Friday, 22 August 2014

FITNAH WANITA : JANGAN DIBUAT MAIN-MAIN!!! BUKAN PERKARA ENTENG!!!

Kalaulah Allah ciptakan manusia tetapi tidak memberikan panduan kepada manusia mengenai 
cara untuk hidup, maka zalimlah Allah. 



Sebagaimana zalimnya pencipta kereta tetapi 
tidak menyediakan manual penggunaan kereta. 
Maha Suci Allah dari sifat zalim, bahkan Allah 
adalah tuhan yang Maha Adil. Tidak sesekali 
Allah menzalimi manusia melainkan manusia 
sendirilah yang menzalimi diri mereka.

Hakikatnya, manusia dicipta beserta panduan 
bagaimana untuk hidup. Panduan-panduan itu menjelaskan banyak perkara. Itu boleh, ini pula 
tak boleh. Itu disuruh, ini pula dilarang. 


Di sebalik kesemuanya, ada hikmah besar yang tersembunyi untuk kebaikan ummat manusia. Demikianlah aturan Allah yang Maha Bijaksana.

Salah satu panduan yang diberikan oleh Allah – 
dan disampaikan melalui lisan Rasul-Nya yang 
mulia – adalah betapa pentingnya menjaga diri 
dari fitnah kaum wanita.

Sabda Nabi s.a.w :

ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
" Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih 
dahsyat ke atas kamu selepas 
pemergianku melainkan fitnah 
kaum wanita "
[ H.R Bukhari ]

FITNAH

Dalam kalangan orang kita, fitnah yang difahami 
lebih bersifat tuduhan yang tidak benar. Jika 
seseorang menuduh atau mendakwa perkara 
yang bohong, maka itu dinamakan sebagai 
fitnah. 

Namun dari segi bahasanya, fitnah juga membawa maksud Al-Ikhtibar, Al-Ibtila’dan Al-Imtihan di mana semuanya berkisar dalam makna ujian dan cubaan, sebagaimana disebut oleh Imam Ibn Hajar, Ibn 
Manzur dan lain-lain.

Salah satu makna fitnah yang bertepatan dengan 
takrifan di atas adalah nas dalam hadith yang 
dinyatakan sebelum ini. 

Iaitu tidak ada ujian atau cubaan yang lebih 
besar ditinggalkan oleh Nabi s.a.w ke atas 
ummatnya melainkan ujian dan cubaan dari 
kaum wanita.

TEBALNYA IMAN ???

"Takpe, aku tahu jaga diri. Janganlah rigid 
sangat. Aku dan dia cuma contact atas dasar 
kerja, dan sesekali berkongsi masalah. Tak 
ada melibatkan hati pun, jangan risaulah. 
Lagi pun dia bukan taste aku..”.

Demikian jawapan si jejaka berjanggut sejemput 
apabila ditegur.

Pemerhatian saya, ramai lelaki menganggap 
fitnah wanita hanya menyentuh perihal hati, 
atau lebih jelas, soal jatuh hati. Maknanya, 
selagi mereka mampu jaga hati dari jatuh hati, 
atau selagi mereka yakin mereka tidak akan 
jatuh hati, maka tidak ada apa yang hendak 
dirisaukan.

"Alah. Aku dah ada tunang. Tunang aku kawan 
baik dia kot. Takkanlah nak jatuh hati pulak. 
Kitorang just rapat, tu je..”

"Mustahillah nak ada apa-apa perasaan. Aku 
dah anggap dia macam adik aku sendiri..”

Seorang lagi juga dengan nada yang sama : 

" Aku dah anggap dia macam kakak aku sendiri, 
takde apa-apa lah..”

MEREKA LUPA

Dalam jawapan-jawapan senang hati tersebut, 
mereka terlupa satu perkara. Justeru hadirnya 
tulisan ini untuk mengingatkan bukan hanya 
mereka, bahkan diri sendiri juga.

Syaitan itu tugasnya menggoda lelaki dan wanita 
untuk jatuh hati dan berputik perasaan cintakah?

Bagaimana kalau saya katakan, syaitan sebenarnya 
tidak pernah menolong dua manusia untuk jatuh 
cinta, bahkan itu sama sekali bukan kerja syaitan. Bagaimana?

Semak balik apa ayat berlepas diri syaitan dalam 
Al-Quran. 

Katanya : "Allah menjanjikan perkara yang benar sedangkan aku menjanjikan perkara bathil dan 
aku memungkiri semua janji-janji aku. 

Dan antara aku dan engkau – wahai manusia yang disesatkan – tidak ada apa-apa melainkan aku ajak engkau ke arah kejahatan dan engkau mengikut aku. Jadi jangan engkau mencela aku sebaliknya engkau celalah diri engkau sendiri".
Kata-kata syaitan ini termaktub dalam Surah Ibrahim.

Cinta suatu yang suci. Jatuh hati atas dasar 
cintakan agama, mahu memiliki zuriat dan 
membina sebuah perkahwinan yang halal adalah 
hasrat dan tujuan yang suci. Syaitan tidak 
membantu benda yang suci. Dia hanya 
membuka pintu kejahatan dan kekotoran.

Justeru, yang digoda antara lelaki dan wanita 
bukan untuk jatuh hati, tetapi untuk melakukan 
perkara-perkara faahisyah ( keji ) dan mungkar!

Matlamat godaan adalah supaya berlaku zina. 
Itu perlu diingat. Bukan matlamat godaan supaya bercinta dan berkahwin, tidak sama sekali. Kalau 
tak sampai berzina, dapat mukaddimah zina pun 
jadilah. Itu target syaitan.

Maka apabila dua anak adam berlainan jantina berhubung atas sesuatu tujuan yang syar’ie 
sekalipun, syaitan tidak akan duduk diam. 
Meskipun kedua-duanya tidak ada alasan untuk 
jatuh hati antara satu sama lain, tetapi mereka 
masih punya alasan untuk jatuh nafsu antara 
satu sama lain!

KECELAKAAN
Ada jejaka berkecil hati dan bersedih apabila hasrat hatinya ditolak oleh seorang wanita. Hatinya sudah berpaut, tetapi takdir tidak menyebelahinya. Terasa menyesal pula menyentuh sang mawar. 

Akhirnya terkena duri di jari, pedihnya sampai ke 
ulu hati. Tidur malam sampai termimpi-mimpi. 
Jiwa meracau setengah mati.

Lebih malang apabila ada jejaka berhati suci mahu memetik si mawar yang terpikat di hati. Rupanya 
tertipu dengan perasaan sendiri. Si mawar bukan 
hanya berduri, bahkan mempunyai racun 
tersembunyi. Terhina, malu dan terasa seperti 
tiada harga diri apabila ditolak mentah-mentah 
atas alasan ‘ kau syok sendiri’.

Itu sudah dianggap satu kecelakaan. Bukan 
mudah untuk diterima oleh seorang lelaki, 
apatah lagi jika benar-benar punyai hasrat 
suci di hati.

Namun sebenarnya, kecelakaan dari fitnah wanita 
adalah jauh lebih hebat dan dahsyat daripada itu. Setakat makan hati, itu masih kecil sebenarnya.

Al-Qurthubi pernah menulis suatu kisah berkenaan fitnah kaum wanita di dalam risalahnya At-Tazkirah 
Fi Umuril Akhirah. Fitnah yang bisa mengeluarkan seorang lelaki dari agamanya sendiri!

Kisah seorang lelaki yang melazimi masjid dan 
gemar melaungkan azan. Bererti seorang yang 
istiqamah datang awal ke masjid. 

Wajahnya bersinar dengan cahaya ketaatan 
dan ketenangan, bahkan menjadi ikon kebaikan 
dalam masyarakat. Setiap hari dia memanjat 
tangga menara untuk melaungkan azan. 

Suatu hari, ketika menaiki tangga menara, dia terpandang tingkap suatu rumah yang dimiliki 
oleh orang Nasrani, lalu terlihat di dalamnya 
puteri tuan rumah tersebut. 

Terpegun dengan kecantikannya, dia menuruni 
menara dan pergi ke rumah tersebut lantas 
menemui si wanita.

Wanita tersebut terkejut dengan kehadirannya 
lalu bertanya ; apa yang engkau mahu? 
Dijawab oleh pemuda seakan terpukau, aku 
mahukan engkau. Tanya si wanita lagi, kenapa? 

Dijawabnya, kerana hatiku telah terpaut dengan kecantikanmu dan engkau sebenarnya telah 
merampas hatiku.

Si wanita terdiam lalu berkata ; engkau muslim, sedangkan aku nasrani. Ayahku tidak akan membenarkan aku mengahwini muslim. 

Terus dijawab oleh si lelaki ; jika begitu, aku masuk nasrani. 

Si wanita lalu berkata ; kalau engkau masuk nasrani, 
aku bersedia. 

Akhirnya si lelaki murtad dari agamanya dan mengahwini wanita tersebut. Dia tinggal bersama 
wanita tersebut sehinggalah suatu hari dia naik ke bumbung rumah lalu ditakdirkan Allah, dia terjatuh 
dari bumbung tinggi tersebut dan meninggal dunia.

Maka alangkah rugi segala kerja buatnya dan 
rugilah segala amalannya. Mati di dalam kesudahan yang buruk ( suul khaatimah ) hanya kerana cubaan kecantikan dari seorang wanita.

Bukankah itu suatu kecelakaan yang paling besar?

TERPIKAT
Target syaitan adalah memastikan kita 
– para jejaka – terpikat dengan kaum wanita. 
Biar apapun status wanita tersebut. 

Celah mana ada kelompongan, syaitan akan 
pantas mengambil jalan. Sebab itu soal ikhtilat 
wajib dititikberatkan. 

Ia wajib menjadi antara fokus utama dakwah 
dalam masyarakat, apatah lagi buat mereka 
yang mempunyai kuasa.

Soal siapa si wanita, itu tidak penting. Berapa 
umurnya, statusnya, guru, ustazah, apa sahaja. 
Semua itu tidak menjadi halangan untuk syaitan 
mencari jalan supaya para lelaki terjerumus ke 
kancah zina dan maksiat.
Ambillah ibrah dari betapa banyak kisah yang 
sampai kepada kita.

Ada di antaranya, di peringkat awal langsung 
tidak pernah suka, bahkan mendabik dada 
‘mustahil untuk suka’. 

Katanya, si wanita tidak cantik rupa. Akhirnya, 
sedikit demi sedikit syaitan tonjolkan ‘kecantikan’ 
si wanita, di kala si lelaki lupa bahawa cantik pada wanita bukan semata-mata rupa parasnya. 

Bahkan antara faktor cantiknya wanita adalah keterampilan dan cara si wanita membawa diri 
dalam pergaulannya. 

Cara bercakap, cara senyum, cara memberi 
respon, cara bertanya dan seribu satu yang lain. 
Inilah keunikan wanita dan inilah juga lubang-
lubang yang di ambil kesempatan oleh syaitan 
bagi menyesatkan para jejaka.

DOA DAN USAHA
Takutlah kamu kepada fitnah wanita.
Apabila Nabi s.a.w sendiri yang mengingatkan, 
maka yakinlah bahawa impak daripadanya sangatlah besar. 

Jangan dipandang enteng dan jangan diambil 
mudah. Jangan diperkecilkan soal ikhtilat antara 
lelaki dan wanita. Jangan diambil ringan hubungan-hubungan yang tidak terjaga atas nama ‘biasa-biasa saja’.

Dalam kelembutan seorang wanita, dalam 
tangisannya yang kita kata sebagai tanda 
lemahnya dia, engkau wahai lelaki boleh 
menangis dan meratap berpuluh kali ganda 
lebih hebat jika terkena fitnah mereka. 

Seorang lelaki di mercu kejayaan, dihormati 
dan disanjungi, boleh menjadi hina dina 
sekelip mata hanya kerana fitnah dari wanita.

Dan sesungguhnya, kita benar-benar bermohon daripada Allah agar diselamatkan dari fitnah kaum wanita. 

Benarlah sabda Nabi s.a.w bahawa mereka 
adalah sedahsyat-dahsyat cubaan yang 
ditinggalkan selepas pemergian Baginda!!!



No comments: