Tuesday, 24 March 2015

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 5.


5.3 ZINA



PENGERTIAN ZINA

Zina ialah persetubuhan haram melalui alat kelamin lelaki dan wanita di luar perkahwinan yang sah, sama ada pasangan itu melakukannya secara suka sama suka, dengan bayaran ataupun tidak, sama ada perkosaan atau tidak, sama ada ia dilakukan oleh seorang dewasa dan pasangannya tidak dewasa, sama ada dilakukan oleh suami, isteri atau tidak, sama ada dilakukan oleh orang yang pernah bersuami atau beristeri atau tidak. Semua hubungan seks di luar perkahwinan yang sah, dinamakan zina.


HUKUM ZINA

Zina adalah satu perbuatan keji yang termasuk dalam kelompok dosa-dosa besar.
Antara dalil-dalil daripada hadith berkaitan pengharaman zina adalah:


Sabda Rasulullah:

“Tidak ada dosa sesudah syirik dengan Allah lebih besar dari benih yang ditumpahkan oleh seorang lelaki dalam kemaluan perempuan yang tidak halal baginya.”
(Hadith riwayat Ibnu Abi Ad-Dunia (dhaif).)

“Barangsiapa yang berzina atau meminum khamar, Allah mencabut iman daripadanya bagaikan orang mancabut baju dari kepalanya.”
(Hadith riwayat Al-Hakim (dhaif).)


JENIS-JENIS ZINA


A. PENZINA MUHSHAN:

Yang dimaksudkan dengan penzina muhshan ialah lelaki 
atau wanita yang telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, sama ada keluar mani atau tidak, sama ada masih dalam ikatan perkahwinan ataupun telah bercerai. Hukuman yang diancam ialah uqubah di dunia dan ‘iqab di akhirat. Di dunia dikenakan hukuman mati iaitu direjam sampai mati.

SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN


1. Berakal waras

Orang gila tidak dikenakan hukuman rejam,hanya dikenakan hukuman Ta’zir sahaja. Orang mabuk yang berzina tidak terlepas dari hukuman rejam kerana ia mabuk atas kerelaannya sendiri dan ia tahu bahawa pemabukan boleh membawa akibat yang berat, kecuali ia dipaksa untuk minum atau tersalah minum lalu mabuk lalu melakukan zina, maka ia terlepas dari hukuman.

2. Orang dewasa

3. Orang merdeka

Hukuman terhadap hamba hanyalah separuh hukuman orang merdeka.

4. Telah menikmati hubungan seks (sanggama) dalam perkahwinan yang sah, walaupun tidak sampai keluar mani.

5. Zina itu dilakukan dengan sukarela. Orang yang dipaksa berzina atau tersalah orang tidak dikenakan hukuman rejam.


Pendapat golongan Asy-Syafie, Maliki dan Hanbali.

Tidak dikenakan hukuman rejam apabila seorang lelaki berzina dengan seorang wanita yang tidur di kamar rumahnya kerana menyangka ia adalah isterinya kerana walaupun ia termasuk dalam kategori zina, tetapi ada mempunyai ciri-ciri subhat, di mana subhat menggugurkan Hudud.

Pendapat golongan Hanafi

Wajib dikenakan hukuman Had kerana tidak mungkin si lelaki tidak kenal isterinya sendiri melalui sentuhan, baunya atau suaranya.

Pendapat Imam Abu Hanifah

Berzina dengan wanita yang diupah tidak dikenakan hukuman hudud kerana upah itu dikira sebagai maharnya. Pendapat beliau ditentang keras oleh para ulama’ termasuklah sahabat-sahabatnya. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang naqli dan akli. Jika menurut pendapat beliau, orang yang berzina dengan pelacur terlepas hukuman had kerana telah membayar upah kepada wanita yang ditiduri itu.

Pendapat Imam Ibnu Hazm

Lanjutan daripada kes Imam Abu Hanifah, beliau pula menyatakan dengan tegas bahawa penzinaan antara lelaki dan perempuan yang diupah lebih hina daripada penzinaan tanpa upah, malahan penzina yang mengambil upah telah melakukan haram yang lain lagi, iaitu memakan harta dengan jalan yang batil.


SABIT KESALAHAN ZINA

1. Pengakuan penzina sendiri.

Pengakuan adalah penghulu segala dalil dan menjadi bukti atas kesalahan yang telah dilakukannya. Pengakuan penzina perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut:


Berakal

Pengakuan mestilah dibuat secara lisan

Dewasa

Dengan sukarela

Bilangan pengakuan


Menurut Asy-Syafie, Maliki, Al-Hasan, Daud, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Thaur, dan Ath-Thabari berpendapat bahawa pengakuan cukup dengan hanya sekali sahaja.



Menarik balik pengakuan

Apabila seorang penzina menarik balik pengakuannya, maka tidaklah ia dikenakan hukuman. Demikianlah pendapat menurut golongan Asy-Syafie, Hanafi, dan Ahmad.



2. Persaksian oleh empat orang saksi


Kesalahan zina menjadi sabit apabila ia disaksikan oleh persaksian yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:


Persaksian dibuat oleh empat orang saksi. Jika persaksian kurang daripada empat orang, ia tidak diterima bahkan mereka dikenakan hukuman lapan puluh kali rotan kerana menuduh tanpa saksi yang cukup.

Semua saksi hendaklah lelaki.

Semua saksi hendaklah beragama Islam

Semua saksi terdiri daripada orang dewasa

Semua saksi berfikiran waras

Tuduhan dengan menggunakan perkataan yang terus-terang, bukan perkataan sindiran.

Melihat kesalahan zina itu dengan terus-terang, secara jelas melihat kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan.

Persaksian keempat-empat hendaklah dibuat dalam satu majlis, bukan di tempat yang berlainan dan masa yang berlainan.


Dari Ibnu Abbas, "Hendaklah engkau bawakan empat orang saksi dalam menuduh zina terhadap seseorang, atau hukuman sebat ke atas belakangmu"
(Hadis riwayat Bukhari)


3. Kerana si wanita mengandung

Menurut pendapat kebanyakan ulama’ wanita yang mengandung tanpa suami, tanpa diketahui siapa bapanya, ia tidaklah dikenakan had semata-mata, tetapi hendaklah dengan pangakuannya atau persaksian oleh empat orang saksi, sebab kandungan itu mungkin kerana hubungan seks dalam perkahwinan fasiq, mungkin kerana dipaksa, atau mungkin kerana hubungan seks yang dilakukan ke atasnya tanpa kesedarannya semasa tidur atau sebab-sebab lain.


UQUBAH KE ATAS PENZINA MUHSHAN

Hukuman had atas penzina muhshan ialah direjam sampai mati. Tidak ada perbezaan pendapat antara ulama’ mengenai hukuman ini.


Dari Sulaiman bin Buwaidah, Maiz bin Malik pernah datang menemui baginda Rasulullah saw, maka dia berkata "Wahai utusan Allah, sucikanlah diriku!". 

Jawab baginda "Kasihan engkau. Pulanglah dan mohon ampun kepada Allah serta taubatlah padanya." Lalu pulanglah Maiz dan tidak lama selepas itu, dia datang kembali dan menyatakan perkara yang sama seperti tadi. 

Peristiwa ini berulang sehinggalah sampai kali keempat, baginda bertanya "Apakah yang aku boleh tolong untuk menyucikan dirimu?". 

Jawab Maiz "Sucikan diriku dari dosa zina!". Maka baginda bertanya kepada semua sahabat yang ada "Adakah Maiz ini ada penyakit gila?" 

Maka mereka menjawab bahawa Maiz tidak berpenyakit gila. Baginda bertanya lagi "Adakah Maiz ini peminum arak?". Maka bangun seorang dari kalangan sahabat lalu cuba menghidu-hidu bau pada Maiz dan tidaklah didapati bau arak padanya. 

Lalu baginda bertanya lagi, "Wahai Maiz, adakah engkau benar-benar telah melakukan zina?" Maka Maiz menjawab, "Ya!". Maka baginda memerintahkan agar Maiz dibawa untuk hukuman rejam.

(Hadis ini mutawwattir, Riwayat Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Ya'ala, Al-Bazzar, at-Tabroni. rujuk juga kitab Jamie' al-Usul (4/279), Nailul Awtar (7/95 & 109), Majma' az-Zawaid (6/266), Nasbur Rayah (3/314), Subulus Salam (4/6), at-Talkhis al-Habir (ms 350))


CARA PELAKSANAAN HUKUMAN REJAM

Hukuman hendaklah dilakukan secara terbuka dan dipersaksikan oleh sekumpulan orang Islam, baik mengenai hukuman rotan mahupun rejam.

Hukuman bagi wanita yang sedang mengandung hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan selesai menyusukan anaknya dalam tempohnya, jika tidak ada orang lain yang akan menyusukan anaknya.

Wanita yang direjam hendaklah direjam sambil duduk, manakala lelaki hendaklah direjam sambil berdiri, begitulah menurut Jumhur ulama’

Pakaian orang yang dikenakan hukuman rejam hendaklah diikat baik-baik supaya tidak terbuka auratnya ketika menggelepar kesakitan semasa direjam.

Menurut Abu Hanifah, orang yang menjadi saksi wajib menjadi orang pertama merejam. Jika wanita itu membuat pengakuan sendiri, maka pemimpin negara atau wakilnya wajib memulakan hukuman itu.
Menggali lubang untuk orang yang direjam.


B. PENZINA BUKAN MUHSHAN

Penzina bukan muhshan ialah lelaki atau wanita yang belum pernah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun telah melakukan hubungan seks itu di luar perkahwinan yang sah.


UQUBAH KE ATAS PENZINA BUKAN MUHSHAN

Hukuman yang wajib ke atas penzina bukan muhshan ialah:

Cambukan rotan seratus kali

Pembuangan negeri (Daerah) selama setahun


SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN

Syarat-syarat pelaksanaan had, syarat-syarat yang dikenakan ke atas pesalah serupa dengan syarat-syarat yang dikenakan ke atas penzina muhshan. Demikian pula mengenai sabitnya kesalahan, iaitu melalui pengakuan, persaksian, dan kehamilan.


CARA PELAKSANAAN UQUBAH

Wanita yang hamil hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan setelah tempoh penyusuannya tamat.

Penzina yang sedang sakit ditangguh sampai ia sembuh.

Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

Pesalah dirotan sambil ia duduk.

Cambukan rotan boleh dikenakan kepada seluruh anggota badan, kecuali kepala, muka dan kemaluan. Demikian menurut pendapat Asy-Syafie, dan Abu Hanifah.

Rotan yang digunakan adalah rotan yang sederhana besarnya, tidak besar dan tidak pula kecil, dan jika pelepah tamar yang digunakan, maka hendaklah menggunakan pelepah tamar yang separuh kering.

Jika hukuman itu dikenakan atas dasar pengakuan pesalah sendiri, maka hukuman dihentikan atau digugurkan jika pesalah menarik balik pengakuannya.

Pelaksanaan hukuman rotan hendaklah dipersaksikan oleh segolongan orang-orang mukmin.

No comments: