Kes Liwat 11 : Anwar bersalah dan menanti keputusan hukuman!!!
10 FEB : Mahkamah Persekutuan akan memutuskan hukuman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi petang ini selepas menolak rayuan akhir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap beliau kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan diumumkan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Selepas dua jam bersidang, mahkamah mendapati wujud bukti-bukti kukuh bahawa Saiful diliwat oleh tertuduh dan disokong bukti saintifik serta bukti-bukti sokongan.
Ia antara intipati penghakiman yang dibaca Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang berkata, Akta Keterangan tidak semestinya memerlukan sokongan bukti dalam kes seksual.
Hakim juga bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa sampel DNA Anwar yang diambil pada berus gigi, botol air mineral dan tuala menggunakan kaedah yang betul dan sah.
Sesi petang nanti akan menentukan nasib Anwar selepas pihak pendakwaan sebelum ini meminta agar hukuman terhadap Anwar ditambah.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaaan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Ekoran itu, Anwar akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.
No comments:
Post a Comment