Monday, 9 February 2015

Kerajaan Pahang Purba!!!






Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan 
Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung 
Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan 
kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu 
menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang 
sahaja. 

Pada awal kurun Masihi ke 16, permulaan terdirinya 
kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang.

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur 
mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya 
sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, 
Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. 

Pada tahun 1225, Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah 
buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara 
beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa 
San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. 
Peng-keng itu ialah Negeri Pahang.

Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan 
yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua 
batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka 
adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung 
Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. 


Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung 
termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah 
dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.


Perkakasan buatan orang zaman batu akhir yang telah 
dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, 
pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil 
yang dibuat daripada besi zaman dahulu. 


Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, 
Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. 


Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, 
dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang 
diperbuat daripada gangsa. 



Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang 
memakai kebudayaan gangsa. Dr. Linehan berpendapat 
gendang gangsa ini ditukangi di Indo-China dan dibawa dari 
negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga 
iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno 
(tulang mawas).


Menurut riwayat tua pemerintahan negeri ini dijalankan 
dengan cara pemerintahan beraja dari semenjak zaman dahulu 
kala membawa ke masa sekarang. Keturunan Raja Melaka 
itulah yang lama sekali berkuasa di Negeri Pahang Darul 
Makmur dan pemerintahan daripada waktu itu memakai 
gelaran Sultan.





Sultan Pahang pertama ialah Sultan Muhammad Shah I 
(1470 – 1475), putera kedua Sultan Mansur Shah I 
(Sultan Melaka 1459 – 1477) dengan isteri baginda, Puteri 
Wanang Sri Lela Wangsa. 


Sultan Mansur Shah I telah mengahwini puteri Maharaja 
Dewa Surya iaitu Gabenor Ligor (kerajaan Melayu-Siam 
di utara Tanah Melayu yang menakluki Pahang) setelah 
Melaka berjaya menundukkan kuasa Ligor di Pahang.


Sultan Muhammad Shah I mengahwini Mengindra Putri, iaitu 
puteri Sultan Mansur Syah (Raja Kelantan 1423 – 1522). Hasil 
dari perkahwinan tersebut telah melahirkan dua orang putera 
yang kelak akan menaiki tahta Kesultanan Pahang. 


Baginda mangkat pada tahun 1522 dan digantikan pula oleh 
putera sulung baginda Sultan Abdul Jamil Shah (1475). Pada 
tahun yang sama Sultan Abdul Jamil Shah telah menyerahkan 
tahta kepada bapa saudara baginda, Sultan Ahmad Shah I 
(1475 – 1497).


Sultan Ahmad Shah I ialah putera bongsu Sultan Mansur 
Shah I (Sultan Melaka). Pada tahun 1497 tahta Kesultanan 
Pahang berpindah pula kepada tangan kepada anak 
saudara baginda, Sultan Mansur Shah (1475 & 1497 - 1519). 


Pada tahun 1519 tahta Sultan Mansur Shah mangkat dibunuh 
oleh panglima baginda sendiri. Putera bongsu Sultan 
Muhammad Shah I, Sultan Mahmud Shah (1519 – 1530) 
kemudian ditabalkan pula menaiki tahta.


Setelah mangkat pada tahun 1530, Sultan Mahmud Shah 
digantikan pula oleh putera sulung baginda, Sultan Muzaffar 
Shah (1530 – 1542) yang kemudiannya mangkat dibunuh di 
Pekan, pada tahun 1542. 


Putera bongsu Sultan Mahmud Shah yang juga adinda 
Sultan Muzaffar Shah, Sultan Zainal Abidin Shah 
(1542 – 1555) kemudian menaiki tahta Pahang.


Sultan Mansur Shah II (1555 – 1560) pula menaiki tahta 
setelah kemangkatan ayahandanya, Sultan Zainal Abidin 
Shah. Baginda merupakan putera sulung juga telah 
mangkat terbunuh dalam satu peperangan di utara Pahang 
dan digantikan oleh adinda bongsu baginda, Sultan Abdul 
Jamal Shah (1560 – 1590). Sultan Abdul Jamal Shah 
mangkat dibunuh dalam tahun 1590.


Tahta Kesultanan pahang kemudiannya telah diisi oleh putera 
Sultan Zainal Abidin dari isteri kedua baginda, Tun Kemala 
yang bernama Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (1560 – 
1590). 


Setelah mangkat pada 1590, putera Sultan Abdul Kadir 
Alauddin Shah, Sultan Ahmad Shah II (1590 – 1592) 
kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Pahang. Sempat 
menaiki tahta selama 2 tahun sahaja apabila disingkirkan 
oleh kekanda sulung berlainan ibu, iaitu Sultan Abdul 
Ghafur Muhiuddin Shah (1592 – 1614).


Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin inilah yang mengahwini Puteri 
Syah Alam ibni Sultan Bahadur Syah atau lebih dikenali sebagai 
Raja Ungu, Raja Patani (1624 – 1635), sebagai isteri kedua. 
Hasil perkahwinan mereka berdua telah dikurniakan seorang 
puteri yang dikenali Raja Kuning, Raja Patani (1635 – 1649).


Pada tahun 1614, Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah 
telah mangkat kerana diracun. Setelah kemangkatan, putera 
bongsu baginda (dari isteri yang lain), Sultan Alauddin Riayat 
Shah (1614 – 1615)  telah menaiki tahta Pahang. Tidak lama 
di atas tahta, baginda telah diturunkan tahta oleh Acheh 
kerana berkomplot dengan Portugis.


Banyak berlaku perebutan kuasa dan tahta serta 
pembunuhan di Pahang yang berakhir dengan 
tamatnya pemerintahan Kesultanan Pahang dari 
keturunan Kesultanan Melaka. Dengan itu juga 
berakhirlah keturunan Raja-Raja  Empayar Sri Wijaya 
yang memerintah Pahang pada tahun 1615. 
Pahang selepas itu diperintah oleh Kesultanan Johor.

No comments: