Thursday, 15 May 2014

Dua Beradik Bina Jenama!!!





Walaupun mereka bersaudara, kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza. Kakak, Nur Atiqah Sulaiman, 29, nampak sedikit pemalu berbanding adik Nur Amirah Sulaiman, 23, yang kelihatan lebih lincah dan bersahaja.

Jika direnung, wajah dua beradik ini seakan-akan langsung tiada persamaan begitu juga bentuk tubuh dan penampilan. Apa yang membuatkan mereka sama adalah pada kelembutan ketika berbicara serta ketaasuban kepada fesyen dan gaya.

“Kami memang memiliki wajah berbeza. Bentuk wajah kakak sedikit bulat manakala saya bujur. Sebab itu jika jalan bersama, ramai tidak menyangka kami dua beradik,” ujar Nur Atiqah memulakan bicara. 

Berdarah kacukan Melayu dan Arab daripada datuk yang menetap di sana, mereka memiliki pesona aura tersendiri. 

Tidak hairan ketika mula membuka butik alam maya, Nur Atiqah yang mesra disapa Eyqa menjadi model keluaran tudungnya sendiri begitu juga Nur Amirah apabila turut berpeluang memperagakan helaian terbaru kakaknya.

Jika dilihat mereka bukan saja cantik bergaya dan bijak malah memiliki kesungguhan yang tinggi dalam perniagaan. 

Memiliki ijazah dalam bidang berlainan, Eyqa dengan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Multimedia manakala Nur Amirah masih menuntut dalam jurusan perubatan di Kolej Universiti Taylor, namun haluan dan matlamat mereka tetap sama - ingin memperluaskan empayar tudung di Malaysia dan luar negara.

Melihat kesungguhan dua beradik dalam membina jenama sendiri sememangnya menuntut banyak pengorbanan. Eyqa pemilik jenama SugarScarf yang mula menjalankan perniagaan menerusi dalam talian kini mampu tersenyum bangga kerana memiliki tiga butik sendiri yang terletak di Shah Alam, Wangsa Melawati dan Johor Bahru. 

Nur Amirah pula sedang mengorak langkah dalam bidang sama apabila memperkenalkan jenama tudung Shawlbyvsnow sejak 2010 lalu. 

No comments: