Tuesday 3 June 2014

JAKIM Sah Dua Coklat Halal!!!







BANGI : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond halal untuk dimakan oleh umat Islam kerana tidak mengandungi DNA babi.


Ia berdasarkan ujian oleh Jabatan Kimia terhadap sampel produk sama yang diambil terus daripada kilang di Shah Alam pada 26 Mei lalu walaupun makmal Kementerian Kesihatan sebelum ini menemui DNA babi dalam produk berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika mengumumkannya semalam berkata walaupun ada banyak makmal, JAKIM hanya mengiktiraf makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya bagi tujuan pengesahan penemuan DNA babi.
“Keputusan yang diterima daripada Jabatan Kimia pagi ini (semalam) mendapati kedua-dua sampel yang diambil JAKIM itu adalah jenis Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no) 221013 N01RI1 dan jenis Hazelnut dengan nombor kelompok 200813 M01HI2, negatif DNA babi dan halal dimakan.
“Ujian makmal Jabatan Kimia terhadap empat sampel produk lain dan lima bahan mentah berpotensi mengandungi unsur haiwan dalam rantaian pemprosesan sama juga didapati tiada DNA babi,” katanya pada sidang media khas mengenai isu itu semalam.
Pada 24 Mei lalu, JAKIM menggantung sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury selepas disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi (porcine), berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan pengesanan DNA Porcine dalam dua sampel coklat Cadbury, iaitu coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam – Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01R, tarikh luput 15 Januari 2015.
Makmal kompeten
Jamil Khir berkata, makmal Jabatan Kimia diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menganalisis makanan, selain mendapat akreditasi Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA, termasuk pengujian produk makanan terproses.
Namun, Jamil Khir tidak menolak kemungkinan sampel yang dianalisis oleh makmal Kementerian Kesihatan bukan diambil terus dari kilang dan dicemari DNA babi sama ada ketika proses penyimpanan dan penghantaran.
“Pencemaran mungkin boleh berlaku daripada peti ais. Malahan, kalau seseorang makan makanan yang ada unsur DNA babi dan kemudian bersin di hadapan makanan lain, makanan itu juga boleh tercemar dengan DNA babi,” katanya.
Namun, beliau menegaskan kerajaan tidak berhasrat melindungi sesiapa dan tidak pernah menyembunyikan status sebenar kerana tidak mahu menanggung dosa.
Pemeriksaan menyeluruh
Katanya, laporan pemeriksaan menyeluruh akan dibentangkan sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk itu dikembalikan.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung isu halal boleh menghubungi pegawai Bahagian Hab Halal JAKIM, Nadia Zammil Md Nasir (03-8892 5048), Najibah Abdul Mutalib (03-8892 5078), Mazlina Jalani (03-8892 5032) dan Fakarudin Mas’od (03-8892 5031), mulai 10 pagi hingga 4 petang.-BH

1 comment:

Anonymous said...

Bab sampel tercemar babi boleh diconsider.

Bab DNA tercemar tak bleh consider.

Emmmmmmm.....