GURU WANITA MUSLIM SJKC DIARAH BUKA TUDUNG DIBANTAH PENDUDUK KAMPUNG.
Penduduk Kampung Teluk Sengat, dekat sini yang marah menggantung
beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi mencemuh tindakan
seorang ahli jemaah pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) yang didakwa meminta seorang guru Cina Muslim membuka tudung.
Wanita itu turut diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian.
Utusan Malaysia difahamkan, ahli jemaah pengurus sekolah yang dikenali
sebagai Pang berusia dalam lingkungan 60-an itu telah menyuruh guru
mualaf berusia 25 tahun supaya membuka tudung selain mengancam
keselamatannya sekiranya enggan berbuat demikian.
Berikutan ugutan itu, guru tersebut membuat laporan di Balai Polis Teluk
Sengat dan berdasarkan maklumat terbaru, guru berkenaan ditukarkan
serta-merta ke sebuah sekolah di bandar ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Teluk Sengat,
Abd. Zani Shariff kesal dengan tindakan pihak berkenaan yang boleh
menimbulkan rasa tidak puas hati antara penganut agama, khususnya umat
Islam.
"Walaupun saya rasa tercabar dengan tindak-tanduk lelaki tersebut
memainkan isu agama sehingga menimbulkan rasa marah umat Islam di sini,
namun saya berharap pihak berkenaan dapat membendung isu panas ini
daripada berpanjangan yang boleh mencetuskan isu perkauman," katanya
yang ditemui di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff berkata,
dia telah mendapatkan maklumat ketua kampung yang meminta supaya perkara
itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
"Harapan saya supaya keadaan di kampung ini berjalan seperti biasa dan
mungkin ada sedikit kawalan yang perlu dibuat supaya tidak menimbulkan
perkara yang tidak diingini.
"Jadi, saya harap pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan seterusnya melakukan siasatan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat
Othman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengesahkan menerima
laporan yang dibuat oleh seorang penduduk tentang perkara berkenaan.
No comments:
Post a Comment