Tuesday, 17 December 2013

MAT SABU SEHARUSNYA MENCONTOHI IMAM AS-SYAFIE DALAM MENGHADAPI ISU TUDUHAN FAHAMAN SYIAH!!!

MAT SABU SYIAH???















Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris.Salasilah 
keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas 
bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim 
bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. 

Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi 
Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang 
ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung 
yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 
150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan 
bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir 
di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah 
itu demi keperluan penting. 

Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut 
ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie 
masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua 
tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota 
Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juzuk. 
Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan 
Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. 
Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah 
SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah 
diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan 
menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi 
mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam 
Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya 
kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke 
Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah 
diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu 
kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan 
kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, 
sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi 
untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi 
setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus 
menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang 
pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, 
maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun 
Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab 
golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan 
Abbasiyah, puak syiah berhasrat mendirikan sebuah kerajaan 
Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu 
di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam 
surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan 
supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali 
paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan 
penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan 
ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. 

Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut 
bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin 
Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie 
dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. 
Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan 
kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara 
(Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. 
Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan 
darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat 
tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu 
persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka 
ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan 
memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar 
dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit 
binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan 
memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil 
ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya 
hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana 
kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie 
mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan 
beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan 

tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab 
baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau 
mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan 
oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata 
dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata 
“Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam 
hati Amirul Mukminin sendiri.” Mendengar kata-kata itu 
hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca 
surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman 
di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh 
bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka 
berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-
orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya 
Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah 
diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan 
menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada 
dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie 
berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, 
kerana sekarang Amirul Mukminin telah menjadi khalifah, 
jawapan salam Amirul mukminin tadi membuat hati saya 
menjadi aman.” 

Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar 
Rashid bertanya kembali: 

“Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu 
untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Amirul Mukminin 
dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini 
Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna". 

Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk 
membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangan
nya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang 
fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti 
agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum 
tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu 
menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai 

kepada Amirul Mukminin itu adalah dusta belaka. Sesungguh
nya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Amirul 
Mukmininlah yang berhak memegang adab kitab Allah 
kerana Amirul Mukminin adalah putera bapa saudara 
Rasulullah SAW iaitu Abbas. 

Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. 
Maka kalau saya dituduh Syiah hanya kerana saya 
sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, 
maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini 
menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan 
tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada 
keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya 
kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari 
ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan 
antara kami dengan kamu, kerana kami harus 
memelihara dan menghormati pengetahuanmu 
wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, 
yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari 
pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang 
sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta 
pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan 
itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Foto


No comments: