PENCURIAN
PENGERTIAN PENCURIAN
Pencurian adalah mengambil barang kepunyaan orang lain dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanannya yang wajar. Ciri-ciri pencuri itu ialah:
1. Mengambil barang kepunyaan orang lain.
Pencurian yang tidak termasuk dalam jenis pencurian yang dikenakan hukuman potong tangan ialah mengambil barang dari Baitulmal, mengambil barang kepunyaan syarikat di mana ia menjadi ahli, suami mencuri barang isteri dan sebaliknya, dan orang tua yang mencuri kepunyaan anaknya.
2. Secara senyap-senyap.
Mengambil barang orang lain secara terang-terangan (merampas) tidak dinamakan pencurian yang dikenakan hukuman had.
3. Barang diambil dari tempat simpanan yang wajar.
Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah, ambil haiwan di ladang walaupun dinamakan pencurian , tetapi tidak dikenakan hukuman potong tangan.
4. Dengan sengaja.
Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, kerana terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong tangan.
“Umatku tidak dipertanggungjwabkan kerana tersalah, terlupa dan orang-orang yang dipaksakan.”
(Hadith riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Thabarani, dan Al-Haakim)
SYARAT-SYARAT PENCURIAN
Pencurian yang berakibat hukum barulah wujud apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
Pencuri:
Mukallaf: dewasa dan berfikiran waras. Tidak ditetapkan pencuri mesti beragama Islam. Orang bukan Islam yang mencuri juga dikenakan hukuman potong tangan.
Perbuatan mencuri dilakukan dengan sengaja.
Pencuri tiada subhat (hubungan langsung) dengan barang-barang yang dicuri. Seperti bapa mencuri barang anaknya, atau ahli syarikat mencuri harta syarikat, mereka tidak dikenakan hukuman had.
Barang-barang yang dicuri:
Barang yang dicuri adalah halal dari segi hukum.
Barang-barang yang dicuri berada dalam tempat simpanannya yang layak.
Barang-barang yang dicuri cukup nisabnya:
Menurut pendapat jumhur ulama’, nisab barang-barang yang dicuri ialah bernilai ¼ dinar emas atau tiga dirham perak (9.36 gram emas) atau senilai ¼ dinar. Pendapat inilah yang paling kuat dari segi dalilnya.
“Aisyah r.a. berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. memotong tangan pencuri yang mencuri ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)
“Umar r.a meriwayatkan: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith)
“Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu potong tangan pencuri, kecuali pada ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasai, dan Ibn Majah)
Golongan mazhab Hanafi berpendapat, bahawa nisabnya mestilah lebih daripada 10 dirham.
Ada lagi pendapat-pendapat lain yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’.
PENCURIAN BERKUMPULAN
Apabila sekumpulan orang mencuri barang kepunyaan orang lain, dan jika dibahagikan masing-masing cukup nisab, maka semua mereka dipotong tangan. Akan tetapi jika barang yang dicuri itu cukup nisabnya, tetapi setelah dibahagikan masing-masing tidak cukup nisabnya, dalam hal ini para ulama’ berselisih pendapat.
Golongan Jumhur ulama’ berpendapat mereka dipotong tangan kerana jumlah barang yang dicuri telah cukup nisabnya, bukan setelah dibahagikan untuk ramai.
Abu Hanifah pula berpendapat mereka tidak dipotong tangan kerana barang yang dicuri mereka tidak mencukupi nisab apabila dibahagikan masing-masing.
SABIT KESALAHAN MENCURI
Kesalahan mencuri menjadi sabit melalui salah satu dari dua perkara:
Pengakuan oleh pencuri sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi lelaki yang adil.
UQUBAH KE ATAS KESALAHAN PENCURIAN
Hukuman potong tangan
Barangan curian hendaklah dikembalikan
Menggantungkan tangan yang dipotong di leher pencuri
Dari Aisyah r.a., "Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sesungguhnya akan aku potong tangannya itu."(Hadis riwayat Ahmad, Ashab al-Kutub as-Sittah)
GUGURNYA HUKUMAN POTONG TANGAN
Apabila pencuri menarik balik pengakuannya sebelum dikenakan hukuman potong tangan, maka gugurlah hukuman potong tangan itu ke atasnya.
PENCURIAN YANG TIDAK DIKENAKAN HAD
Pencurian yang dikenakan hukuman Ta’zir:
Pencurian yang dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila
Pencurian yang tidak cukup nisab
Pencurian atas barang-barang kepunyaan bersama
Pencurian atas barang-barang yang tidak sah dimiliki
Pencurian yang dipaksakan atau kerana terlalu lapar
Pencurian yang dilakukan oleh orang tua terhadap harta milik anaknya
MUHARABAH (PEROMPAKAN)
PENGERTIAN
Muharabah atau Hirabah ialah sekumpulan bersenjata dalam sesebuah negara Islam yang menimbulkan kekacauan, menumpahkan darah, merompak harta benda, memperkosa kehormatan wanita, menculik, merosakkan tanaman, ternakan dan sebagainya. Perompak ini mungkin dilakukan oleh orang Islam dan mungkin dilakukan oleh orang kafir zimmi atau harbi.
SYARAT-SYARAT MUHARABAH
Muharabah mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
Yang melakukannya ialah orang mukallaf, lelaki atau perempuan, Islam atau tidak.
Mempunyai kekuatan senjata yang dipergunakan untuk perompakan walaupun tongkat ataupun batu.
Melakukannya secara terang-terangan.
Dan lain-lain syarat yang diperselisihkan ulama’.
UQUBAH TERHADAP KESALAHAN HIRABAH
Allah s.w.t. menetapkan empat hukuman atas kesalahan muharabah ini:
Hukuman mati, atau
Hukuman salib, atau
Potong tangan dan kaki secara bersilang, atau
Dibuang negeri
Segolongan ulama’ berpendapat hakim boleh memilih hukuman berdasarkan betapa besarnya kesalahan atau jenis kesalahan yang telah dibuat pesalah.
PELAKSANAAN HUKUMAN
Setelah adanya pengakuan daripada pesalah sendiri (hukuman digugurkan apabila pesalah menarik balik pengakuan) atau dengan persaksian dua orang saksi lelaki yang adil, maka hukuman dilakukan seperti berikut:
Kumpulan perompak yang membunuh sahaja dikenakan hukuman mati. Hakim dan wali yang terbunuh tidak boleh memaafkan pesalah.
Kumpulan perompak yang membunuh dan merompak harta benda dikenakan hukuman salib dan bunuh.
Kumpulan yang hanya merompak harta benda dikenakan hukuman potong tangan dan kaki secara bersilang.
Terhadap kumpulan yang hanya mengganggu ketenteraman atau lalulintas hanya dikenakan hukuman buang negeri.
TAUBAT SEBELUM DITANGKAP
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa taubat hanya menggugurkan hukuman pencurian dan pelanggaran hak-hak Allah, tetapi dipertanggungjawabkan atas pertumpahan darah (membunuh) dan harta benda yang masih wujud lagi di tangan perompak.
CARA BERTAUBAT
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa perompak perlu meninggalkan kejahatan perompakannya tanpa perlu mendatangi kepala negara, ataupun ia membuang senjatanya dan mendatangi kepala negara sebagai seorang yang taat.