Friday 15 April 2016

RAFIZI SIPENDONGENG NOMBOR SATU!!!


Pihak polis menafikan mengarahkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli supaya meletakkan tangan di belakang seolah-olah seperti digari sebagai standard operasi piawai (SOP).

Penafian itu dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Dia (Rafizi) hanya buat cerita dongeng untuk kelirukan orang ramai,” katanya.

Katanya, ketika diiringi berjalan oleh pegawai polis, Rafizi bebas meletakkan tangan di mana-mana sahaja tanpa arahan sesiapa.

Beliau membuat kenyatan itu sebagai menjawab tohmahan peguam Rafizi, Saiful Izham Ramli yang mendakwa Rafizi telah diminta oleh pihak polis untuk meletakkan tangan di belakang sebagai sebahagian daripada standard operasi piawai (SOP).

Semalam, Khalid turut menafikan Rafizi dipakaikan gari sepanjang tahanan polis.

“PDRM dengan ini mengesahkan bahawa YB Rafizi Ramli tidak dipakaikan gari sepanjang masa dia di dalam tahanan kami kali ini. Hentikan tuduhan,” katanya.

Sementara itu, Rafizi telah dihadapkan ke mahkamah di dua lokasi berasingan terhadap dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji.

Rafizi, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan dan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Di Mahkamah Sesyen, Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Hakim Zulqarnain mengenai jumlah jaminan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas memaklumkan bahawa pihak pembelaan yang diketuai peguam R. Sivarasa, masing-masing bersetuju wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Zulqarnain membenarkan Rafizi diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes.

Di Mahkamah Majistret, Rafizi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji di laman blognya iaitu http://www.rafiziramli.com/ yang boleh merosakkan nama baik pertubuhan perbadanan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak, Dang Wangi, pada 9 pagi pada 18 Feb mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Rehan membenarkan Rafizi diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula.

No comments: