Friday, 13 February 2015

SEJARAH PAHANG 400SM-1900M- PART 1.




Sejarah Ringkas Pentadbiran Negeri Pahang 400SM -1900M.


Pahang Di Zaman Bahari




Kewujudan Negeri Pahang mula di ketahui oleh Ahli Sejarah menerusi peta yang dilukis oleh Ptolemy’s yang menceritakan berkenaan kedudukan Semenanjung Emas. Gambaran dari peta tersebut jelas kelihatan Sungai Pahang. 


Peta yang dilukis oleh Platomy menarik perhatian para pedagang dari seluruh Eropah dan Tanah Arab untuk datang ke blok sebelah sini untuk mendapatkan emas.
Lombong emas nabi sulaiman pun dikatakan terletak di Pahang.


Pahang mempunyai pelbagai nama, Perkataan “Pahang” di ambil dari perkataan Kemboja yang bermakna “Bijih Timah” ini kerana pada masa dahulu Negeri Pahang kaya dengan hasil bijih tersebut. 


Di dalam kitab-kitab lain Negeri Pahang di panggil dengan pelbagai nama ;seperti Pong-Fong di dalam istilah orang Cina,Pan atau Pam di dalam istilah Arab, Phaung atau Pahangh di dalam buku-buku orang Eropah. Pelbagai istilah ini menunjjukkan pelbagai bangsa telah datang ke Pahang untuk berniaga atau menjelajah.


Bagi Orang Asli nama Negeri Pahang di ambil dari Pokok Mahang, iaitu sebatang pokok yang besar terletak di Kuala Pahang Tua. Negeri ini di sebut juga “Inderpura” atau “Pura” sahaja sebagaimana dinyatakan di dalam Kitab Sejarah Melayu. 


Nama pura bermaksud bandar atau pekan,maka “Pekan” kekal namanya sehingga ke hari ini disebut orang “Pekan Pahang” asalnya ia nama sebuah negeri atau negara.(lihat W.Linehan- History of Pahang )


Lama sebelum itu dari jumpaan sejarah di dapati beberapa alat kegunaan masyarakat dahulu tertanam di Gunong Senyum dan di Sungai Lembing Kuantan. Alat-alat dari Zaman Mesolithic dan Noelithic. 


Manusia zaman batu telah memduduki Pahang sejak awal lagi.

Dijumpai beberapa peralatan dari Negeri Cina di Pahang yang bertarikh 1500 Sebelum Masehi,seperti bekas makanan dan tempat menyimpan peralatan rumah.Dijumpai juga sebuah Gendang Gangsa di Kg Tersang Kuala Tembeling bertarikh 400 Sebelum Masehi, ini menunjukkan di Negeri Pahang pada masa itu sudah maju dan mempunyai tamadun serta bandar.


Bandar ini merupakan bandar perlombongan emas yang besar dan terkenal,di datangi oleh ramai pendatang dari seluruh dunia.


Sekitar tahun 419H / 960Masehi telah terdapat kegiatan orang Islam di Pahang dengan terjumpanya sebuah batu nesan di Pulau Tambun, di Pekan Pahang. Batu nesan itu secara jelas menceritakan tentang kematian si empunya makam tersebut;



 



Jika dilihat di sini maka kita dapati jumpaan ini menyamai jumpaan makam Fatimah di Leran di Jawa yang bertarikh pada tahun 475 H. Ahli sejarah berbelah bagi menerima batu nesan Pulau Tambun sebagai bukti sejarah akan tetapi sejarah tidak boleh di putar belitkan dengan begitu mudah.



Pemerintah Pahang di Zaman Majapahit (1365)


Menurut Syair Negara Kertagarma yang disusun pada tahun 1365, Syair ini menceritakan keagungan dan kebesaran pemerintahan Kerajaan Majapahit di Tanah Jawa. 


Pemerintahan Majapahit merangkumi wilayah yang luas meliputi Tanah Jawa , Sumatera dan Tanah Melayu. Negeri-negeri di Tanah Melayu yang di tawan oleh Majapahit termasuk Pahang,Kelantan dan Terengganu.


Menurut D Ederia,seorang padri bangsa Portugis, Islam telah di amalkan secara meluas di Pahang pada ketika ini. Menurut beliau, Islam bertapak di Pahang hampir seratus tahun lebih awal dari Melaka. 


Bagi kita hal ini tidak menghairankan kerana Islam telah bertapak di Terangganu lebih awal dari itu sekitar 1303 Masehi,ini kerana Batu Bersurat Terangganu bertarikh sekitar tahun yang disebutkan tadi. Terangganu dan Pahang merupakan dua buah negeri yang sangat berkait rapat dalam semua aktiviti ekonomi atau budaya. 


Bagi pelombong emas dan bijih timah mereka datang ke Terengganu melalui Pahang,atau bagi pedagang dari Cina,Siam dan Kampuchea mereka datang melalui Kelantan dan Terangganu menerusi Pahang untuk ke pantai barat.


1.Pemerintahan Maharaja Tajau (1378)








Dinyatakan oleh sejarah Cina, raja yang memerintah Pahang pada tahun 1378 digelar Maharaja Tajau. Penulis percaya bahawa Maharaja Tajau ini merupakan raja dari kalangan Orang Asli tempatan,ini kerana tidak ada bukti menunjjukan bahawa raja ini berasal dari kawasan sekitar yang lain. 


Tidak ada sebarag catitan yang mengatakan bahawa ini berasal dari selatan atau timur wilayah negeri-negeri Melayu. Kemungkinan besar raja ini menguasai Pahang ketika kemerosotan kerajaan Majapahit. 


Maharaja Tajau mengakui kebesaran kerajaan Cina dan menghantar ufti ke sana. Di percayai saudagar Islam mempunyai tempat mereka yang tersendiri di dalam pemerintahan Maharaja Tajau, mereka tidak diganggu di dalam urusan agama mereka selama mereka tidak mencampuri urusan pemerintahan kerajaan.



2.Pemerintahan Maharaja Tasik Cini (1411-1416)


Selepas pemerintahan Raja Tajau, Ahli Sejarah Cina menyebutkan pemerintah Pahang ketika itu ialah Parameswara Tasik Cini. Ibu kota pemerintahan ini dipercayai di sekitar Tasik Cini di kawasan Daerah Pekan. 


Raja Cina telah mengutus Laksamana Cheng Ho untuk melawat negara tersebut. Maka utusan dari Parameswara Tasik Cini telah datang sebanyak dua kali ke Cina iaitu pada tahun 1412 dan 1414.


Penulis percaya Permaisuri Tasik Cini ada kaitan dengan Maharaja Tajau dan merupakan dari keturunan Orang Asli tempatan ,akan tetapi di masa ini serangan pihak Siam ke atas Pahang begitu kuat untuk menguasai kawasan perlombongan emas dan bijih timah. 


Sebahagian besar kawasan paya sepanjang sungai Pahang mengandungi pasir dan batu batan kasar, ini menunjukkan bahawa kawasan paya ini semasa dulu merupakan lombong bijih bukan kawasan penanaman padi pada awalnya. 


Ahli Sejarah Cina menceritakan bahawa istana Maharaja Tasik Cini di perbuat dari emas. Keadaan ini sudah tentu menarik minat para penguasa dari luar untuk menguasai kekayaan yang luar biasa ini.


Dalam pada itu perkembangan Islam di Pahang di percayai semakin meluas pada masa ini di sekitar kawasan pantai laut dan pendalaman pinggir pantai di Negeri Pahang. 


Di percayai saudagar Arab yang menguasai aliran perdagangan di Asia juga menguasai sebahagian perdagangan di Pahang ketika itu, terutama bahan-bahan perdagangan seperti Kayu Gaharu, Gading Gajah,Kemiyan dan hasil hutan.



Pemerintah Pahang di Zaman Taalukan Siam (1436- 1454)


3.Maharaja Dewa Sura



Siam menguasai Pahang ketika Melaka sedang kembang mekar. Di bawah pemerintah raja-raja Melaka yang bijaksana, penguasaan Siam ke atas Pahang semakin sukar. Pemerintah Siam datang ke Pahang untuk menguasai perdagangan bijih timah dan emas. 


Mereka memasuki Pahang dari kawasan Ulu Terangganu. Penguasaan Orang Siam ke atas Pahang di akui oleh beberapa sarjana dan Ahli Sejarah kerana banyak nama-nama tempat di Pahang mempunyai kaitan dengan Siam seperti Jeram Siam, Parit Siam dan di percayai nama Sungai Tembeling di beri nama oleh orang Siam dari perkataan “Tan- ma – ling” .
Di antara wakil Siam yang disebut di dalam Kitab Sejarah Melayu, ialah Maharaja Dewa Sura(1454):


“Syahdan…maka diceriterakan oleh yang punya ceritera. Adalah di dalam Pahang itu sebuah negara Pura namanya….airnya sungguh tohor dengan pasirnya terlalu baik,air sungai itu tawar datang ke laut dan ada emas urai di sana. Adapun dahulu kala Negeri Pahang itu taaluk kepada Siam, Maharaja Dewa Sura nama rajanya,Keluarga juga pada Paduka Bubun”

Perkataan “ Air sungai itu tawar datang ke laut” menunjukkan kawasan yang di sebutkan itu adalah 
Kuala Sungai Pahang Tua berhampiran Kuala Selangor, sebab tidak ada air di kuala sungai tawar sebagaimana sungai di Pahang Tua. yang airnya tawar sehingga masuk ke dalam laut,kawasan kuala nya sempit dan tohor, ketika air pasang barulah kapal kecil boleh masuk ke dalam kuala.

Ketika berlaku peperangan kali kedua di antara Melaka dan Siam,pihak Siam telah kalah dan berundur ke Pahang,melihat situasi ini Tun Perak tidak melepaskan peluang untuk mengekori tentera Siam lalu menyerang Pahang, Kitab Sejarah Melayu menceritakan :


“ Telah beberapa hari berjalan sampailah ke Pahang, maka orang Melaka pun berperanglah dengan orang Pahang……Maka dengan kuasa Allah Taala yang amat kuat maka dengan mudahnya juga Pahang alah kepada Melaka”

Perkataan “ maka dengan mudahnya” memberi pelbagai pertanyaan kepada kita keadaan di Pahang ketika itu Oleh kerana kedudukan wakil Siam di Negeri Pahang tidak begitu kuat kerana di percayai sudah ramai penduduk Pahang memeluk Islam,maka pasukan kecil dari Melaka begitu mudah mengalahkan Siam di Pahang. Mereka berjaya menguasai Pahang dan meletakkan wakil raja di negeri ini.


Pemerintah Pahang di Zaman Taklukan Melaka



Setelah Melaka dapat menawan, maka Sultan Mansor Shah telah melantik wakil raja di Pahang sebab pada masa itu belum ada raja muda yang layak menjadi raja sebagai wakil sultan,sehingga berlaku peristiwa pembunuhan Tuan Besar anak Tuk Perak :


“ Maka Seri Bija Diraja dititahkan oleh Sultan tinggal di Pahang,dianugerhi dengan nobat dan payung iram-iram serta diapit oleh jasanya menangkap Maharaja Dewa Sura…..setahun sekali ia menghadap ke Melaka”


Keadaan ini berjalan selama beberapa tahun sehingga berlaku peristiwa pembunuhan anak Tun Perak oleh Raja Muhammad:


“ Sekali peristiwa Raja Muhammad pergi bermain kuda di kampong Bendahara Paduka Raja. Adapun pada masa itu Tun Besar anak Bendahara sedang bermain sepak raga di lebuh bersama orang muda-muda…..
Maka Raja Muhammad pun lalu…Maka raga itu jatuh menimpa destar Raja Muhammad,jatuh ke tanah. 


Maka kata Raja Muhammad: “Cis jatuh dastar kita oleh Tun Besar…..Maka berlari-lari orang membawa puan….maka ditikamnya Tun Besar kena belikat terus ke hulu hati.Maka Tun Besar pun matilah….

Setelah di dengar oleh Sultan Mansur Shah baginda memanggil Raja Muhammad,maka titah baginda”Celaka Si Muhammad….apa tah daya ku engkau ditolak bumi Melaka…………

Maka Seri Bija Diraja pun datanglah,maka Raja Muhammad diserahkan baginda pada Seri Bija Diraja disuruhkan dirajakan di Pahang.


Sejak itu Negeri Pahang mempunyai raja yang berdaulat dan mempunyai peraturan seperti lain-lain negeri yang ada raja.


4. Raja Muhammad bin Sultan Mansur Shah (1470-1475)


Sebelum Raja Muhammad memerintah Pahang, Negeri Pahang di perintah oleh wakil raja Melaka yang bernama Dato Seri Bija Diraja. Kedudukan beliau ketika itu di Pahang seperti raja. 


Raja Muhammad sepatutnya mengantikan ayahndanya Sultan Mansur Shah sebagai Sultan di Melaka, akan tetapi apabila berlaku peristiwa sepaktakraw yang mengenai kepala baginda,langsung di bunuhnya anak bendahara kerana peristiwa itu,maka baginda dihantar menjadi raja di Pahang. 


Baginda dilantik menjadi raja Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Wilayah kekuasaan baginda dari Sedili hingga ke Terengganu. Baginda bersemayang di Tanjong Langgar Pahang Tua, Pekan, terdapat banyak makam raja Melaka di Pahang Tua.


Dengan tertakluknya Pahang ke bawah kekuasaan Melaka,maka dengan resminya Pahang sudah menjadi sebuah negara Islam ketika itu. Maka rakyat jelata yang sudah ramai memeluk Islam menyambut baik kedatangan raja Melaka yang membebaskan mereka dari cengkaman Siam yang beragama Budhha. 


Kedatangan orang Melaka bukan sahaja mengubah corak pemerintahan dan politik,akan tetapi membawa bersama mereka Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Laut Melaka yang berasaskan perundangan Islam dan bermazhab Syafiee.-bersambung.

No comments: