Sunday, 22 February 2015

HEEEEE.....!!!! ANTU!!!!

Seram! Misteri Kanak-kanak Muncul Di Lorong Sepi



Lorong itu sememangnya menjadi laluan aku setiap kali pulang ke rumah. Bermacam-macam aku mendengar cerita tentang lorong sunyi ini. 

Ada yang kata jumpa pontianak lah, jumpa hantu raya lah, dan macam-macam lagi lah. Namun sudah hampir 10 tahun aku menggunakan laluan tersebut belum pernah pun aku berhadapan dengan benda-benda seram. 

 Ramai yang sudah terkena menasihati aku untuk tidak lagi menggunakan jalan tersebut, tetapi oleh kerana aku yakin tidak apa-apa yang berlaku aku masih menggunakan jalan tersebut setiap kali pulang ke rumah.


Laluan itu pada mulanya banyak juga kereta yang lalu lalang, tetapi makin hari makin sikit kerana cerita-cerita yang disebarkan. Namun aku tetap akan menggunakan laluan tersebut kerana lebih dekat dengan rumahku. 

Ramai yang kata aku berlagak kerana masih berdegil menggunakan jalan tersebut. Sebenarnya aku tiada pilihan lain kerana jalan ke rumahku selain daripada jalan tersebut sangat jauh.


Pada suatu malam aku seperti biasa menggunakan lorong tersebut. Namun sebelum sampai di situ aku seperti merasakan sesuatu yang tidak kena. Hatiku berdebar dan rasa tidak menentu. Pun begitu aku tabahkan hati. 

Sampai di lorong tersebut kelihatan seorang wanita di tepi jalan seperti menanti kenderaan untuk menumpang. Timbul keinginanku untuk menolong. 

Namun aku tidak terus berhenti sebaliknya memperlahankan kereta untuk mencari kepastian. Tiba di depan wanita itu, dia hanya diam dan tidak menahan kereta untuk menumpang. Melihat wajahnya seperti ada satu keganjilan. 

Fikiranku mula menerawang, manusiakah atau hantu wanita di depanku ini. Seperti memahami apa yang aku fikirkan, wanita itu melemparkan senyuman menyeramkan ke arahku. Apalagi kereta terus ku pecut tanpa berani menoleh lagi.

 Tetapi semakin aku berusaha memecut laju terasa semakin perlahan keretaku bergerak dan tanpa semena-mena di depanku melintas seorang kanak-kanak. Ini membuatkan aku terpaksa menekan brek secara mengejut.


Keadaan brek yang kuat itu sedikit pun tidak mengejutkan kanak-kanak itu sebaliknya dia semakin seronok bermain lalu lintas dihadapan keretaku yang sudah berhenti itu. Dalam hati, hanya tuhan yang tahu betapa takutnya aku.

 Untuk mengurangkan rasa takut itu, aku berusaha membaca ayat-ayat suci Al-Quran mana yang tahu. Dalam pada mulutku terkumat-kamit itu, tiba-tiba kanak-kanak tersebut menekap wajahnya di depan cermin keretaku. 

Wajahnya begitu hodoh dan begitu sukar untuk dibayangkan. Tubuhku terasa longlai namun semangatku masih bersisa. Dengan sisa semangat itulah aku berusaha menghidupkan semula enjin kereta, agar aku boleh segera sampai ke rumah yang tak sampai beberapa meter sahaja lagi dari lorong itu.


Puas menghidupkan enjin tetapi kereta tetap tidak mahu bergerak. Aku melihat semakin banyak kelibat makhluk-makhluk halus di sekitar lorong dan tempat keretaku berhenti.

 Kerana tidak mahu terus-menerus dalam keadaan seperti itu, aku nekad turun dari kereta dan membuka tempat enjin. Aku mencuba-cuba apa yang tahu dan kembali ke kereta.

 Kali ini apabila enjin dihidupkan kereta boleh bergerak semula. Tanpa menoleh lagi dan dengan laungan Allahuakhbar aku meninggalkan lorong itu.


Sebelum masuk ke perkarangan rumahku, tiba-tiba aku melihat susuk tubuh wanita dilorong tadi sedang mendukung kanak-kanak yang melintas di depanku itu.

 Aku benar-benar panik. Mengekori akukah mereka? Dan tanpa aku sedari aku membunyikan hon kereta sekuat hati sehingga rumahku terang-benderang kerana semua penghuni rumah terjaga dan bangun untuk melihat apa yang berlaku.


Ketika ayah menghampiriku, aku benar-benar sudah tidak bersemangat lagi. Aku dibawa naik ke rumah dan tubuh tiba-tiba menjadi panas. 

Aku demam selama tiga hari dan menurut ibu setiap kali tertidur aku meracau-racau. Ayah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan kembali semangatku.

 Kejadian itu benar-benar memberi kesan kepada rakan-rakan yang datang melawatku di rumah semuanya aku ceritakan mengenai pengalaman ngeri itu. Dan itulah kali terakhir aku melaui lorong misteri itu.

No comments: