Mayat mangsa, Lau Kah Kah, dijumpai oleh teman lelakinya, Yeoi Khoon Xing, 21, dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di kaki lima flat itu.
Difahamkan, Khoon Xing bergegas ke tempat kejadian apabila mendapati teman wanitanya berhasrat membunuh diri namun tidak sempat menghalang mangsa daripada mengambil tindakan drastik itu.
Penduduk di situ memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis setelah terdengar bunyi benda terjatuh diikuti jeritan kuat seorang lelaki.
Dalam pada itu, menurut adik si mati yang enggan dikenali, dia melihat kakaknya dalam keadaan muram ketika membalas SMS serta panggilan telefon daripada teman lelakinya.
Kemudian, dia melihat kelibat si mati, Lau Kah Kah yang juga pelajar kolej kelihatan keluar dari rumah dan berlegar-legar di kawasan balkoni flat rumahnya, sebelum dia dipercayai terjun dari tingkat 17, pangsapuri itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, polis akan menjalankan siasatan terperinci dengan mendapatkan maklumat daripada adik si mati dan teman lelakinya.
“Polis turut mengambil kira kandungan SMS yang dipercayai menjadi motif si mati bunuh diri. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk menemu ramah abang si mati di rumah mayat HPP tidak berhasil kerana dia masih trauma dan bersedih dengan kejadian menimpa adiknya.
No comments:
Post a Comment