Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azal. Ia biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal Jabir bin ‘Abd Allah:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
“Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksud Jabir mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Nabi s.a.w iaitu masa al-Quran masih diturunkan tetapi mereka tidak pun dilarang oleh al-Quran. Maka dengan ini mengeluarkan air mani di luar rahim untuk mengelakkan mengandung adalah diharuskan.
Sama dalam hal ini pil perancang untuk mengelakkan mengandung. Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan ‘azal sebagai al-wa`d al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka kebanyakan ulama memakruhkan perbuatan ini.
Di samping itu, hadith yang lain riwayat Muslim juga menyatakan bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika Allah kehendaki tetap akan mendapat anak. Ini mungkin kerana dia tidak dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia mencabutnya.
Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan persetubuhan, atau tidak sampai kemuncak kelazatannya (climax), maka suami yang ingin melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri. Ini kerana persetubuhan adalah hak bersama suami dan isteri.
Demi keadilan dan hak isteri, maka izinnya perlunya perlu diminta. Inilah pendapat yang paling kuat kebanyakan ulama. Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H) berkata:
“Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan ‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, Beirut: Dar al-Fikr).
Di samping perlu difahami, adapun hasrat mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang kepapaan, atau kekurangan rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana ianya menyamai perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah. Jika disebabkan keadaan tertentu yang mendesak seperti kesihatan atau kesibukan maka ia diizinkan.
Namun jika digunakan pencegah kehamilan secara berterusan tanpa sebab adalah diharamkan oleh para ulama. Ini jika dibiarkan akan mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita memperbanyakkan zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat Islam dalam negara ini.
No comments:
Post a Comment