KETUA paderi yang juga pemimpin tertinggi Gereja
Anglickan Britain, Dr Rowan Williams dalam satu syarahan kepada pemimpin gereja di Royal Court of Justice, London pada 7 Februari lalu menyatakan sebahagian undang-undang syariah boleh disesuaikan dalam sistem undang-undang Britain pada masa akan datang tidak dapat dielakkan.
Walaupun pandangan pemimpin gereja itu dikritik
hebat, ketua paderi itu dengan tegas mempertahankan pendapatnya. Kenyataan beliau mendapat liputan
media meluas di seluruh dunia.
Persoalan besar timbul ialah mengapa ketua paderi
itu berani membuat kenyataan terbuka walaupun menyedari risiko besar mengenai kedudukan jawatannya. Kita percaya ketua paderi itu membuat kenyataan berani kerana beliau sudah membuat kajian teliti kelebihan undang-undang syariah yang mampu menjadikan kehidupan manusia lebih bertamadun.
Ahli sejarah British, Thomas Arnold, dalam buku The Call to Islam menyatakan kehadiran Islam di tengah masyarakat Arab pada suasana jahiliah bukan sekadar menggantikan budaya tradisi masyarakat Arab yang
liar, tetapi membawa revolusi yang utuh dan sempurna bagi mewujudkan kehidupan kemanusiaan sempurna.
Pandangan tokoh cendekiawan Barat mengesahkan penjelasan al-Quran bahawa sesungguhnya Islam
adalah agama yang sahih dan sempurna dan pada
diri Muhammad itu teladan yang baik untuk diikuti manusia.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai)
di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah ali-Imran, ayat 19)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik)
hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.”
(Surah al-Ahzab, ayat 21)
Penghayatan akhlak Rasulullah SAW adalah berlandaskan al-Quran dan menjadi sumber untuk menjadikan ummah lebih bertamadun. Tamadun
amnya bermaksud mencapai kemajuan dalam
kehidupan dengan menghayati sifat mulia serta bertanggungjawab kepada Allah di dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW menterjemahkan pengajaran al-Quran melalui sunnahnya. Sunnah atau hadis itu menjadi sumber rujukan kedua umat Islam selepas al-Quran. Sunnah itu merangkumi perbuatan, ucapan dan pengakuan Rasulullah SAW ketika menjelaskan
dasar dan pelaksanaan meliputi pelbagai isu
berkaitan kehidupan manusia.
Allah menegaskan bahawa Rasulullah SAW
menjelaskan ajaran Islam bukanlah dengan
mengikut hawa nafsu atau pendapatnya sendiri,
tetapi berlandaskan panduan wahyu.
Kekuatan sunnah Rasulullah SAW terletak pada
dakwah bilhal (dakwah melalui keindahan peribadi
dan tingkah laku) yang menjadi penggerak utama
dan paling berkesan ketika berdakwah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurna
kan akhlak yang terpuji.”
(Riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Gerakan dakwah bilhal inilah menghasilkan revolusi aqidah, sosial dan politik dalam masyarakat Arab jahiliah. Bagaimanapun, revolusi akidah menjadi
unsur penting menjadikan ummah lebih bertamadun kerana mengikat umatnya bertanggungjawab kepada Allah di dunia dan akhirat.
Kejayaan Rasulullah SAW mengubah keseluruhan
reka bentuk akidah jahiliah kepada akidah yang sahih dalam masyarakat Quraisy tanpa menggunakan kekuatan senjata dalam masa 13 tahun adalah satu keajaiban.
Berdasarkan analisis, teknik yang digunakan
Rasulullah SAW ialah menggunakan pendekatan membina insan, pemikiran dan disertai dengan
akhlak yang hebat.
Ketika ini ada persaingan sengit antara Islam
dengan pemikiran orientalis dalam percaturan mengubah reka bentuk tamadun dunia.
Tamadun Barat lebih menekankan pencapaian
kemajuan kebendaan dengan bebas tanpa ada
hukum halal dan haram. Peranan Tuhan dalam kehidupan mereka semakin dipinggirkan.
Sebaliknya, lebih mempercayai kepada ahli
falsafah atau orientalis berbanding pegangan
kitab suci mereka.
Berdasarkan pemerhatian, walaupun Rasulullah
SAW wafat pada 1429 Hijrah, tetapi pengaruh
Baginda digeruni dan menghantui banyak pihak.
Musuh Islam terus mengadakan kempen memburuk-burukkan Rasulullah SAW tanpa henti yang kelihatan mereka hilang kewarasan.
Bagi umat Islam kesegaran amalan sunnah
dalam kehidupan memberi gambaran seolah-olah Rasulullah SAW masih hidup segar, terus memberi inspirasi kepada penegak Islam memperhebatkan tamadun manusia sejagat.
Ketika ini Barat memperkenalkan pelbagai konsep ideologi global seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, sekularisme, modenisme, liberalisme, pluralisme dan Islam Liberal yang semuanya
cenderung ke arah menyeru manusia supaya menyisihkan Tuhan.
Sebahagian ideologi sesat ini yang muncul silih
berganti sudah usang dan pupus ditelan zaman. Bagaimanapun, prinsip tamadun Islam terus kekal
segar dalam keasliannya. Inilah kehebatan agama
dan aqidah yang sahih.
Pada dasarnya pertembungan tamadun Islam
dalam pelbagai aspek kehidupan dengan tamadun
lain memang tidak dapat dielakkan. Pertembungan
itu adalah kesinambungan pertembungan Nabi
Adam AS dengan iblis.
Nabi Adam AS mewakili kumpulan penganut
agama sahih. Manakala Iblis pula mewakili puak
yang menentang syariat Allah dan puak yang menyisihkan Tuhan.
Hakikatnya, proses mentamadunkan ummah lebih
cepat dan menjadi realiti apabila wujud persefahaman antara ketua organisasi dengan orang bawahan.
Jika tindak tanduk pemimpin sendiri tidak
bertamadun, dan gagal menghayati nilai
peradaban yang murni, maka matlamat
melahirkan umat bertamadun kurang
berjaya.
Dengan demikian. setiap pemimpin, ketua
masyarakat, ketua keluarga, dan ibu bapa
hendaklah mempamerkan gaya hidup
bertamadun untuk dijadikan ikutan orang
bawahan atau orang yang dipimpinnya.
Marilah kita menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak
akan sesat selama-lamanya ( selagi kamu berpegang teguh kedua-duanya) iaitu kitab Allah dan sunnah
Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Muslim).
Ghafani bin Awang Teh; Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga,
Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
No comments:
Post a Comment