Wednesday, 15 April 2015

Sultan Al Fateh Pemburu Dracula!!!



 Jika disebut nama Muhammad Al-Fateh (Mehmed II) ataupun Mehmet The Conqueror sudah pasti terbayang di dalam fikiran kita bahawasanya Sultan ini adalah seorang yang telah diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik pemimpin dan dibawahnya juga sebaik-baik tentera yang pernah dihasilkan oleh sebuah empayar islam.

 “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Raja yang menaklukinya ialah sebaik-baik raja dan tentera yang berada di bawah pimpinannya ialah sebaik-baik tentera.” [Hadis Riwayat Ahmad Bin Hanbal, Al-Musnad (4/335)] 

Begitulah seorang Raja yang dijanjikan dan diiktiraf oleh Rasulullah SAW 800 tahun sebelumnya sebagai sebaik-baik raja dan dibawahnya terdapat sebaik-baik tentera. 

Zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh juga dikenali sebagai zaman yang berlakunya perluasan kuasa yang sangat besar bagi empayar Turki Uthmaniah. 

Namun entri pada kali ini bukanlah untuk menceritakan kisah Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk Kota Constantinople, tetapi entri kali ini cuba untuk membawakan kepada pembaca suatu kisah yang sangat popular di seluruh dunia iaitu kisah Dracula ataupun Vampire. 

Jika disebut sahaja Dracula atau Vampire sudah pasti kita akan mengingati kisah Twilight yang menjadi kegilaan remaja pada hari ini ataupun Van Helsing di mana vampire ini merupakan hantu yang memburu darah manusia untuk memastikan mereka terus hidup dan kuat. 

Jadi apakah motif entri kali ini untuk mengaitkan Sultan Muhammad Al-Fateh dengan kisah Dracula? 

Hakikat yang sebenarnya Dracula ini bukanlah hantu yang kita fahami, tetapi ianya hanya mitos yang diwujudkan oleh masyarakat Eropah mengenai seorang ataupun sekumpulan manusia yang memburu manusia seterusnya meminum darahnya. 

Dracula yang dimaksudkan di dalam mitos ini sebenarnya adalah seorang manusia biasa ataupun realmen yang hidup sezaman dengan Sultan Muhammad Al-Fateh pada kurun ke-15. 

Jika pembaca pernah mendengar mengenai sebuah kawasan yang bernama Walachia yang pada hari ini terletak di negara Romania begitu sinonim dengan sejarah mitos Dracula ini. 

Suatu masa dahulu ketika empayar Turki Uthmaniah berjaya meluaskan islam sehingga ke timur eropah, masyarakat islam dan kristian di timur eropah hidup di bawah kekuasaan empayar Turki Uthmaniah. 

Perluasan kuasa ini berlaku ketika zaman pemerintahan sultan Murad II iaitu ayahanda kepada Sultan Muhammad Al-Fateh. Di kawasan Walachia ini terdapat sebuah keluarga diraja yang berkuasa di kawasan ini iaitu House of Draculesti (House of Dragon) yang dipimpin oleh Vlad II dracul(dragon). 

House of Dragon ditugaskan oleh gereja Roman Katolik pada waktu tersebut untuk melindungi penganut kristian serta menghapuskan penguasaan umat islam ke atas wilayah Balkan. 

Vlad III The Impaler Vlad II mempunyai 4 orang anak iaitu Mircea II, Vlad IV calugarul(The Monk), Vlad III (seterusnya dikenali sebagai Dracula) dan Radu III cel Frumos(The Handsome). 

Vlad lll

Ketika pemerintahan Sultan Murad II, Vlad II terpaksa membuat pakatan dan perjanjian damai bersama sultan Murad II. Hasil daripada perjanjian damai tersebut telah membawa kepada pembayaran ufti dan jizyah daripada Vlad II sebagai syarat ahli zimmah yang mereka perlu patuhi. 

Selain itu, Vlad II juga telah menghantar dua orang anaknya ke negara Uthmaniah untuk berkhidmat kepada Sultan, iaitu Radu III cel Frumos dan Vlad III. 

Penerimaan Sultan Murad II terhadap kedua-dua putera raja ini adalah sebagai cara untuk melatih pemimpin daripada kalangan orang asal kawasan tersebut dan selepas mereka berjaya mendapat kepercayaan Sultan Uthmaniah, mereka akan dihantar kembali dan dilantik menjadi penguasa(Bey) di kawasan tersebut. 

Impalement Sepanjang berkhidmat bersama Sultan Murad sehingga pemerintahan beralih kepada Sultan Muhammad Al-Fateh, kedua-dua putera raja ini diajar pendidikan Al-Quran, Bahasa Arab dan Turki, ilmu Fiqh dan lain-lain. 

Radu III seterusnya memeluk agama islam dan menjadi seorang muslim yang taat serta menjadi front utama dalam peperangan. Radu juga telah dilatih untuk menjadi seorang Janissari(tentera elit Turki) dan beliau juga terlibat dalam peristiwa penaklukan kota Constantinople.

 Manakala, Vlad III abang kepada Radu III kembali ke negara asalnya dan menjadi voivode(Duke) di sana dan menyimpan dendam yang tinggi terhadap kerajaan Uthmaniah. 

Vlad III menganggap ayahnya telah melanggar sumpah sebagai ahli House of Dragon yang sepatutnya menghalau umat islam daripada terus berkuasa di kawasan Balkan apabila ayahnya membuat perjanjian damai dengan kerajaan Uthmaniah. 

Perjanjian damai yang dibuat oleh Vlad II bersama kerajaan Uthmaniah hanya sebagai taktik beliau untuk menghancurkan umat islam sahaja. 

Selepas memperoleh peluang untuk mengkhianati perjanjian tersebut, Vlad II telah mengarahkan anaknya Mircea II dan Vlad IV untuk melakukan seksaan terhadap tahanan perang dan tindakan mereka mendapat sokongan daripada penguasa Hungary pada waktu tersebut iaitu John Huryandi. 

Mereka telah melakukan taktik seksaan psikologi yang dikenali hari ini sebagai Impalement iaitu sejenis penyeksaan di mana sebatang tombak yang tajam akan dicucuk di belakang seseorang sehingga muncung tombak yang tajam itu keluar daripada mulut. 

Taktik impalement ini telah digunakan mereka ketika pertempuran di Belgrade antara tentera uthmaniah dan tentera Vlad II. Empalement Ketika mana Radu III begitu komited menjadi seorang muslim dan taat setia berkhidmat bersama tentera Uthmaniah, abangnya Vlad III Dracula telah menjadi penguasa Walachia menggantikan ayahnya. 

Ketika mana seorang utusan dihantar untuk mengutip jizyah daripada Vlad III Dracula di Walachia, pemungut jizyah ini telah dibunuh oleh Vlad III dan beliau tetap enggan membayar jizyah kepada kerajaan Uthmaniah. 

Hal ini telah membawa kepada pengisytiharan perang oleh Sultan Muhammad Al-Fateh terhadap Vlad III Dracula. Seperti mana taktik perang psikologi yang dilakukan oleh ayahnya, Vlad III juga melakukan perkara yang sama namun dengan keadaan yang lebih dahsyat daripada sebelumnya.

Vlad dan tenteranya telah pergi ke Danube, sebuah wilayah di kawasan Bulgaria yang pada waktu tersebut merupakan wilayah kerajaan Uthmaniah. Mereka telah menyamar menjadi askar Sipahi(askar elit berkuda) dan membunuh serta menyeksa penduduk di kawasan tersebut. 

Nama Dracula juga diberikan kepadanya yang membawa maksud son of dracul(Dragon) serta perbuatan mereka yang suka meminum darah manusia yang diseksa oleh mereka. 

“I have killed men and women, old and young… We killed 23,884 Turks and Bulgarians without counting those whom we burned in their homes or whose heads were not cut by our soldiers.” 

(Dracula, in a letter to Matthias Corvinus bragging of his tyranny) Ketika dalam perjalanan untuk menghadapi tentera Vlad III di Walachia, Sultan Muhammad Al-Fateh bersama tenteranya telah melalui sebuah hutan yang telah dibakar dan kayu-kayunya telah reput. 

Di hutan tersebut juga mereka menghadapi hampir 20,000 manusia yang dipacak di atas tanah selepas diseksa dengan cara impalement. Keadaan ini telah merendahkan semangat tentera Uthmaniah dan kelebihan ini telah digunakan Vlad III untuk melancarkan serangan gerila terhadap tentera Uthmaniah. 


Seramai hampir 15,000 daripada 60,000 tentera Uthmaniah telah terkorban. Sultan Muhammad Al-Fateh membuat rancangan untuk retreat dan seterusnya mengarahkan Radu III, adik kepada Vlad III Dracula untuk menghadapi abangnya sendiri. 

Radu III merupakan ketua Janissari pada waktu tersebut dan tugas Janissari bukanlah sebagai tentera infantri yang bertempur di barisan hadapan, mereka hanyalah tentera elit yang menjalankan tugas-tugas berprofil tinggi dan menjadi pengawal keselamatan kepada Sultan. 

Pertempuran Radu III cel Frumos dan Vlad III Dracula dikenali dalam sejarah sebagai Brothers in Blood. Radu III telah mengalahkan Vlad III dalam pertempuran tersebut sehingga menyebabkan Vlad III terpaksa lari ke Hungary untuk mendapat perlindungan. 

Radu III telah dilantik menjadi penguasa ataupun Bey bagi kawasan Walachia oleh Sultan Muhammad Al-Fateh Namun, Vlad III berjaya mendapatkan kembali penguasaan di kawasan tersebut selepas kematian secara tiba-tiba Radu III cel Frumos. 

Serangan besar-besaran tentera Uthmaniah keatas Vlad III telah menyebabkan kematiannya pada tahun 1476. Begitulah sejarah yang sangat unik bagi kita di mana kisah mitos Dracula ini adalah sebuah kisah yang terdapat dalam lipatan sejarah umat islam. 

Bukanlah pemburuan Dracula ini oleh karakter-karakter yang dicipta oleh barat seperti Professor Abraham Van Helsing di mana untuk memastikan Dracula ini mati haruslah ditembak menggunakan peluru perak,anak panah kayu yang sudah dijampi ataupun batang salib, tetapi Dracula ini adalah manusia sebenar yang ‘diburu’ oleh Sultan Muhammad Al-Fateh suatu masa dahulu kerana telah melanggar perjanjian dan menyeksa puluhan ribu umat islam. Rujukan: suhaibwebb.com

No comments: