 'Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak.

''Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatur suai dan di hala tuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...."



Setelah 57 tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah 13 Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah 13 kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa.



Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.



Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka.



Ummah wajib berdiri teguh - berpendirian tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun. Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu, hari ini perlu dibayar dengan harga tinggi oleh ummah.


No comments: