Thursday, 10 July 2014

Mencaci Orang Islam Itu Termasuk Fasik Dan Membunuhnya Termasuk Kafir.”




Sekadar peringatan buat semua umat Islam tanpa mengira 

fahaman politik. Ingatlah ini satu peringatan kerana ramai 

dikalangan umat Islam kita mungkin terlupa. Peringatan ini 

untuk semua termasuklah diri aku juga.


Rasulullah SAW larang kutuk mengutuk 

sesama Muslim



Yang dimaksudkan dengan mengutuk ialah mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud maksudnya: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)”
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Dari hadis hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak ALLAH SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya. 

Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya ALLAH SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya. 

Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari ALLAH SWT.
(Sumber: Al-Kabair karya Syamsuddin Adz-Dzahabi, terjemahan M. Ladzi Safrony, BA ke dalam buku 75 Dosa Besar terbitan Media Idaman, Surabaya)

No comments: