Wednesday, 25 March 2015

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 6.

5.4 QAZAF




Qazaf bermaksud tuduhan zina. Tuduhan selain zina tidak termasuk dalam Hudud, tetapi termasuk dalam Ta’zir. 

Tuduhan zina sangat besar dosanya. Qazaf hendaklah dengan perkataan yang terang dan jelas iaitu dengan menggunakan perkataan zina atau menafikan anak yang dilahirkan isterinya atau yang sedang dikandung isterinya, atau menggunakan perkataan yang serupa dengan zina dalam bahasa lain.

Menurut beberapa pendapat ulama’, tuduhan mestilah secara terbuka, tuduhan secara tertutup tidak termasuk dalam qazaf. Namun dalam Al-Quran dan As-Sunnah menyebut tentang qazaf secara umum, jadi qazaf secara terbuka, tertutup, bertulis dan sebagainya dikira sebagai qazaf menurut pandangan sebilangan besar Jumhur ulama’

SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN
Qazaf menjadi sabit apabila memenuhi syarat-syarat yang berikut:

1. Orang yang menuduh:

Berfikiran waras
Dewasa
Tuduhan dilakukan secara terang-terangan dan sengaja, bukan dipaksa.
Tidak disyaratkan penuduh mesti orang Islam. Orang kafir yang menuduh orang Islam akan dikenakan hukuman had juga.

2. Orang yang dituduh:

Berfikiran waras
Dewasa
Kebanyakan dari pendapat ulama’ membataskan umur lelaki yang dituduh ialah 10 tahun dan perempuan yang dituduh ialah 7 atau 9 tahun.

3. Orang Islam

4. Merdeka

Menuduh hamba tidak dikenakan had, demikian pendapat jumhur ulama’, antaranya ialah Abu Hanifah, Asy-Syafie, Maliki, Al-Auzai’, Sufian Ath-Thauri, dan lain-lain.

5. Orang yang dituduh tidak membuat zina sebelum dan sesudah dituduh.


SABIT KESALAHAN QAZAF

Kesalahan qazaf menjadi sabit melalui salah satu dari dua cara:

Kerana pengakuan penuduh sendiri, dan ia gagal mendatangkan empat orang saksi, atau
Kerana persaksian dua orang lelaki yang adil

UQUBAH KE ATAS KESALAHAN QAZAF

Uqubah yang dikenakan ke atas penuduh ialah:

Lapan puluh pukulan cemeti

Hilang hak persaksian kerana ia sudah tergolong dalan golongan orang-orang fasiq. 

Haknya akan pulih apabila ia bertaubat dan beramal soleh.

Pelaksanaan hukuman ini dilakukan oleh hakim atas tuntutan yang tertuduh sendiri atau walinya.

Dari Ibnu Abbas, "Hendaklah engkau bawakan empat orang saksi dalam menuduh zina terhadap seseorang, atau hukuman sebat ke atas belakangmu"
(Hadis riwayat Bukhari)


GUGURNYA HUKUMAN

Penuduh akan terlepas dari hukuman had apabila ia dapat mengemukakan empat orang saksi seperti saksi-saksi dalam bab zina, ataupun apabila tertuduh sendiri membuat pengakuan berzina yang dituduhkan ke atasnya. 

Jika penuduh berjaya mengemukakan empat orang saksi, maka gugurlah hukuman had ke atasnya, sebaliknya tertuduh dikenakan hukuman had penzina.

LI’AN

Kadang-kadang qazaf ini dilakukan oleh suami terhadap isterinya padahal ia tidak mempunyai empat orang saksi dan si isteri tidak mengaku bersalah.

Dalam hal ini, apabila suami menuduh isterinya berzina atau menafikan anaknya dan ia tidak mempunyai empat orang saksi, maka ia dibebaskan dari hukuman had qazaf, dan diberi kesempatan untuk bersumpah sebanyak empat kali bahawa isterinya benar-benar berzina, dan pada kali kelima ia bersumpah: Jika aku berbohong, maka aku akan mendapat laknat dari Allah.


Dan si isteri pula diberi hak untuk membela dirinya dengan bersumpah empat kali bahawa suaminya berbohong dan untuk kali kelima ia bersumpah: Jika suamiku benar dengan tuduhannya, maka aku akan mendapat kemurkaan dari Allah s.w.t.. Inilah yang dinamakan Li’an.


No comments: