Thursday, 12 June 2014

ISTERI ENAK-ENAKAN,SUAMI KECUNDANG-CUNDANGAN!!!


Isteri enak disetubuhi jin, suami keseorangan di sofa ruang tamu!!!


Panggilan yang diterima lewat malam itu benar-benar memberi kesan. Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik memikirkan potongan ayat lelaki tersebut.


“Isteri saya enak disetubuhi jin, sedangkan saya keseorangan di sofa ruang tamu dengan hanya ditemani nyamuk-nyamuk yang menggila seolah-olah mengejek-ejek diri saya," ungkap pemanggil tersebut.


Teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya telah mengaturkan satu pertemuan dengan pemanggil tersebut. Ridzwan, 31, (bukan nama sebenar) telah berjaya mengubah dimensi saya tentang kewujudan alam lain di muka bumi ini.


Melihat secara luaran, perwatakan Ridzwan sama seperti lelaki-lelaki lain malah dia kelihatan kemas dan segak, sesuai dengan profesionnya sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat terkemuka. Nyata telahan saya tersasar kerana menyangka Ridzwan seorang lelaki yang tidak terurus ekoran masalah yang sedang dialaminya itu.


“Tujuan saya berkongsi pengalaman ini bukanlah mahu membuka aib keluarga mahupun isteri saya, tetapi amat berharap agar perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada suami-suami yang mungkin menerima nasib yang sama seperti saya tetapi masih tertanya-tanya apakah musibah yang sedang melanda mereka," ujar Ridzwan membuka bicara.


Menurut Ridzwan, peristiwa ini berlaku lima tahun lalu selepas usia perkahwinan mereka mencecah tiga tahun. Menurutnya, keganjilan yang mula melanda isterinya itu berlaku sekembalinya mereka dari percutian di Tawau, Sabah kerana mengikutinya bekerja di luar kawasan.
Kesempatan bekerja di kawasan itu telah dimanfaatkan oleh mereka untuk terus pergi bercuti. Apatah lagi mereka masih belum dikurniakan anak setelah tiga tahun berkahwin menyebabkan mereka sentiasa mengisi setiap kesempatan yang ada untuk bersama.


“Sejak pulang dari Tawau, isteri saya mula berubah perangai setiap hari selepas pukul 10 malam. Pada mulanya, saya tidak menyangka apa-apa kerana dia sendiri mengakui kadang-kadang mood seseorang itu sentiasa berubah-berubah. Namun, keadaan itu berpanjangan sehinggalah tiga bulan," ujar Ridzwan lagi.


Apa yang ganjilnya, isterinya di waktu siang berkelakuan normal sahaja seperti biasa. Dia amat suka jika Ridzwan sentiasa merapatkan dirinya dan saling bersentuhan, malah dia jugalah yang sentiasa merangsang Ridzwan supaya melayaninya pada malam hari.


Namun setelah jam menunjukkan oukul 10 malam, isterinya itu terus tidur dan memalingkan diri ke arah bertentangan dengannya.


“Pernah sekali saya cuba juga untuk bermesra dengannya sambil membelai-belai rambut dan memeluknya dari belakang namun dia menepis tangan saya sambil mendengus," tambah Ridzwan sambil pandangan matanya dilemparkan jauh-jauh seolah-olah cuba menyembunyikan perasaanya hiba.


Pernah juga mereka bertengkar pada malam tersebut kerana isterinya seolah-olah tidak rela disentuh oleh Ridzwan dan menganggap seolah-olah suaminya itu cuba untuk merogolnya. Setiap malam juga Ridzwan akan kecewa dan membawa dirinya tidur berseorangan di ruang tamu rumah mereka.
Seperti biasa, pada sebelah pagi, isterinya akan bangun dengan begitu segar sekali dan penuh bersemangat. Dia seringkali memberitahu Ridzwan bahawa perasannya setiap kali bangun seolah-olah mereka telah bersama pada malam tersebut.


Hal ini menyebabkan Ridzwan mulai curiga dan risau. Tidak mungkin isterinya itu curang kerana setiap malam isterinya akan pulang ke rumah dan di sebelah siangnya mereka adalah pasangan yang paling bahagia.


Isterinya juga sering mengadu yang seringkali melihat kesan lebam di pangkal paha setiap kali bangun tidur dan pada lebam itu terdapat lima lubang halus.
“Pada mulanya, saya tidak menghiraukan aduan yang dibuat oleh isteri saya itu dan menganggap mungkin itu hanyalah gigitan serangga di malam hari. Tambahan pula perasaan yang kecewa pada malam hari menyebabkan saya tidak menghiraukan aduan-aduan isteri saya itu," tambah Ridzwan.


Pernah juga dia terfikir untuk menjalankan hubungan sulit dengan perempuan lain, namun itu sekadar angan-angan kosong bagi menyedapkan hati kerana jauh di sudut hatinya, dia terlalu sayangkan isterinya itu.


Keadaan ini berlarutan sehingga mencecah hampir setahun.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Ridzwan terpaksa mendatangi isterinya pada waktu siang sebelum ke pejabat kerana menganggap isterinya hanya bernafsu pada waktu itu.


Disebabkan keadaan ini menyebabkan isterinya semakin lama semakin susut tubuhnya dan matanya mulai cengkung seolah-olah tidak mendapat rehat yang secukupnya walhal isterinya tidur nyenyak seawal pukul 9 malam dan tidak akan diganggu.


Pernah juga Ridzwan membawa isterinya berjumpa doktor, namun doktor mengesahkan yang isterinya sihat dan hanya menasihat supaya memperbanyakkan rehat.


Semakin hari isterinya mula mengalami kemurungan dan tidak seceria dulu. Dia semakin menjadi pasif, takut untuk berhadapan dengan orang ramai, rendah diri, tiada keyakinan dan prestasi kerjanya mula merosot.


Ridzwan cuba mendapatkan ikhtiar lain dengan cara menggunakan pendekatan rawatan secara Islam.
Perjumpaan dengan seorang ustaz yang terkemuka di ibu kota telah merungkaikan segala persoalan yang selama ini tidak terfikir oleh Ridzwan.
Menurut ustaz tersebut, isterinya itu sedang didampingi oleh jin dan menyetubuhinya setiap malam dan semakin lama jin itu semakin ketagih.


Ketika proses perubatan dilakukan, Ridzwan melihat sendiri bagaimana interaksi antara ustaz tersebut dengan jin yang menumpang dalam badan isterinya.


“Jin tersebut mula terpikat dengan isteri saya semasa mereka menginap di sebuah hotel di Tawau dan ketika itu isteri saya sedang mandi berbogel di dalam bilik air hotel tersebut. Sejak itu jin berkenaan mula mendampingi isteri saya dan amat benci kepada saya dan inginkan kami berpisah," tambah Ridzwan.
Namun, kecekalan hati Ridzwan serta rasa cintanya terhadap isteri menyebabkan mereka berjaya mengekalkan hubungan tersebut walaupun seringkali bercakaran.


Setelah pertemuan demi pertemuan diadakan dengan ustaz tersebut selama sebulan, akhirnya jin itu berjaya dikeluarkan dan isterinya itu kembali normal dan ceria seperti biasa. Kini perhubungan Ridzwan dan isterinya kembali normal.

Nasihat Ridzwan, jika terdapat sebarang tingkah laku atau perbuatan-perbuatan ganjil yang dilakukan oleh seorang isteri, segera mendapatkan rawatan sama ada secara moden atau Islam.


“Jangan pandang ringan akan hal ini kerana mungkin akan membawa kemudaratan jika dibiarkan berpanjangan. Ramai dalam kalangan isteri seringkali tidak menyedari yang dirinya telah ditiduri dan dirogol oleh jin akibat mengabaikan doa sebelum tidur sebagai pelindung diri. Ini akan menyebabkan jin mudah masuk ke dalam tubuh dan mendampingi mereka tanpa disedari.


“Naluri seorang isteri adalah sentiasa berkehendakkan layanan suaminya, dan jika dia mula menolak, mungkin ada sesuatu yang mengganggu dirinya. Mungkin yang mengganggu itu datangnya dari alam lain, ataupun yang mengganggu itu datangnya dari alam kita sendiri," kata-kata terakhir Ridzwan yang mendalam mengakhiri pertemuan tersebut.



Sumber:UM

No comments: