Thursday 28 May 2015

KAU TUDUH AKU JAWAB!!!






-Anginperubahan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
Perkara tersebut telah dijelaskan di dalam penulisan melalui blog miliknya iaitu NajibRazak.com termasuklah berkaitan dengan isu yang melibatkan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), isu jet kerajaan dan juga isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Menurut catatan yang dibuat oleh beliau, kritikan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir adalah tidak adil dan mendatangkan kekeliruan.
Beliau berkata, Tun Mahathir tidak boleh mempercayai sesuatu perkara tanpa mempunyai bukti yang kukuh meskipun ada individu yang datang bertemunya ataupun berdasarkan apa yang didengari oleh mantan Perdana Menteri itu.
“Beliau perlu memeriksa sama ada apa yang didengarinya itu mempunyai bukti atau tidak sebelum menghebahkannya.
“Ada banyak tuduhan yang diterima Tun semasa era pentadbirannya dan beliau sering bertanya ‘mana bukti?’,” jelas beliau.
Tegas Najib lagi, Tun Mahathir juga dikatakannya begitu mudah percaya dengan fitnah dan penipuan yang telah dicipta oleh pihak pembangkang.
“Beliau terpengaruh dengan fitnah pembangkang termasuklah perkara yang melibatkan isteri dan keluarga saya.
“Beliau mengulangi fitnah yang dicipta oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas berkenaan kononnya isteri saya memiliki cincin bernilai RM24 juta sedangkan ianya telah dinafikan oleh syarikat berkenaan.
“Beliau juga turut terpengaruh dengan pembangkang yang mempertikaikan tentang pembelian jet kerajaan yang baharu bagi menggantikan jet yang lama, kononnya ia tidak digunakan oleh Yang Dipertuan Agong,” katanya.
Tambahnya, perkara tersebut adalah tidak benar, malah Tuanku merupakan penumpang pertama yang menggunakan jet berkenaan.
Jelas Najib lagi, Tun turut mengatakan bahawa beliau perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan wang sebanyak RM42 billion milik 1MDB.
“Wang tersebut tidak hilang sebaliknya ia adalah hutang.
“Syarikat-syarikat lain diseluruh dunia juga mempunyai kadar hutang yang tinggi dan ianya adalah sesuatu yang biasa,” katanya.
Kata Najib lagi, semasa era pentadbiran Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri itu sering menyeru agar ahli parti sentiasa menyokong kepimpinan parti terutamanya di waktu-waktu genting.
“Kami telah melakukan apa yang perlu dilakukan dan saya juga merupakan penyokong beliau,” katanya.
Di akhir penulisannya itu, Najib turut berkata bahawa beliau dipilih oleh ahli parti dan rakyat dengan cara demokrasi.
Beliau juga menyatakan pendiriannya untuk tidak tunduk dengan desakan daripada seorang individu dan akan terus berusaha keras bagi memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai.

No comments: