Friday, 1 August 2014

Israel Tuduh Malaysia Latih Pejuang Hamas!


Pergerakan Hamas menafikan tuduhan Agensi Keselamatan Israel, Shin Bet bahawa Malaysia melatih anggotanya untuk melancarkan serangan rentas sempadan.


Hamas


Pemimpin Kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi menegaskan rejim Zionis Israel mengolah propaganda untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.


“Israel sedang mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin,” kata Khaled ketika dihubungi Astro AWANI.


Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa Kuala Lumpur dan masyarakat sivilnya dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.


“Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,” tegas Dr Khaled.


Justeru, Hamas menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh dengan penipuan dan permainan propaganda Israel.

Dr Khaled mengulas laporan Jerusalem Post yang mendakwa anggota Briged Al-Qassam menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan.


Shin Bet menuduh unit komando Hamas itu menerima latihan seperti payung terjun dan ‘paragliding’ untuk memasuki kawasan selatan wilayah Israel.

Agensi Keselamatan Israel itu juga mendakwa ada anggota Hamas dijadual untuk melatih pejuang lain dalam kemahiran pertempuran bulan ini.

Dalam pada itu, Dr Khaled turut memaklumkan Hamas akan terus bertahan dalam mendepani serangan berterusan dan menyeluruh rejim Tel Aviv di Gaza.


“Kami tiada jalan lain selain mempertahankan diri. Hamas akan terus berjuang mempertahankan Gaza dan menyerang sasaran strategik ketenteraan Israel,” ujar beliau.


Selain perjuangan melalui gerakan gerila, Hamas meneruskan usaha melalui jalan politik dan diplomasi antarabangsa dalam mendepani kekejaman rejim Israel.-Astroawani.com

No comments: