Monday, 24 February 2014

Bal’am Ibnu Ba’ura Seorang Ulama Jahat!!!


TAFSIR AYAT 175 HINGGA 177 SURAH AL A’RAAF

175. Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), 
khabar berita seorang Yang Kami beri kepadanya 
(pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. 

kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, 
lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka 
menjadilah dari orang-orang Yang sesat.


176. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan 

pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) 
ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung 
kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka 
bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau 
menghalaunya: 
ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan 
jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan 
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan 
orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. 
maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya 
mereka berfikir.


177. Amatlah buruknya bandingan orang-orang Yang 
mendustakan ayat-ayat kami, dan mereka pula berlaku 
zalim kepada diri merela sendiri.

KISAH DARI AYAT

Nabi Muhammad S.A.W. diperintahkan 

Allah menceritakan kisah seorang 
Ulama’ yang juga Wali Allah bernama 
Bal’am ibnu Ba’ura dari kalangan 
Bani Israel yang hidup di zaman Nabi 
Musa aliahissalam yang sangat mustajab 
doanya.

Dia termasuk salah seorang yang diberi 
ilmu tentang Ismul A’zham (Nama Allah 
Yang Paling Agung). Setiap kali 
menyampaikan kuliah, seramai 12 ribu 
ulama’ menimba ilmu agama darinya.

Menurut ulama tafsir yang diambil dari 
‘Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas 
radhiyallahu ‘anhuma, beliau 
mengisahkan:,


Ketika Nabi Musa ‘alaihissalam 

datang ke Kan’aan bersama para 
pengikutnya, para kerabat dan 
sepupu Bal’am datang menemui 
Bal’am lalu berkata: 

“Musa itu orang yang tiada tolak 
ansur dan mempunyai pasukan 
yang besar. Kalau dia menang 
tentulah dia akan memusnahkan 
kita. Maka doakanlah kepada Allah 
agar Dia menjauhkan Musa 
beserta pasukannya.”


Kata Bal’am: “Sesungguhnya, jika 

aku berdoa kepada Allah agar 
menghalau Musa dan orang-orang 
yang bersamanya, tentulah dunia 
dan akhiratku hilang.”

Tapi mereka terus menerus 
memujuknya hingga diapun 
menuruti permintaan mereka. 
Dikisahkan, setiap kali dia 
mendoakan keburukan terhadap 
Nabi Musa dan pasukannya, maka 
doa itu menimpa Bal’am dan 
orang-orang yang memujuknya. 
Begitulah seterusnya, 
wallahu a’lam.

Menyedari hal itu, merekapun 
menegurnya, mengapa dia 
mendoakan keburukan terhadap 
mereka?


“Begitulah, setiap aku mendoakan 

keburukan buat mereka(Musa dan 
pengikutnya) tidak dikabulkan 
doaku. 

Tapi aku akan tunjukkan kepada 
kamu satu hal yang semoga saja 
dapat menjadi sebab kebinasaan 
mereka. 

Sesungguhnya Allah membenci 
perzinaan, dan kalau mereka jatuh 
dalam perbuatan zina, nescaya 
mereka pasti binasa, dan aku 
berharap Allah menghancurkan 
mereka. 

Maka keluarkanlah para wanita 
menemui mereka. Kerana mereka 
itu para musafir, mudah-mudahan 
mereka terjerumus dalam perzinaan 
lalu binasa.”

Setelah sebahagian besar mereka 
terjerumus dalam perbuatan zina, 
Allah Subhanahu wa Ta’ala kirimkan 
wabak tha’un sehingga menewaskan 
70 ribu orang dari mereka.

Pendek cerita, Bal’am pun tersungkur 
di pintu syurga dek diperdaya oleh 
syaitan walaupun berilmu tinggi.

PERUMPAMAAN ULAMA’ JAHAT DENGAN ANJING

As suddi berkata bahawa ayat itu 
merujuk kepada Bal’am yang 
‘menjelir lidahnya’ selepas kesesatan 
beliau sebagaimana menjelirnya 
anjing. 

Dan tafsiran perumpamaan ini di 
sisi kebanyakan ahli ilmu tafsir secara 
umumnya merujuk kepada setiap 
orang yang mengetahui al Qur’an 
tetapi tidak beramal dengannya. 

Sesetengah pendapat(lemah) 
merujuk kepada orang munafik. 
Pendapat yang pertama lebih benar.

Begitu juga pendapat Mujahid tentang 
ayat ini; “Begitulah keadaan sesiapa 
yang membaca al Qur’an tetapi tidak 
beramal dengan apa yang terkandung 
di dalamnya.” 

Sesetengah ulama pula menyebut 
bahawa ; “Inilah seburuk-buruk perumpamaan. 

Kerana sesungguhnya 
Allah menyamakan orang 
sebegitu yakni yang dikalahkan 
oleh hawa nafsunya sehingga ia 
tidak mampu mengawal dirinya 
daripada mendapat mudarat 
mahupun manfaat dengan 
seekor anjing yang sentiasa 
menjelir lidah.”

Allah membuat perumpamaan 
orang-orang yang mengambil 
‘rasuah’ dalam agama dengan 
anjing yang sentiasa menjelir 
lidahnya. 

Betapa hinanya perlakuan mereka 
yang tahu ayat Allah tetapi sanggup 
menggadaikannya dengan mata 
benda dunia yang sedikit. 

Harta, pangkat, kedudukan dan 
wang ringgit yang mereka ambil 
daripada penguasa yang zalim 
tidak bernilai sedikitpun di sisi 
Allah. Mereka menjadi golongan 
yang hina sehina-hinanya kerana 
menyembunyikan kebenaran al Qur’an.
ibnuabbas

1 comment:

Anonymous said...

Pengkisahan lanjut 7:179, mengibaratkan golongan manusia yg tak mempergunakan pancaindera kurniaan Tuhan serta akal yg waras utk memikirkan kebenaran, semata mata mengikut membuta tuli, sptlah mrk itu bagai binatang ternak bahkan lbh sesat lagi.
Apakah perkaitan anjing dan binatang ternak. Bukankah di zaman turunnya ayat ayat ini anjing diperguna utk menjaga dan mengawal binatang ternak.
Fikirkanlah spt apakah kita hari ini, jika semata mata mengikut tanpa berfikir salah benarnya sesuatu perkara.