Saturday, 17 January 2015

ISU K-POP HANYALAH BISUL KECIL! ADA LAGI PEKUNG YANG LEBIH HANYIR!!!


K-Pop
Isu K-Pop hanya secebis, ada yang lagi besar!!! 

SHAH ALAM: Insiden ‘panas’ atas pentas K-Pop yang akhirnya menjadi viral dan mendapat perhatian masyarakat Islam hanyalah secebis daripada masalah akidah yang berlaku dalam umat Islam di negara ini. 

Pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, masalah dalam masyarakat Islam itu sendiri lebih besar jika dibandingkan dengan insiden tersebut. 

“Sebenarnya masalah ini lebih luas daripada apa yang berlaku di atas pentas itu. Sebab apa yang berlaku dalam masyarakat lebih besar daripada itu". 

“Isu K-Pop itu hanya ‘tip of the iceberg’. Yang kita nampak di laut itu hanya permukaan kecil ais itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini. 

Menurutnya, adegan-adegan dalam drama ataupun filem yang disajikan kepada masyarakat umum setiap hari itu adalah antara contoh ‘masalah’ dalam masyarakat Islam, hari ini. 

“Padahal masalahnya berakar umbi pada kefahaman masyarakat kita sendiri...akidahnya bagaimana. Itu yang sepatutnya kita fokuskan dan perkemaskan". 

“Contohnya drama yang ditayangkan di TV. Itu adalah salah satu daripada benda-benda yang kita nampak setiap hari. Banyak lagi sebenarnya (yang berlaku),” katanya. 

Mengulas soal kenyataan beberapa pihak yang mencadangkan dakwah dan menentang keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk mengenakan tindakan itu, beliau berkata kedua-duanya perlu dilaksanakan. 

“Kedua-duanya itu perlu dibuat. Dakwah kena buat, tindakan pun perlu dibuat. Tapi tindakan itu tidak perlulah diheboh-hebohkan. Tindakan itu ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak". 

“Kalau nak ambil tindakan, tak perlu sampai memalukan pihak yang terbabit itu sampai menimbulkan aib kepada keluarga. Khidmat nasihat syariah, kaunseling dan sebagainya perlu disediakan kepada mereka ini,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan sahaja yang berkuasa ‘menyuruh’ masyarakat Islam negara ini mematuhi garis panduan dalam Islam. 

“Kita tahu...contohnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dah ada garis panduan. Lama dah ada tapi dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan itu tidak ada. Jakim hanya mampu membuat garis panduan tapi garis panduan itu seolah-olah dipandang sepi. Tidak diletakkan di tempat yang tinggi". 

“Kita kata Islam adalah agama Persekutuan tapi apabila Jakim letak garis panduan, kita letak tepi pula. Sepatutnya kena ambil cakna apa yang dinasihatkan dan segala garis panduan daripada pihak berkuasa agama itu sendiri,” katanya. -sinarharian-

No comments: