Sunday, 15 March 2015

Perjuangan IS Ibarat Mati Katak!!!

Rasulullah saw. tidak pernah membunuh tawanan.









Perjuangan IS Ibarat Mati Katak - SS Mufti Perak.



Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyeru umat Islam supaya menjauhi perjuangan kumpulan militan negara Islam (IS) kononnya untuk mengejar syahid kerana perbuatan mereka tidak dianggap syahid sebaliknya diibaratkan seperti 'mati katak', umpama matinya seorang penjenayah.


Beliau juga meminta ibu bapa dan pelajar termasuk yang menuntut di luar negara supaya jangan sesekali terburu-buru untuk berjuang atas nama Islam dan syahid kerana perbuatan IS itu tidak dianggap mati syahid.

Katanya, semua pihak perlu berfikiran waras dan para pendakwah juga perlu memainkan peranan mereka untuk menjelaskan tentang isu IS ini kepada seluruh umat Islam dengan sebaik mungkin.



Menurut Harussani, IS bukan memperjuangkan Islam yang sebenarnya, sebaliknya hanya merupakan kumpulan penjenayah yang mungkin menggunakan nama Islam untuk mendapatkan pengaruh dan menegakkan keinginan mereka.



Katanya lagi, fatwa mengenai perjuangan IS ini tidak direstui oleh seluruh negara Islam malah pelantikan khalifah juga tidak diketahui atas persetujuan siapa.



"Islam agama yang membawa rahmat dan Nabi sendiri sewaktu hidup dan dalam peperangan sama sekali melarang pembunuhan terhadap orang tua, kanak-kanak, wanita dan orang yang berada di tempat-tempat ibadat.



"Apa yang berlaku dan kita lihat hari ini, kanak-kanak, orang tua dan perempuan disembelih dan tindakan ini sama sekali bertentangan dengan cara Islam," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Islamn Ipoh pada Khamis.



Menurut Harussani, dalam Islam, jika seseorang itu bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh, maka hendaklah ia dilakukan sekali iaitu hukuman pancung.



"Sebaliknya tindakan kumpulan militan lS ini lebih daripada menyembelih kambing, lembu dan lebih buruk daripada perbuatan syaitan, ia bukan daripada ajaran Islam," katanya.

No comments: