Saturday, 14 March 2015

KALIMAH SYAHADAH!!!



OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI 
KULIAH DAKWAH & USULUDDIN UNI. ISLAM MADINAH

MAKNA KALIMAH SYAHADAH:
Kalimah Syahadah iaitu ucapan:
لا إلــــــه إلا الله محمد رسول الله
Ucapan ini membawa maksud: “Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali ALLAH, Muhammad itu Pesuruh ALLAH”.
Makna Ilah dalam bahasa Arab adalah yang disembah dan ditaati, kata Fairuz Abadi dalam Qamus:

ألَهَ إِلاهَةً وأُلُوهَةً وأُلُوهِيَّةً: عَبَدَ عِبادَةً، ومنه لَفْظُ الجلالِة، واخْتُلِفَ فيه على عِشْرِينَ قَوْلاً ذَكَرْتُها في المباسِيطِ، وأصَحُّها أنه عَلَمٌ غيرُ مُشْتَقٍّ، وأصْلُه إِلهُ، كفِعالٍ، بمعنى مَأْلُوهٍ. وكلُّ ما اتُّخِذَ مَعْبُوداً إِلهٌ عند مُتَّخِذِهِ، بَيِّنُ الإِلاَهَةِ والأُلْهانِيَّةِ، بالضم

Jelas dripada penjelasan Fairuz Abadi ini kalimah Ilah bermakna Ma’luh yakni Ma’bud (yang disembah) dan setiap yang disembah adalah Ilah pada sisi orang yang menyembahnya.

Dalam Mu’jam al-Wasit terbitan Majma’ al-Lughah al-‘Arabiah dinyatakan:
(الْإِلَه) كل مَا اتخذ معبودا (ج) آلِهَة

Maksudnya: “al-Ilah” adalah semua yang dijadikan sebagai sembahan, pluralnya: Aa-lihah.

Tafsiran yang membawa makna Ilah kepada selain makna sembahan adalah makna yang batil berlawanan dengan Bahasa Arab dan tertolak.
Adapun Syahadah Risalah merupakan kelaziman bagi Syahadah Tauhid, mengandungi makna Iqrar bahawa Muhammad bin Abdullah sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah Utusan ALLAH yang diberikan wahyu kepadanya oleh ALLAH ta’ala’.

 Maksud Syahadah ini adalah Iqrar kita untuk patuh dengan semua arahan dan perkhabaran yang disampaikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam kerana firman ALLAH:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “dan Tidaklah Kami (ALLAH) utuskan seorang Rasul melainkan supaya dia (Rasul itu) ditaati dengan izin ALLAH …” [al-Nisaa: 64].

RUKUN KALIMAH SYAHADAH

Rukun Syahadah Tauhid ada dua iaitu:

Pertama: Nafi; yakni menafikan segala sembahan selain ALLAH
Kedua: Isbat; yakni menetapkan sifat Ilahiah (semabahan) yang hak hanya kepada ALLAH sahaja.

Dalilnya firman ALLAH ta’ala:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاءٌ مِمَّا تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “dan ketika mana berkata Ibrahim kepada bapanya dan kaumnya: Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah”
Ini adalah dalil bagi Nafi yakni menafikan segala sembahan selain ALLAH, kemudian firman ALLAH:

إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ
Maksudnya: “melainkan Dia yang menciptakan aku (yakni ALLAH) sesungguhnya Dia lah yang akan memberi aku petunjuk”.

Ini adalah dalil Isbat yakni menetapkan Uluhiyyah hanya kepada ALLAH ta’ala sahaja. [Surah al-Zukhruf: 26 dan 27].

SYARAT-SYARAT KALIMAH SYAHADAH

Syarat kalimah Syahadah ada Tujuh Syarat berdasarkan penelitian dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang Sahihah iaitu:

Pertama: al-‘Ilm; yakni Ilmu. Maksudnya hendaklah mereka yang menutur dua kalimah Syahadah ini mengetahui maknanya dan memahami maksud kalimah ini. Menuturkannya dalam keadaan jahil maknanya maka ianya tertolak. Dalil Syarat ini firman ALLAH ta’ala:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “maka ketahuilah bahawa Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali ALLAH…” [Muhammad: 19]

Firman ALLAH ta’ala:
وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ الشَّفَاعَةَ إِلَّا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “dan tidaklah memiliki orang-orang yang diseru (oleh kaum musyrikin daripada sembahan mereka yang batil) selain ALLAH akan syafaat kecuali mereka yang bersaksi dengan al-Haq (yakni kalimah Tauhid) dalam keadaan mereka mengetahui”. [al-Zukhruf: 86]

Dalam ayat ini ALLAH menafikan adanya Syafaat daripada sembahan-sembahan kaum Musyrikin kemudian Dia menetapkan adanya Syafaat di akhirat bagi mereka yang mentauhidkan ALLAH dalam keadaan mereka mengetahui makna kalimah Tauhid itu. [Rujuk Tafsir al-Tabari].

Kedua: al-Yaqin; hendaklah penutur kalimah Syahadah Yakin dengan makna dan kandungannya, tidak syak akannya sebagaimana firman ALLAH ta’ala:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu mereka yang beriman dengan ALLAH dan RasulNya kemudian mereka Tidak Ragu-ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan ALLAH mereka itulah orang-orang yang benar (dalam keimanan mereka)”. [al-Hujurat: 15].

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ، لَا يَلْقَى اللهَ بِهِمَا عَبْدٌ غَيْرَ شَاكٍّ فِيهِمَا، إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Aku bersaksi Bahawa Tiada sembahan yg benar kecuali ALLAH dan bahawa aku (yakni Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam) adalah Utusan ALLAH”; Tidaklah seorang hamba bertemu ALLAH dengan bersaksi akannya tanpa ragu-ragu pada keduanya melainkan dia pasti masuk Syurga”. [HR Muslim].

Ketiga: al-Qabul; yakni penerimaan dengan sepenuh jiwa terhadap makna kalimah ini dan tuntutannya, Tidak membantah dan Tidak menolak kerana sikap kaum Musyrikin apabila disuruh mengucap dua kalimah Syahadah mereka angkuh dan sombong serta enggan mengucapkannya:
إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Adalah mereka itu apabila dikatakan kepada mereka: La ilaha illallah; maka mereka sombong enggan mengucapkannya” [al-Saffat: 35]

Mafhum Ayat ini adalah Ingkar akan kandungan La ilaha illallah adalah Kufur, maka menjadi syarat untuk sahnya adalah Menerima dengan hati dan lisan akan kalimah ini.

Keempat: al-Inqiyad; iaitulah menyerah diri dan patuh kepada tuntutan kalimah ini dengan jiwa raga dan anggota badan, melaksanakan tuntutannya dengan mentauhidkan ALLAH dan meninggalkan Syirik. Firman ALLAH ta’ala:
وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: “dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH dengan mentauhidkanNya sedangkan dia patuh dengan perintah ALLAH maka dia telah berpegang dengan al-‘Urwah al-Wustqo (iaitulah Kalimah Tauhid) dan kepada ALLAH jua akibat segala urusan” [Luqman: 22]

Kelima: al-Sidq yakni Benar; berlawanan dengan Munafiq, maka seorang mukmin disyaratkan mengucapkan kalimah Tauhid dalam keadaan dia benar mengakui kalimah itu pada batinnya. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ  مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ، إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang bersaksi bahawa Tiada sembahan yang hak kecuali ALLAH dan bahawa Muhammad itu Utusan ALLAH benar dari hatinya melainkan ALLAH haramkan atasnya neraka”. [HR Al-Bukhari & Muslim]

Keenam: al-Ikhlas; yakni hendaklah dia mengucapkan Syahadah dalam keadaan dia ikhlas mengharapkan ALLAH semata-mata bukan kerana menunjuk-nunjuk pada manusia seperti kaum Munafiqin, riya’ dalam mengucap dua kalimah Syahadah adalah Kufur Akbar yang menjadikan pelakunya kafir munafiq kekal di bawah nerka paling bawah. Nauzubillah min zalik.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:
أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ القِيَامَةِ، مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ، أَوْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Manusia yang paling bahagia mendapat Syafaatku di hari kiamat adalah barangsiapa yang mengucapkan La ilaha illallah ikhlas daripada hatinya atau dirinya” [HR al-Bukhari].

Ketujuh: al-Mahabbah yakni mencintai kalimah ini dan ahlinya serta tuntutannya dan membenci Syirik dan ahlinya dan apa-apa yang berlawanan dengan kalimah ini.

Firman ALLAH ta’ala:
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” [al-Mujadilah: 22]

Firman ALLAH juga:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Maksudnya: “Adalah bagi kamu pada Ibrahim dan yang bersama dengannya (beriman dengannya) contoh ikutan yang baik ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka (yang musyrik): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain ALLAH dan kami Kufur dengan agama kamu dan telah ketaralah antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian selama-lamanya sehingga kamu beriman dengan ALLAH yang Esa…” [al-Mumtahanah: 4]

Ayat-ayat yang mewajibkan kita berlepas diri daripada kekufuran dan membencinya menjadi dalil kewajipan untuk kita mencintai Tauhid dan memberi Wala’ (kesetiaan) padanya.

Kalimah Syahadah jika diucapkan dengan Lisan tanpa dilaksanakan Tuntutan dengan Hati dan Anggota maka ia sia-isa, demikian juga sekadar iqrar di dalam Hati tanpa diucapkan dengan lisan dan diamal dengan Anggota adalah sia-sia kerana Ulama’ Salaf telah Ijmak Iman itu adalah: Ucapan dan Amalan; Ucapan Hati dan Lisan, Amalan Hati, Lisan, dan Anggota Badan.

Mereka yang melafazkan kalimah ini dengan Lisan namun melakukan amalan-amalan yang berlawanan dengan asal kalimah ini seperti Syirik kepada ALLAH atau menghalalkan apa yang ALLAH Haramkan dan sebaliknya maka ia membawa kepada terbatalnya Syahadah.

No comments: