Friday, 30 January 2015

IBUBAPA MEROTAN ANAK JADI KES JENAYAH?

Kita letih melayan isu-isu mengarut yang dicipta oleh pemimpin kita. Berat sungguh rupanya tahap kejahilan pemimpin kita sekarang ini. Baru-baru ini ada menteri beragama Islam yang mengatakan dadah dan gejala sosial tiada kaitan dengan hiburan. Statistik gejala itu di Kelantan dan Terangganu dikaitkan puncanya dengan kurangnya sajian hiburan di sana. Sub
hanallah..

Hari ini mahu diusulkan pula rang undang-undang ciptaan barat agar ibubapa yang merotan anak dijatuhkan hukuman jenayah. Sungguh pelik kerana usul ini juga dari menteri yang beragama Islam. Sudah jelas bahawa tahap kejahilan dan kedegilan pemimpin kita terhadap hukum hakam agama sudah di tahap yang amat parah sekali.

Kita pernah merintih dan kesal dengan hukuman yang dikenakan terhadap pasangan ibubapa rakyat kita kerana merotan anak mereka untuk tujuan pendidikan di luar negara. Bagaimanalah sampai kita sendiri pula yang terhegeh-hegeh untuk mematuhi Perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Sedunia (CRC) tajaan barat ini? Di mana mahu diletakkan martabat petunjuk dari alquran dan sunnah? Di mana jatidiri dan keyakinan kita pada agama sendiri?

Ekoran dari isu ini, rujukan dari hadis dan quran tentang sunnah rotan ini sudah terlalu banyak dikongsikan di sana sini. Antaranya tuntutan mempamerkan rotan di rumah agar boleh dilihat oleh penghuninya untuk membentuk akhlak mereka. Ada riwayat yang menyarankan isteri menanti suami pulang dengan memegang rotan sebagai tanda merendah diri mencari redha suami.

Ada hadis yang menyarankan ibubapa merotan anak yang enggan solat ketika usia 10 tahun. Ada juga hadis yang mengatakan merotan anak sekali kerana ingin membaiki akhlaknya lebih baik dari segantang zakat. Quran juga turut menyarankan rotan di khalayak ramai untuk penzina. Isteri yang nusyuz juga dibenarkan rotan.

Jika benarlah menteri kita ramai yang jahil agama, tiadakah penasihatnya yang agak CELIK AGAMA sedikit untuk menasihati dengan jujur apa sahaja tindak tanduk mereka yang terang-terang bertentangan dengan ketetapan agama ini?

Tiada lagikah mana-mana warga jabatan atau kementerian itu yang masih ada sisa keprihatinan untuk meneliti berapa banyak kerosakan akhlak dan kedurhakaan anak-anak ketika ini?

Sedarkah mereka antara puncanya ialah apabila anak terlalu dimanja dengan harta benda dan sikap lunak yang melampaui batas? Tahukah mereka bahawa sekian lama sekolah sudah tidak dapat berbuat apa-apa untuk menundukkan anak-anak ini? Tahukan mereka kerana sekian lama ibubapa tidak merotanlah maka anak-anak jadi begini? Sedarkah mereka bahawa ini semua adalah agenda Yahudi?

Tahukah mereka bahawa pihak PDRM, para guru dan Ustaz, bahkan di maahad tahfiz sekalipun sudah pening kepala dan kebingungan tidak tahu lagi nak buat macamana? Sudahlah sekian lama para guru dilarang merotan, kini ibu bapa di rumah sendiri pun nak dikongkong juga. Usul gila apakah ini?

ISU ROTAN SUDAH JADI BAHAN POLITIK

Apabila terbit isu ini maka ramailah tokoh-tokoh agama yang bertarung hujjah. Pelik sekali apabila ada tokoh 'berjenama politik' yang memutarbelitkan kebenaran merotan anak saranan nabi SAW ini untuk meraih sokongan. Ada yang tergamak mengatakan ibubapa yang merotan anak adalah ibubapa jahil dan tidak beragama. Tergamak pula mengaitkan rotan dengan imej keganasan agama Islam. Nauzubillahiminzalik.. Demi meraih populariti dan sokongan, sanggup mereka menggadai agama dan pesan-pesan nabi SAW.

Bagi kami, ibubapa yang tidak merotan anaklah ibubapa yang jahil. Mengapa? Kerana ibubapa ini sendiri tidak tahu batas dan peraturan akhlak untuk anak-anak mereka. Kerana itu mereka tidak peka untuk meneliti tanda lalu tiada kesedaran untuk bertindak menghalang salah laku anak-anak mereka. Kerana itulah terlalu ramai anak derhaka dan segala macam gejala sosial anak-anak sekarang.

Apabila anak sudah melampaui batas, maka ibubapa yang jahil tadi mula memukul dan mendera hingga anak jadi cedera. Itulah bentuk penderaan yang boleh dijadikan kes jenayah, bukannya rotan yang bertujuan mencegah dan mendidik akhlak anak-anak oleh ibubapa yang peka.

RASIONAL ROTAN TERHADAP SARAF DAN MINDA

Apabila kita gunakan akal tanpa bersandarkan rujukan alquran dan hadis dengan niat yang betul, apatahlagi untuk mencari helah menolak ketetapan agama, maka kita akan jadi golongan yang sesat lagi menyesatkan. Tetapi jika kita gunakan akal dengan niat untuk mencari kebenaran dari apa yang telah Allah dan Rasul tetapkan, maka kita pasti akan jumpa segala rasional dan kebaikannya. Apabila kita laksanakannya dengan yakin dan istiqomah pula, maka insyaAllah kita akan dapat merasakan nikmat keberkesanannya.

Sebenarnya saintis telah mendapati rangsangan terhadap saraf kesan dari rotan adalah amat baik sekali. Ia boleh ke tahap mampu menyembuhkan ketagihan dadah dan seks. Sila baca dari artikel di pautan yang disenaraikan di bawah.

Dalam Islam, malu itu dijadikan sebahagian daripada instrumen iman. Orang yang beriman akan merasa malu dan serik apabila dihukum di khalayak ramai. Kerana itu pihak sekolah zaman dahulu melakukan hukuman rotan pada anak-anak semasa perhimpunan. Jika rotannya tidak berkesan, sekurang-kurangnya perasaan malu itu mampu merawat `penyakit akhlak’ anak-anak itu.

RPWP nampak jelas kesan baik dari hukuman rotan terhadap anak-anak. Yang penting ialah kita tahu batas merotan dan disiplin merotan. Merotan harus ada saksi dan asas basmalahnya. Jangan sekali-kali merotan anak atas dasar nafsu. Jangan rotan anak di bawah umur 10 tahun atau atas kesalahan yang mereka tidak tahu atau belum diberi peringatan secukupnya. Tetapkan bilangan yang wajar dan bertahap mengikut kesalahan yang mereka lakukan. Pastikan mereka faham mengapa mereka dirotan sebelum dan selepas mereka dirotan.

ROTAN MENYERAP IMPAK KEMARAHAN MUROBBI

Yang paling penting sekali harus difahami bahawa rotan boleh menjadi penyerap kemarahan murobbi, samada ibubapa atau guru terhadap anak-anak. Ini penting untuk menghukum anak yang melakukan kesalahan melampau. Ini kerana dengan kaedah yang betul, segeram mana sekalipun murobbi yang menggunakan rotan tidak akan mencederakan sampai ke tahap parah dengan rotan itu. Setakat terlecet kulit atau lebam kesan rotan itu adalah biasa dan tidak mengancam nyawa. Berbekam juga akan lebam.

Allah dan rasul tahu batas kesabaran ibubapa dan guru. Tanpa rotan di tangan, murobbi yang berang boleh sahaja spontan memukul anak dengan tangan, kaki atau benda-benda keras lain. Ini memberikan kesan kecederaan fizikal dan mental yang parah. Kadangkala ‘menangan anak’ begini boleh membawa maut terutamanya apabila melibatkan tendangan di abdomen atau memukul benda keras di kepala.

Organ dalaman yang rapuh seperti hati, limpa, buah pinggang di abdomen boleh sahaja pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang fatal apabila ditendang. Demikian juga otak di kepala boleh sahaja cedera apabila kepala dipukul dengan benda keras.

Di RPWP dan Tahfiz Akademi Insan Prihatin, kami minta semua murobbi menggunakan rotan untuk menghukum ‘on the spot’ apa sahaja kesalahan dan keingkaran anak-anak yang lebih 10 tahun. Disiplin merotan seperti di atas juga wajib dipatuhi. Kami larang keras mana-mana murobbi menggunakan tangan dan kaki, atau `body contact’ untuk menghukum anak, sekalipun terhadap anak-anak kandung mereka sendiri.

Alhamdulillah, apabila kita rotan anak kita di rumah dari awal, ia mungkin hanya sekadar ‘merasa’ rotan itu sekali dua sahaja di peringkat awalnya. Rotan akhirnya tidak lebih sekadar satu pengenalan sahaja kepada mereka. InsyaAllah kita tidak perlu masuk jail kerana bertumbuk dan berparang dengan anak-anak kita selepas itu.

Begitu juga apabila kita serah rotan kepada pihak sekolah, maka anak kitalah yang biasanya kurang dirotan. Ini berbeza dengan pendekatan ibubapa yang tidak pernah merotan atau tidak izinkan anaknya dirotan di sekolah. Itu semua menjadikan anak kita degil dan keterlaluan kelakuannya. Nah, inilah anak yang akan ‘terpaksa’ dirotan, bahkan mungkin ditampar atau ditumbuk cikgu di sekolah, samada dengan suka mahupun terpaksa kerana kedegilan mereka yang luarbiasa.

KESIMPULAN

Kami memilih untuk meringkaskannya kerana tidak guna berhujah panjang lebar jika hati memang sudah tidak lagi perdulikan nasib agama dan generasi anak bangsa.

Pening juga dengan budaya kerajaan Malaysia. Polisi setiap kementerian asyik sahaja diubah dan ditokok tambah sesuka hati apabila bertukar menteri. Ironinya para pegawai pelaksana dan rakyat juga yang jadi mangsa. Apa yang diperhatikan menteri-menteri ini seakan mahu dapat ‘nama’ dan supaya nampak ‘macam ada buat kerja dan pembaharuan’ untuk kementeriannya. Sebahagiannya macam nak 'tunjuk kuasa' pula.

Sebagai pemimpin, kita seharusnya lebih matang dan berpandangan jauh serta berupaya iqra’ dengan mendalam atas sesuatu perkara. Jika menteri tidak mampu berfikiran ‘cerdik’ dan religious, mungkin dia dilantik hanya kerana kepintarannya berpolitik lalu mampu menang pilihanraya, maka kami rayu agar menteri yang terlibat belajarlah merujuk daripada ‘cerdik pandai’ dahulu.

Jika tiada juga cerdik pandai dalam jabatan dan kementeriannya, maka kena terima hakikat bahawa suara rakyat harus dinilai. Sesungguhnya amat malang bagi seorang pemimpin jika terpaksa dipimpin akalnya oleh rakyat dengan cara paksa. Gembala seharusnya bijak memimpin ternakannya. Malanglah jika ternakan pula lebih cerdik dari ‘gembala’.

Ada batasnya Allah wajibkan kita mentaati ulilamri dan murobbi, iaitu selagi arahannya tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan rasul. Jika ia bercanggah, maka Allah perintah kita ingkari mereka sekalipun ibubapa kita sendiri.

Kepada menteri yang terlibat, sila lihat berapa ramai ibubapa yang meraung di media sosial. Berapa ramai yang sanggup masuk penjara jika tidak mampu bayar denda hanya gara-gara merotan anaknya. Alasannya baik buruk itu anak mereka, itu cara agama dan budaya kita, itu hak mereka. Lantas siapa yang akan menjaga anak-anak mereka ketika ibu bapa di penjara? Mampukah Jabatan Kebajikan Masyarakat ambil alih penjagaan dan menyara anak-anak itu?

Selagi rang undang-undang yang digubal tidak bercanggah dengan hukum agama, ramai yang boleh bertoleransi. Tetapi apa yang diusulkan kali ini sudah keterlaluan. Wajarlah ibubapa menyuarakan rasa marah dan nekad untuk mengabaikan undang-undang jahiliyah itu nanti. Kali ini, bukan lagi orang Pakatan Rakyat yang kami lihat melompat dan memperbodoh-bodohkan menteri terlibat, tetapi orang UMNO dan kakitangan kerajaan sendiri jelas MARAH dengan usul JAHILIYAH ini.

Semuga seluruh ahli dewan rakyat dan dewan negara menolak usul mengarut ini dengan sebulat suara. Mungkin YAB Perdana Menteri sudah boleh faham mood rakyat ketika ini. Nasihatkanlah para menteri agar lebih bijaksana dan bijak sini. Hentikanlah membuat usul dan undang-undang yang bercanggah dengan ketetapan agama. Jika perlu diganti, gantilah menteri yang kelihatan terlalu jahil dan bersifat kebudak-budakan tanpa pendirian yang memalukan agama seperti ini.

Apapun ingat pesan Allah agar jangan melakukan satu apapun tanpa ilmu (QS:17/36, 10/36). Oleh itu, pendidikan terbaik adalah melalui tarbiah yang jelas dan istiqomah. Rotan hanya berkesan jika ia dilakukan bersama kefahaman dan tausiah yang berkesan. Jika tidak, merotan juga tiada gunanya.

Suara kesal dan bantahan keras dari murobbi/murobbiah
WARGA PRIHATIN

No comments: