Wednesday 11 March 2015

MENASIHATI PEMERINTAH SECARA SEMBUNYI!!!

MENASIHATI PEMERINTAH SECARA SEMBUNYI: KHUSUS UNTUK ‘AIB PERIBADI?




OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Antara alasan yang sering dijadikan sebagai dalih oleh sesetengah golongan Haraki dewasa ini dalam isu menasihati pemerintah secara sirr (sembunyi) adalah mereka mengkhususkan perintah ini kepada ‘aib peribadi pemerintah atau maksiat peribadi yang tiada kaitan dengan maslahat rakyat pada sangkaan mereka.

Adapun kesalahan-kesalahan pemerintah yang berkaitan dengan siyasah dan pentadbiran Negara maka menurut mereka perlulah diwar-warkan dan dihebohkan serta dicerca pemerintah itu secara terbuka.

Namun, adakah pendapat seperti ini benar dan selari dengan nas-nas yang memerintahkan supaya menasihati pemerintah secara sembunyi atau bersesuaian dengan kefahaman Ulama’ Kibar (besar) Ahlus Sunnah wal Jamaah? 

Maka berikut kami akan bentangkan hadis-hadis yang memerintahkan supaya menasihati pemerintah secara sembunyi dan pendapat para Ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah berkenaannya.

Hadis ‘Iyadh bin Ghanm radiallahu ‘anhu:
Hadis ini secara penuhnya adalah:


من طريق عبد الله بن أحمد، عن أبيه: حدثنا أبو المغيرة، حدثنا صفوان، عن شريح بن عبيد، عن جبير بن نفير، قال: جلد عياض ابن غنم صاحب دار حين فتحت فأغلظ له هشام بن حكيم القول، حتى غضب عياض، فمكث ليال ثم جاء هشام فاعتذر إليه. وقال له هشام: ألم تسمع رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول: «إِنَّ مِنْ أَشَدِّ النَّاسِ عَذَابًا أَشَدَّهُمْ لِلنَّاسِ عَذَابًا فى الدُّنْيَا؟» فقال له عياض: قد سمعنا ما سمعت ورأينا ما رأيت، أو لم تسمع رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول: «مَنْ أَرادَ أَنْ يَنْصَحَ لِذى سُلْطَانٍ عَامٍّ فَلا يُبْدِ لَهُ علانية، وَلَكِنْ لِيَخْلُ به، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ» . وإنك يا هشام لأنت الجرئ إذ تجترئ على سلطان الله، فهلا خشيت أن يقتلك السلطان، فتكون قتيل سلطان الله؟

Maksudnya: Daripada jalan Abdullah bin Ahmad daripada ayahnya (Imam Ahmad) kata beliau: 

telah mengkhabarkan kepada kami Abul Mughirah kata beliau: 

telah mengkhabarkan kepada kami Safwan daripada Syuraih bin ‘Ubaid daripada Jubair bin Nufair kata beliau: 

‘Iyadh bin Ghanm telah menyebat Gabenor Dara ketika mana ia dibuka lalu Hisyam bin Hakim telah memarahi beliau dengan ucapan yang kasar sehingga menyebabkan ‘Iyadh menjadi marah. 

Lalu setelah beberapa malam datanglah Hisyam kepada beliau untuk memohon maaf lalu berkata kepada beliau Hisyam: ‘Tidakkah kamu mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: 

“Sesungguhnya orang yang paling berat azabnya (di akhirat) adalah orang yang paling berat seksaannya terhadap manusia yang lain di dunia”? 

Maka berkata kepada beliau ‘Iyadh: Kami telah mendengar apa yang kamu dengar dan kami juga telah melihat apa yang kamu lihat, namun tidakkah engkau pula mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa yang hendak menasihati orang yang mempunyai kekuasaan am (pemerintah) maka janganlah dia lakukan secara terang-terangan tetapi hendaklah dia bersendiri dengannya, jika dia menerima nasihat itu maka itulah yang dikehendaki, namun jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. 

Sesungguhnya kamu wahai Hisyam amatlah berani (dalam melakukan kesalahan) kerana kamu berani melawan Sultan (penguasa) yang dilantik ALLAH maka apakah tidak kamu takut menjadi orang yang dibunuh oleh penguasa yang dilantik ALLAH?”.

[Hadis ini dikeluarkan Imam Ahmad dalam Musnad, al-Tabrani dalam Mukjam al-Syamiyyin, al-Hakim dalam al-Mustadrak, dll dan sanadnya tidak kurang dari Hasan li ghairih bahkan sanad yang dibawa Ibn Katsir melalui Ibn Atsir ini adalah Sahih li zatih. Rujuk: Jami’ al-Sunan wal Masanid oleh Ibn Katsir, Majma’ al-Zawaid oleh al-Haitsami dan Zilalul Jannah oleh Al-Albani].

Merujuk kepada Sebab didatangkan hadis ini jelas ia berpunca daripada Hisyam bin Hakim radiallahu ‘anhuma menegur ‘Iyadh bin Ghanm radiallahu ‘anh berkenaan tindakan siyasah beliau yang pada pandangan Hisyam berlawanan dengan Syarak iaitu ‘Iyadh telah menghukum Gabenor Dara secara melampau pada pandangan Hisyam. Maka ini adalah kefahaman Sahabat radiallahu ‘anhum bahawa teguran kepada pemerintah secara sembunyi adalah meliputi tindakan zalim atau kesalahan yang dilakukannya berkaitan Siyasah dan pentadbiran.

Hadis Said bin Jumhan:
Berkata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ، حَدَّثَنَا الْحَشْرَجُ بْنُ نُبَاتَةَ الْعَبْسِيُّ كُوفِيٌّ، حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ: أَتَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، قَالَ لِي: مَنْ أَنْتَ؟ فَقُلْتُ: أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ، قَالَ: فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ؟ قَالَ: قُلْتُ: قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ، قَالَ: لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ، لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ، حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ» ، قَالَ: قُلْتُ: الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمِ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا؟ قَالَ: «بَلِ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا» . قَالَ: قُلْتُ: فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ، وَيَفْعَلُ بِهِمْ، قَالَ: فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً، ثُمَّ قَالَ: «وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ، عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ، فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ، فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ، وَإِلَّا فَدَعْهُ، فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ»

Maksudnya: Telah mengkhabarkan kepada kami Abu al-Nadr (Hasyim bin al-Qasim) kata beliau: telah mengkhabarkan kepada kami: Hasyraj bin Nubatah al-‘Absi al-Kufi kata beliau: telah mengkhabarkan kepada aku: Sa’id bin Jumhan kata beliau: 

Aku datang berjumpa dengan Abdullah bin Abi Aufa radiallahu ‘anhuma sedangkan beliau telah pun buta maka aku memberi salam kepadanya lalu kata beliau: 

‘Siapakah kamu?’ Maka aku menjawab: Sa’id bin Jumhan. Kata beliau: Apa khabar ayahmu? Kata Sa’id: Dia telah dibunuh oleh al-Azariqah (firqah daripada al-Khawarij) kata beliau: “Laknat ALLAH atas al-Azariqah, Laknat ALLAH atas al-Azariqah, telah mengkhabarkan kepada kami Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa mereka itu adalah: Anjing-anjing neraka. Kata Sa’id:  al-Azariqah sahaja atau Khawarij keseluruhannya? Kata beliau: Bahkan al-Khawarij keseluruhannya. Kata Sa’id:  Sesungguhnya pemerintah menzalimi manusia dan melakukan kepada mereka begitu begini.  Lalu seraya beliau menarik tanganku dengan tarikan yang kuat kemudian berkata: “Alangkah kasihan kepada kamu wahai Ibn Jumhan, hendaklah kamu berpegang dengan as-Sawad al-A’zam, hendaklah kamu bersama dengan as-Sawad al-A’zam (yakni Jamaah kaum Muslimin bersama pemerintah mereka). 

Jika Pemerintah mendengar cakapmu maka pergilah kepadanya di tempat tinggalnya lalu beritahu kepada dia apa yang kamu tahu maka jika dia menerima daripada kamu maka itu yang baik, jika tidak maka biarkan dia kerana sesungguhnya kamu tidaklah lebih mengetahui daripada dia”. [Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan semua perawinya adalah tsiqah dan sahih].

Dalam hadis ini, Sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang sangat mulia dan masyhur di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam telah berdoa untuk Abu Aufa r.a:

اللَّهُمَّ صل على آل أبي أوفى

Maksudnya: “Ya ALLAH, berselawatlah (pujilah) ke atas keluarga Abi Aufa” [HR al-Bukhari & Muslim].

Abdullah bin Abi Aufa r.huma adalah anak kepada Abu Aufa dan salah seorang Ahli Bai’at al-Ridwan dan lihat bagaimana beliau memahami perlunya menegur pemerintah secara sir (sembunyi) dalam perkara yang dilihat mereka salah dalam isu-isu pentadbiran. 

Ini kerana apabila Sa’id bin Jumhan berkata bahawa pemerintah menzalimi manusia dan melakukan perkara-perkara yang tidak wajar, ini menunjukkan kritikan atas siyasah pemerintah dan tatacara pentadbirannya bukan kesalahan atau ‘aib peribadi.

Lalu segera Abdullah ibn Abi Aufa menarik tangan Ibn Jumhan dan menasihati beliau supaya menasihati pemerintah secara tertutup dan bersendirian antara mereka berdua sahaja. 

Kemudian kata Ibn Abi Aufa: jika dia (pemerintah) tidak menerima teguran maka biarkan kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia; kata-kata ini jika dikhususkan kepada maksiat dan ‘aib peribadi maka tidak akan sesuai kerana maksiat semua kaum muslimin mengetahui ianya salah, namun ini jelas menunjukkan kepada urusan pentadbiran dan siyasah yang mungkin pada pandangan rakyat tampak salah namun pada sisi yang lain ada maslahah yang pemerintah lebih ketahui.

Hadis Usaman bin Zaid radiallahu ‘anhuma:
Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Wail Syaqiq:

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، قَالَ: قِيلَ لَهُ: أَلَا تَدْخُلُ عَلَى عُثْمَانَ فَتُكَلِّمَهُ؟ فَقَالَ: أَتَرَوْنَ أَنِّي لَا أُكَلِّمُهُ إِلَّا أُسْمِعُكُمْ؟ وَاللهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ، مَا دُونَ أَنْ أَفْتَتِحَ أَمْرًا لَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ

Maksudnya: Daripada Usamah bin Zaid dikatakan kepada beliau: “Apakah kamu tidak mahu berjumpa Usman dan bercakap kepadanya (menasihatinya)?” maka jawab beliau: 

“Apakah kamu berpendapat bahawa aku mesti bercakap menasihati beliau melainkan aku perlu mendengarkannya kepada kamu? Demi ALLAH, aku telah menasihatinya dalam keadaan antara aku dan beliau tanpa aku membuka perkara yang aku tidak suka aku menjadi orang pertama membukanya…”

Berkata al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkenaan hadis ini dan maksud urusan yang tidak disukai untuk beliau menjadi orang pertama membukanya:

يعني المجاهرة بالإنكار على الأمراء في الملأ كما جرى لقتلة عثمان رضي الله عنه وفيه الأدب مع الأمراء واللطف بهم ووعظهم سرا وتبليغهم ما يقول الناس فيهم لينكفوا عنه وهذا كله اذا أمكن ذلك فإن لم يمكن الوعظ سرا والإنكار فليفعله علانية لئلا يضيع أصل الحق

Maksudnya: “Yakni mengingkari pemerintah secara terang-terangan di khalayak ramai seperti mana yang dilakukan oleh para pembunuh Usman radiallahu ‘anhu dan pada hadis ini terdapat Adab bersama pemimpin dan berlemah lembut dengan mereka dan menasihati mereka secara sembunyi dan menyampaikan kepada mereka apa yang manusia bercakap berkenaan mereka supaya mereka berhenti dari melakukannya. (jika ia sesuatu yang buruk) dan ini semua jika mampu dilakukan demikian, jika tidak mampu sama sekali menasihati secara sembunyi maka lakukanlah secara terang-terangan supaya tidak lupa asal kebenaran”. [Syarah al-Nawawi, 18/118].

Daripada hadis ini dan penjelasan al-Nawawi rahimahullah kita dapati bahawa asal dalam menasihati pemerintah adalah secara sembunyi dan tidak dinasihati ia secara terbuka kecuali dalam keadaan yang tidak memungkinkan dinasihati secara demikian seperti perlakuan yang memerlukan teguran segera seperti yang berlaku pada lelaki yang menegur Marwan bin al-Hakam rahimahullah semasa beliau hendak berkhutbah sebelum solat ‘eid kerana hal sebegini memerlukan pembetulan segera.

Demikian juga diketahui bahawa kelompok yang pertama mengingkari pemerintah secara terbuka adalah para pembunuh Usman radiallahu ‘anhu dan ia bid’ah yang dicipta Abdullah bin Saba’ al-Yahudi –’alaihi minallahi ma yastahiq- dan maklum pula teguran mereka secara terbuka terhadap Usman bin ‘Affan radiallahu ‘anh adalah berkaitan isu pentadbiran dan siyasah Negara bukan ‘aib-aib peribadi dan di manakah mungkin aka nada ‘aib peribadi pada diri Usman radiallahu ‘anhu dan Usamah bin Zaid r.huma telah ingkar tindakan mereka ini.

Menunjukkan juga bahawa Usamah r.a menasihati Usman r.a secara sir dalam urusan pentadbiran dan apa yang dicakap oleh orang ramai berkenaan siyasah beliau. Inilah dia kefahaman Sahabat radiallahu ‘anhum dalam menasihati pemerintah secara sir iaitu mencakupi semua jenis kesalahan pemerintah sama ada maksiat peribadi atau kesalahan yang berkaitan siyasah dan pentadbiran Negara.

Berkata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkenaan hadis ini:

قَالَ الْمُهَلَّبُ أَرَادُوا مِنْ أُسَامَةَ أَنْ يُكَلِّمَ عُثْمَانَ وَكَانَ مِنْ خَاصَّتِهِ وَمِمَّنْ يَخِفُّ عَلَيْهِ فِي شَأْنِ الْوَلِيدِ بْنِ عُقْبَةَ لِأَنَّهُ كَانَ ظَهَرَ عَلَيْهِ رِيحُ نَبِيذٍ وَشُهِرَ أَمْرُهُ وَكَانَ أَخَا عُثْمَانَ لِأُمِّهِ وَكَانَ يَسْتَعْمِلُهُ فَقَالَ أُسَامَةُ قَدْ كَلَّمْتُهُ سِرًّا دُونَ أَنْ أُفْتَحَ بَابًا أَيْ بَابَ الْإِنْكَارِ عَلَى الْأَئِمَّةِ عَلَانِيَةً خَشْيَةَ أَنْ تَفْتَرِقَ الْكَلِمَةُ ثُمَّ عَرَّفَهُمْ أَنَّهُ لَا يُدَاهِنُ أَحَدًا وَلَوْ كَانَ أَمِيرًا بَلْ يَنْصَحُ لَهُ فِي السِّرِّ جَهْدَهُ

Maksudnya: “Berkata al-Muhallab: Mereka hendak daripada Usamah supaya bercakap kepada Usman dan adalah beliau daripada orang yang rapat dengan Usman dan orang yang ringan dengan beliau berkenaan al-Walid bin ‘Uqbah kerana telah dikesan pada beliau bau nabiz (arak) dan telah tersebar berkenaan beliau (bahawa dia meminum arak) dan adalah beliau (al-Walid) saudara se-ibu dengan Usman dan Usman melantiknya sebagai Gabenor maka berkata Usamah aku telah bercakap kepadanya secara sir tanpa aku membuka pintu yakni pintu mengingkari pemerintah secara terang-terangan kerana aku takut akan berpecah kesatuan kaum muslimin kemudian dia menjelaskan kepada mereka bahawa dia tidak bermudahanah dengan sesiapa pun walaupun seorang pemerintah bahkan beliau menasihatinya secara sembunyi semampunya”. [al-Fath, 13/52].

Jelas daripada penjelasan ini bahawa urusan yang Usamah radiallahu ‘anhu enggan menasihati Usman radiallahu ‘anhu secara jelas adalah urusan siyasah berkaitan kelakuan gabenor Usman radiallahu ‘anhu dan melibatkan pentadbiran bukan ‘aib peribadi Usman radiallahu ‘anhu dan tidak mungkin beliau mempunyai ‘aib atau maksiat peribadi –nauzubillah min zalik-.

Demikian menunjukkan betapa as-Salaf as-Soleh tidak pernah menasihati pemerintah melainkan secara sir dan sembunyi untuk menjaga kesatuan umat dan tidak mengapi-apikan rakyat melawan pemerintah mereka. Tidak dikenali perkara ini melainkan daripada pengikut Abdullah bin Saba’ al-Yahudi yang tercela itu.

Diperhatikan juga tidak ada istinbat daripada Imam al-Nawawi mahupun Ibn Hajar rahmatullahi ‘alaihima yang membezakan nasihat secara sir kepada pemerintah ini berkenaan urusan tertentu tanpa urusan tertentu.

Juga Ibn Hajar rahimahullah menaqal daripada al-Qadi ‘Iyadh rahimahullah:

وَقَالَ عِيَاضٌ مُرَادُ أُسَامَةَ أَنَّهُ لَا يَفْتَحُ بَابَ الْمُجَاهَرَةِ بِالنَّكِيرِ عَلَى الْإِمَامِ لِمَا يَخْشَى مِنْ عَاقِبَةِ ذَلِكَ بَلْ يَتَلَطَّفُ بِهِ وَيَنْصَحُهُ سِرًّا فَذَلِكَ أَجْدَرُ بِالْقَبُولِ

Maksudnya: “dan berkata ‘Iyadh: dikehendaki oleh Usamah bahawa beliau tidak membuka pintu untuk mengingkari pemerintah secara terang-terangan kerana ditakuti kesan buruk perlakuan itu bahkan dia berlunak dengannya dan menasihatinya secara sembunyi kerana itu lebih sesuai untuk diterima”. [ibid]

Dilihat juga al-Qadi ‘Iyadh tidak membezakan antara urusan peribadi dengan urusan pentadbiran bahkan dinyatakan maksud menasihati pemerintah secara sir adalah kerana mengelak kesan negatif nasihat secara terbuka dan nasihat sir itu lebih kuat untuk diterima dan sebab ini wujud sama ada untuk urusan peribadi mahupun untuk urusan pentadbiran dan siyasah.

Semoga dengan penjelasan singkat dan ringkas ini membuka minda dan hati kaum muslimin untuk melihat kebatilan dakwaan palsu para ilmuan yang terkesan akidah mereka dengan pemikiran barat dan tersingkap kegelapan syubhat dengan cahaya kebenaran berpandukan kepada kefahaman as-Salaf as-Soleh.

Jelas juga bahawa kaum Haraki dan Anak-anak Orientalis ini adalah kaum yang dusta dan batil yang suka memutar belit fakta dan membina amalan mereka atas auta bukan fakta bahkan mereka amat berani sehingga tanpa segan silu berdusta atas nama ALLAH dan Rasul serta memutar belit ayat-ayat ALLAH dan Sunnah Rasulullah untuk membenarkan kebatilan mereka.

Hendaklah kelompok dan individu seperti ini dijauhi dan jangan diambil ilmu daripadanya kerana mereka ini membawa kesesatan dan syubhat yang memesongkan kita daripada Agama ALLAH yang suci bahkan wajib atas setiap kaum Muslimin melazimi al-Quran dan as-Sunnah atas kefahaman as-Salaf as-Soleh bukan kefahaman selain mereka. 

4 comments:

Anonymous said...

Kah2x... x habis2 nak bodek pemerintah.

Sembunyi sekali cukup le..

Kalau dah 50 tahun lebih x dengar cakap... Tukar le pemerintah tu sekali dengan partinya sekali...

ustaz roslankama said...

inilah cakap orang syiah yang tak percaya dengan hadis!
nyatakan dalil kau pulak untuk menentang hujah KD.

Anonymous said...

hoi bengong,dulu2 lagi dah nak tukar pemerintah,sampai sekarang punn tak berjaya juga! allah tak tolong golongan bengong macam kau orang sebab tak percaya kepada hadis dan al qur'an.

usin melaun said...

islam apa anon bengong ni! hukum bersandarkan hadis tidak memihak kepada puaaknya maaka dikatakan mengampu! hukum tetap hukum! politik sesat sentiasa menidakkan hukum!