Sunday, 23 February 2014

BUAT SANG ISTERI-Rahsia Menakluki Hati Lelaki!!!




Bagaimana anda menambat hati lelaki, terutama kekasih atau suami sendiri? Manusia memang tidak mampu meneroka hati dan jiwa manusia. 


Namun anda boleh belajar mengenal mereka supaya kebahagiaan dapat dinikmati bersama. Apa sebenarnya yang harus anda lakukan untuk menambat hati lelaki?


Terima lelaki agar dia menerima anda

Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain ” Terimalah lelaki sebagai sediakala”. 

Terimalah dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda tahu ialah mengenai lelaki, dan bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan lain, yang mungkin tidak anda sukai dan tidak menyukai anda.


Fahamilah lelaki agar dia memahami anda.


Cuba memahami perangai sedia ada pada sesorang lelaki yang menyesuaikan perangai itu dengan diri anda. Ianya adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. 


Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.


Berubah untuk menikmati perubahan



Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. 


Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.



Sanggup memberi untuk menerima



Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda beri.


Percaya untuk dipercayai



Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. 


Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang mudah. Untuk menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukan lah payah. Apabila lelaki sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.


Menangkan lelaki untuk menang



Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah perkahwinan, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. 


Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan menyuarakan. 


Kuasa isteri pula adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan itu akan menjadi porak-peranda.


Sifat negatif akan membuah kesan negatif



Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah- rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun suaminya. 


Sekiranya anda bersifat demikian, walau bagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. 


Andalah yang mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan anda. Andalah yang sepatutnya berubah.


Bertanggung jawab dan menikmati kesan tanggung jawab



Sebenarnya tanggung jawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini makin maju. Begitu juga dengan tanggung jawab suami kepada isteri. 


Selagi anda menjalankan tanggung jawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau apa pun.


Kritikan akan membuahkan kritikan



Kritikan berbahaya kerana ia menjadikan lelaki defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirtinya. Ia juga bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki. 


Menjejaskan rasa kepentingan diri. Dan menyebabkan lelaki merasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkriti anda pula.


Beri kepada lelaki apa yang dia mahu



Dia akan melakukan apa saja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oleh lelaki. 


(i) kehendak seks, dan (ii) kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia dan akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.


Tunjuk minat tulen terhadap lelaki




Dia akan menujukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri, juga mengenai kerjanya ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia pada anda.


Senyum itu tanda kasih yang tak perlu dibayar


Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan pada anda itu, begitulah juga nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyum menyebabkan lelaki suka pada anda.


Panggillah lelaki dengan panggilan manja



Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada lembut, begitu pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.


Hormati dia sebagai lelaki

Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya, dan bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. 


Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadi diri lebih terhormat.


Dunia Lelaki Yang Berbeza Dari Wanita


Seorang lelaki tidak sama dengan seorang wanita. Lelaki juga tidak akan menjadi wanita, dan begitulah sebaliknya. Ramai wanita menganggap lelaki sukar difahami, begitu jugalah pendapat lelaki. Berikut dinyatakan bebarapa sifat lelaki secara umum agar anda mudah memahami mereka:


Hidup lelaki lebih mudah


Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding dengan wanita. Kerana itu lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasa oleh wanita. 


Wanita suka berkias dan berharap lelaki faham. Tetapi, lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah, dan secara berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.


Bahasa lelaki adalah berlainan


Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir dari kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada apa yang dimaksudkan. 


Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukan berbanding dari apa yang dikatakan. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.


Lelaki suka membisu


Wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.


Lelaki tidak kompleks



Jika terdapat semua tanda yang menunjukan bahawa seorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki berfikiran primitif, tetapi lelaki memag sedemikian. Wanita selalu menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah.


Jangan paksa lelaki


Bila wanita mendesak lelaki mendedahkan perasaanya, mungkin wanita itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. 


Malah adalah lebih baik jangan bertanya dan menyelidik sampai ke akar umbi. Malah apa yang penting wanita itu perlu membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca tetapi tidak melakukannya, mungkin pada masa itu fikirannya sedang kacau.


Lelaki berahsia dengan lelaki lain


Tidak sebagaimana wanita yang lebih mudah untuk bercerita masalah yang dihadapinya kepada wanita lain, harapan dan kebimbangan yang dirasainya dan pelbagai cerita peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya lelaki memerlukan kekuatan dan keberanian yang maksima.


Lelaki pentingkan kejujuran



Sepertimana wanita, lelaki juga pentingkan kejujuran. Jika lelaki tahu yang kekasihnya atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal-hal rahsia yang lainnya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Seorang suami mahu isterinya menyimpan rahsia-rahsia rumahtangganya.


Lelaki Perlu Keselesaan Perasaan



Wanita sering menganggap lelaki sukar difahami. Sebenarnya ini juga anggapan lelaki pada wanita. Berikut dinyatakan beberapa sifat umum lelaki agar kita lebih memahaminya.


Lelaki tidak suka dikritik


Jangan mengkritik lelaki, melainkan jika wanita itu bersedia untuk bertikan lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan. 


Mengkritik di belakannya, contohnya kepada saudara atau rakannya, mungkin dapat mengelakkan konfrantasi serta merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara tersebut disampaikan kepadanya.


Cara baik mengkritik lelaki adalah dengan cara berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan dan ia jarang dilakukan oleh wanita. Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila menegur, perbincangan itu ringkas, tidak emosi dan tepat.
Untuk mengkritik lelaki eloklah kiranya kritikan itu digabung dengan sedikit pujian.


Lelaki juga mahukan sokongan


Bila lelaki menghadapi masalah dan mengadu pada wanita, wanita harus memberitahu lelaki itu bahawa dia masih diperlukan. Lelaki mahukan keselesaan perasaan dan sokongan serta kata-kata lunak seperti: “saya cintakan abang..” atau “Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap bersama abang…”


Lelaki dan ego


Ramai lelaki menunjukkan egonya pada dua masa, pertama di dalam kerja dan kedua di ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suami atau kekasihnya.


Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta itu. Lelaki mahu wanita memberitahu bahawa sumbangannya diiktiraf dan dilnilai. 


Jika anda tidak menyatakan kepadanya, siapa lagi? Jika anda mempertingkatkan ego lelaki, ia kan membuatkan lelaki merasa senang dan setiap orang disekelilingnya akan mendapat faedah, terutamanya yang dicintainya.


Lelaki mesra tanpa beremosi


Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi dan mengasihi sebagai balasan. Kemesraan emosional, bersatunya jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ianya bukan satu proses sahaja.


Setiap manusia bergantung kepada kemesraan emosional untuk seimbang dan gembira, paling kurang ia perlu untuk meneruskan kehidupan. 


Tempat di mana lelaki berbeza dari wanita ialah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segi seks tanpa kemesraan emosi. Jalinan atau hubungan antara dua perkara ini, iaitu kemesraan cinta berahi (seks) dan kemesraan emosi cinta kasih (emosi) tidak penting pada ramai lelaki.


Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah pada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding dengan wanita. Lelaki lebih cepat mencapai kemesraan seksual. 


Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan seks yang lebih memuaskan. Tetapi jika tanpa emosi seks boleh dilakukan juga oleh lelaki.


Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik semulajadi antara lelaki dan wanita. Bila keperluan kemesraan emosi wanita tidak dipenuhi samaada sebelum atau selepas kemesraan seksual, kekecewaan akan melanda wanita. Tetapi tidak lelaki.


Lelaki suka menyelerak


Lelaki bersifat suka menyelerak barang-barang dan berharap isteri akan mengemaskannya. Kadangkala lelaki mahu isterinya bersifat sebagai ibunya. 


Walaupun pada kebanyakan saat lelaki adalah pembuat yang memulai atau meneruskan sesuatu, adakalanya lelaki mahu dijaga oleh seorang ‘ibu’. Dia menunjukkan kemahuannya itu secara tak langsung dengan menyelerak.


Lelaki diumpan menerusi matanya


Mata lelaki dianggap pembangkit ghairah 
paling utama. Kemudian itu barulah sentuhan, hiduan dan pemikiran rasional memainkan peranan. 


Untuk menghangatkan hubungan, wanita perlu menghiasi dirinya dengan keindahan. Ini boleh membangkitkan keghairahan lelaki. Lelaki cenderung untuk mencari keghairahan penglihatan, sedangkan wanita bangkit keghairahannya dari bacaan dan kesan terhadap imaginasinya.-rahasiabatin.

No comments: