Friday, 3 January 2014

SYIAH DAN SEKS BERPISAH TIADA!!!


Syiah umpan duit, perempuan.

Oleh Yaacob Abdul Rahim


SEKADAR HIASAN

Seorang rakan berketurunan Tionghua pernah berpesan. Katanya, orang tua-tua Cina sering mengingatkannya, walau seakrab manapun persahabatan dengan seseorang, waspada terhadap dua perkara iaitu duit dan perempuan.

Menjelaskan lebih lanjut, dia berkata kerana duit tali persahabatan boleh putus sama ada disebabkan hutang, pecah amanah atau hasad dengki. Perempuan pula, katanya, boleh menjadi punca permusuhan di antara sahabat karib sama ada kerana berebut kasih, cemburu atau kecurangan.

Saya mengutarakan isu duit dan perempuan minggu ini bagi mengaitkannya dengan taktik dan umpan digunakan penganut Syiah untuk menarik umat Islam menyertai fahaman yang sudah difatwakan sesat dan haram diamalkan di Malaysia dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya bertarikh 5 Mei 1996.

Sehingga kini antara negeri yang sudah mewarta dan mengharamkan Syiah ialah Selangor (19 Januari 1998), Wilayah Persekutuan (3 April 1997), Terengganu (25 September 1997), Pulau Pinang (16 Januari 1997), Negeri Sembilan (12 Mac 1998) dan Kelantan (September 1987).

Terbaru, Kedah dan Pahang juga bercadang mewartakan fatwa anti-Syiah. Tindakan itu menyebabkan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir ‘diserang’ hebat kumpulan Syiah termasuk ada yang mengancam mahu menyamannya. 

Tidak cukup dengan itu, wakil kedutaan dari negara yang majoriti penduduknya Syiah beria-ia mahu bertemu Mukhriz. Walaupun tidak dinyatakan tujuan pertemuan itu mahu diadakan, Menteri Besar itu percaya ia berkaitan tindakan keras diambilnya terhadap kumpulan berkenaan.

Apa kena mengena Syiah dengan perempuan dan duit?
Seperti kebanyakan ajaran sesat lain, pemimpin Syiah menggunakan perempuan untuk mengumpan golongan belia terutama mereka yang alpa dalam soal keagamaan. Selain itu, mereka turut ‘memancing’ golongan berumur 40-an hingga 50-an yang berhasrat mendalami ilmu agama menyertai kumpulan itu.

Golongan sasaran ini terutama lelaki akan digula-gulakan dengan perkahwinan mutaah (kahwin kontrak). 

Mereka akan menunjukkan hadis palsu yang kononnya dicatatkan syeikh Syiah terkemuka. Antaranya hadis Syiah dalam kitab al-Kafi, jilid 5, muka surat 286 yang mendakwa kahwin kontrak tanpa wali dan saksi dibolehkan, malah digalakkan.

Bagi menyedapkan cerita, mereka mendakwa tiada tempoh tertentu untuk membubarkan nikah mutaah, malah kahwin selama lima minit pun dibolehkan. 

Mas kahwinnya pula boleh apa saja daripada RM1, pemetik api, buku hatta selipar yang sedang dipakai. Malah, perkahwinan itu tidak memerlukan wali atau saksi. Ini pastinya menarik minat golongan sasaran kerana ia seolah-olah menghalalkan zina. Malah, kos melanggan pelacur pun lebih mahal daripada mas kahwin.


Bagi pengikut wanita pula, otak mereka ‘dicuci’ dengan dakyah kononnya darjat perempuan yang bernikah mutaah lebih tinggi. 

Malah, tok guru Syiah turut mendakwa anak yang dilahirkan hasil nikah mutaah lebih mulia berbanding zuriat lain. Tidak hairanlah dakyah songsang itu berjaya menarik wanita menyertai ajaran ini.


Selain itu, faktor duit turut membantu ajaran ini cepat berkembang. Difahamkan, pemimpin Syiah tidak lokek membantu umat Islam yang kesempitan wang sebelum memasukkan ‘jarum.’ 

Mereka dipercayai mendapat dana dari luar negara puluhan juta ringgit setiap tahun. Tidak hairanlah mereka yang makin agresif mempromosikan ajaran itu dikatakan bakal membina sebuah markas dengan dana RM24 juta di selatan Thailand selepas cubaan membina sebuah kompleks di Gombak, Selangor, gagal.

Dana yang banyak juga membolehkan gerakan itu mampu menterjemah buku berkaitan Syiah terutama dari Iran ke bahasa Melayu. 
Bagi mengelak buku berkenaan cepat dikesan, mereka meletakkan judul yang langsung tiada kaitan dengan Syiah. Antara buku berkenaan ialah Akhirnya Ku Temui Kebenaran dan Benarkah Salafi Wahabi.

Faktor ini juga menyebabkan gerakan itu mampu merekrut kader Syiah untuk mengembangkan ajaran itu. Di universiti tempatan sudah ada profesor dilantik menjadi syeikh bertaraf Ayatollah yang dikesan giat mempengaruhi mahasiswa. 
Malah, ada pemimpin mahasiswa secara terang-terangan mengaku menjadi pengikut Syiah. Terbaru, beberapa guru sekolah menengah dikesan menyebarkan dakyah Syiah kepada pelajar. 

Rekrut ini juga dilantik sebagai tentera siber yang memantau laman web, blog dan media sosial yang mempertikai ajaran Syiah. Mereka memberi komen atau mempertikaikan fakta yang dikemukakan penulis selain membela ajaran Syiah.
 

Menyedari gerakan Syiah semakin agresif di negara ini, pihak berkuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri perlu mengambil langkah proaktif membendung ajaran itu.

Sehingga kini Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Kedah mula menggerakkan langkah membanteras kegiatan Syiah. Tindakan itu termasuk menyerbu markas Syiah yang kini sudah berani beroperasi secara terang-terangan sehingga berani berceramah mengutuk, menghina malah mengkafirkan sahabat Rasulullah menggunakan pembesar suara walaupun menyedari majoriti penduduk di sekeliling bermazhab Sunni.

Bagaimanapun, penganut Syiah yang menyebarkan dakyah secara sembunyi dikatakan lebih bahaya kerana mereka diibaratkan seperti haiwan dua alam. 

Di depan kita, mereka bersolat dan mengamalkan 
Islam sama seperti pengikut Sunni tetapi ketika bersama pengikut Syiah, mereka bertakbiratul ihram bagaikan menghalau lalat.

Tindakan itu tidak menghairankan kerana Syiah membenarkan pengikutnya bertaqiyyah atau berpura-pura ketika berhadapan dengan orang Sunni.

Malah, kumpulan ini menggunakan alasan hak asasi manusia untuk mengembangkan ajaran itu selain mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang sedia ada bagi menghalang tindakan penguatkuasaan. 

Sehubungan itu, sudah tiba masanya JAKIM mengatasi kelemahan berkenaan selain bertindak lebih agresif termasuk menghantar kakitangannya yang pakar mengenai penyelewengan Syiah memberi penjelasan dan penerangan di masjid dan surau di seluruh negara.

Program pemurnian akidah yang pernah dilaksanakan terhadap pengikut ajaran sesat termasuk pengikut al-Arqam sebelum ini dirasakan cukup sesuai terhadap penganut Syiah agar mereka kembali ke pangkal jalan. 

No comments: