Friday, 28 February 2014
Fasih Bahasa Melayu Tak Hakis Jati Diri Cina!
by Teo Kok Seong,
Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Syarat fasih berbahasa Melayu yang dikenakan oleh MCA kepada mereka yang bakal dilantiknya, untuk memegang jawatan, baik dalam majlis perbandaran, daerah atau lain-lain bukan sahaja perlu dipuji. Ia hendaklah dicontohi pihak lain, baik dalam bidang politik mahupun lain-lain.
Ketetapan begini diambil setelah MCA mengambil kira mereka ini yang akan bertindak sebagai perantara antara rakyat dan kerajaan, harus mempunyai kefasihan berbahasa Melayu yang baik. Oleh itu, ia dipastikan ketika temu duga dan antara syarat pelantikan yang penting.
MCA melihat kefasihan berbahasa Melayu ini sebagai faktor penting untuk keberkesanan peranan seorang ahli majlis perbandaran, daerah dan lain-lain. MCA mahu memastikan mereka yang dilantik itu, boleh menyuarakan masalah rakyat dengan jelas dalam bahasa Melayu. Ini agar ianya dapat difahami dengan baik oleh kerajaan, dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bahasa pentadbiran kerajaan
Syarat ini sebenarnya memperlihat betapa pentingnya bahasa Melayu dalam urus tadbir negara. Hal ini ada hubungannya dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Dalam hal ini, ia wajib digunakan sebagai bahasa untuk segala urusan kerajaan. Ia bahasa yang ditetapkan secara perundangan untuk digunakan dalam pentadbiran kerajaan.
Oleh itu, bukan sahaja penggunaan bahasa Melayu dari kuantitinya penting, tetapi cara ianya digunakan, sudah tentu dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam ranah rasmi, adalah juga penting untuk memberi kualiti kepadanya. Hal ini amat diperlukan bukan sahaja kerana bahasa Melayu adalah bahasa negara kita.
Tetapi, yang lebih penting lagi ialah citranya sebagai bahasa yang digunakan dalam semua sistem negara seperti pendidikan dan perundangan, dan juga pelbagai institusinya seperti tentera dan polis, perlu sentiasa terpelihara.
Syarat fasih berbahasa Melayu dalam kalangan rakyat, khususnya yang bukan Melayu, pada tahap yang baik, setelah 57 tahun merdeka, sepatutnya tidak diperlukan lagi. Namun, inilah hakikatnya.
Masih terdapat sebilangan besar bukan Melayu yang dapat dikategorikan sebagai tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Malang sekali ia datang daripada generasi muda pula.
Ketika merdeka pada 1957, kefasihan berbahasa Melayu dalam kalangan kaum bukan Melayu, adalah antara perkara penting yang disentuh dalam Dasar Bahasa Kebangsaan. Hal ini diungkit semula ketika penubuhan Malaysia pada 1963 oleh kepemimpinan negara, setelah mendapati permasalahan penguasaan bahasa negara yang baik, tidak begitu diendahkan oleh bukan Melayu.
Sesungguhnya hal ini berlanjutan sehingga sekarang. Keengganan sesetengah rakyat bukan Melayu untuk menguasai bahasa Melayu agar fasih, setelah diberitahu tentang kepentingannya sebagai bahasa negara, boleh dikaitkan dengan tiadanya kesetiaan pada mereka ini, kepada negara.
Pekerja asing lebih fasih
Sebetulnya sikap negatif dalam kalangan mereka ini adalah faktor utama mengapa mereka terus tidak mahu mengetahui bahasa Melayu langsung, apatah lagi menguasainya dengan baik. Hal ini dapat dibandingkan dengan sikap positif pekerja asing di negara ini, yang didapati berjaya menguasainya bukan sahaja dalam waktu yang singkat, tetapi, pada tahap yang boleh dibanggakan juga.
Langkah MCA ini perlu disusuli dengan usaha untuk mengajar bahasa Melayu kepada kaum Cina yang tidak mahu mengetahuinya langsung. Ia bukan saja mustahak untuk kepentingan negara. Ia juga mustahak untuk kerakyatan mereka sebagai warga negara Malaysia yang lebih absah sifatnya.
Selain membela nasib kaum Cina dalam bidang ekonomi khasnya dan memastikan pendidikan aliran Cina berada pada tahap unggul, MCA juga mempunyai tanggungjawab untuk menanam semangat nasionalisme linguistik bahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina.
Ini dapat dilakukan dengan agak mudah memandang barisan kepemimpinan MCA kini rata-ratanya mempunyai kefasihan berbahasa Melayu yang amat baik. Kefasihan ini boleh dijadikan bukti bahawa pengetahuan dan penguasaan baik dalam bahasa Melayu, tidak sekali-kali menghakis jati diri etnik Cina.
Malah, ia boleh menjadikan kaum Cina lebih bersifat Malaysia. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik ini mempunyai kaitan langsung dengan jati diri kebangsaan, yang perlu dipamerkan oleh setiap seorang warga negara Malaysia pada setiap masa-BH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment