Monday, 23 March 2015

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 3.


4.0 HUDUD, QISAS, TA’ZIR DAN PERBEZAANNYA



4.1 HUDUD

CIRI-CIRI KHUSUS HUDUD:

Hudud mempunyai sifat-sifatnya yang khusus, iaitu:
Kesalahan-kesalahan Hudud telah ditetapkan Syara’
Hukuman-hukuman Seksanya (Uqubah) telah ditentukan jenis-jenisnya dan berat ringannya oleh ketetapan Syara’, tiada siapa yang boleh mengubah, melebihi atau menguranginya. Ia wajib dilaksanakan seperti adanya.

Kesalahan-kesalahan Hudud boleh dimaafkan sebelum ia dibawa ke depan hakim, tetapi tiada siapa yang dapat memaafkan atau mengurangkan hukuman setelah ia dibawa ke depan pengadilan.

Semua orang yang mencukupi syarat dikenakan hukuman yang sama dan tiada kecualinya.
Taubat tidak menggugurkan uqubah kecuali dalam hal kejahatan perompakan di mana perompak digugurkan dari uqubah jika ia bertaubat sebelum dapat ditangkap, dan orang murtad yang bertaubat sebelum dibawa ke muka pengadilan.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG MELIBATKAN HUDUD:

Riddah (Murtad)

Zina

Qazaf Zina

Mabuk (Sakran)

Pencurian (Sariqah)

Perompakan (Muharabah)

Pemberontakan (Baghyu)

Liwat

Hubungan seks dengan haiwan (Ityanul-Bahaaim)

Sihir

Mengenai kesalahan yang disebutkan pada nombor 8, 9, dan 10 para ulama’ tidak sependapat mengenai jenis hukuman yang wajib dikenakan atas pesalah.

4.2 QISAS

Qisas ialah pembalasan yang serupa dengan kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukum qisas itu berlaku dalam jenayah pembunuhan sengaja dan penganiayaan atas anggota dan badan manusia (pemotongan anggota atau melukakan anggota). Hukuman ini dimaksudkan untuk mengajar dan mengawal hak-hak manusia.

CIRI-CIRI QISAS:

Qisas mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri:

Jenis-jenis kesalahan dan hukumannya telah ditetapkan oleh Syara’.
Wali yang terbunuh atau yang teraniaya boleh memilih antara qisas atau diat (denda atau ganti rugi yang berupa harta benda).

Qisas tidak boleh dimaafkan oleh hakim baik sesudah atau sebelum dibawa ke mahkamah, sebab ia adalah hak manusia. Hanya wali yang terbunuh atau yang teraniaya sahaja yang dapat memaafkan penjenayah, baik sebelum ataupun sesudah dibawa ke pengadilan.
Persaksian orang bisu dengan tulisannya atau isyaratnya diterima dalam qisas, tetapi tidak boleh diterima dalam Hudud.

Hakim boleh memutuskan perkara berdasarkan maklumatnya sendiri, tetapi tidak boleh dalam Hudud.

Pengakuan dalam Qisas tidak boleh ditarik balik, sedangkan pengakuan dalam Hudud boleh ditarik balik.

Taubat dalam Qisas tidak menggugurkan hukuman.
Hanya waliul-Amri atau hakim sahaja yang dapat melakukan qisas.
Qisas mestilah melalui pendakwaan sedangkan Hudud selain qazaf tidak mesti melalui pendakwaan.

4.3 TA’ZIR

Ta’zir kadang-kala bermakna mengagungkan dan menolong. Kadang-kala ia bermakna penghinaan. Yang dimaksudkan oleh Syara’ ialah tindakan mendidik atas sesuatu dosa yang tidak mempunyai hukuman Had dan kifarat, yakni ia adalah hukuman seksa yang bersifat mendidik yang ditentukan oleh Hakim atas satu jenayah atau maksiat yang Syara’ tidak menetapkan uqubah, atau telah menetapkan uqubah tetapi tidak mencukupi syarat-syarat pelaksanaannya; seperti melakukan hubungan seks pada selain kemaluan (perempuan), mencuri barang-barang yang tidak dikenakan potong tangan, jenayah yang tidak dikenakan qisas, lesbian, menuduh orang lain melakukan maksiat selain zina, dan sebagainya.

CIRI-CIRI KHAS TA’ZIR:

Hudud berlaku pada semua orang serupa, tidak berbeza, tetapi ta’zir hukumannya boleh berbeza antara orang-orang yang bersalah.

Hukuman Ta’zir belum ditetapkan Allah dan Rasul-Nya mengenai jenis-jenis hukuman, ia diserahkan kepada kebijaksanaan hakim sendiri.

Ta’zir boleh dimaafkan orang yang bersalah, baik sebelum atau sesudah dibawa ke mahkamah.

Orang yang mati kerana hukuman Ta’zir wajib dibayar dhaman (ganti rugi).


KESALAHAN-KESALAHAN TA’ZIR:

Kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam bidang Ta’zir sangat banyak dan di sinilah terletaknya peranan dan kebijaksanaan hakim. Ia meliputi kesalahan-kesalahan yang tidak dikenakan had kerana tidak mempunyai syarat-syarat pelaksanaannya yang cukup, seperti kanak-kanak yang belum dewasa mencuri atau sebagainya, orang mencuri barang yang tidak mencukupi nisabnya, atau barang yang dicuri adalah milik Baitul-Mal dan sebagainya.

Selain itu, Ta’zir termasuk semua maksiat yang tidak termasuk dalam bidang Hudud dan Qisas, seperti lesbian, persaksian bohong, judi, memakan benda-benda haram, meninggalkan kewajipan-kewajipan agama seperti meninggalkan solat fardhu, puasa, haji dan lain-lain.

No comments: