Friday, 10 August 2012

Sejarah Islam Pahang.


Sejarah Ringkas Pentadbiran Negeri Pahang 400SM -1900M.

Sejarah Ringkas Pentadbiran Negeri Pahang
400SM -1900M.

Pahang Di Zaman Bahari

Kewujudan Negeri Pahang mula di ketahui oleh Ahli Sejarah menerusi peta yang dilukis oleh Ptolemy’s yang menceritakan berkenaan kedudukan Semenanjung Emas. Gambaran dari peta tersebut jelas kelihatan Sungai Pahang. Peta yang dilukis oleh Platomy menarik perhatian para pedagang dari seluruh Eropah dan Tanah Arab untuk datang ke blok sebelah sini untuk mendapatkan emas.

Pahang mempunyai pelbagai nama, Perkataan “Pahang” di ambil dari perkataan Kemboja yang bermakna “Bijih Timah” ini kerana pada masa dahulu Negeri Pahang kaya dengan hasil bijih tersebut. Di dalam kitab-kitab lain Negeri Pahang di panggil dengan pelbagai nama ;seperti Pong-Fong di dalam istilah orang Cina,Pan atau Pam di dalam istilah Arab, Phaung atau Pahangh di dalam buku-buku orang Eropah. Pelbagai istilah ini menunjjukkan pelbagai bangsa telah datang ke Pahang untuk berniaga atau menjelajah.

Bagi Orang Asli nama Negeri Pahang di ambil dari Pokok Mahang, iaitu sebatang pokok yang besar terletak di Kuala Pahang Tua. Negeri ini di sebut juga “Inderpura” atau “Pura” sahaja sebagaimana dinyatakan di dalam Kitab Sejarah Melayu. Nama pura bermaksud bandar atau pekan,maka “Pekan” kekal namanya sehingga ke hari ini disebut orang “Pekan Pahang” asalnya ia nama sebuah negeri atau negara.(lihat W.Linehan- History of Pahang )

Lama sebelum itu dari jumpaan sejarah di dapati beberapa alat kegunaan masyarakat dahulu tertanam di Gunong Senyum dan di Sungai Lembing Kuantan. Alat-alat dari Zaman Mesolithic dan Noelithic. Manusia zaman batu telah memduduki Pahang sejak awal lagi.

Dijumpai beberapa peralatan dari Negeri Cina di Pahang yang bertarikh 1500 Sebelum Masehi,seperti bekas makanan dan tempat menyimpan peralatan rumah.Dijumpai juga sebuah Gendang Gangsa di Kg Tersang Kuala Tembeling bertarikh 400 Sebelum Masehi, ini menunjukkan di Negeri Pahang pada masa itu sudah maju dan mempunyai tamadun serta bandar. 
Bandar ini merupakan bandar perlombongan emas yang besar dan terkenal,di datangi oleh ramai pendatang dari seluruh dunia.

Sekitar tahun 419H / 960Masehi telah terdapat kegiatan orang Islam di Pahang dengan terjumpanya sebuah batu nesan di Pulau Tambun, di Pekan Pahang. Batu nesan itu secara jelas menceritakan tentang kematian si empunya makam tersebut;





Jika dilihat di sini maka kita dapati jumpaan ini menyamai jumpaan makam Fatimah di Leran di Jawa yang bertarikh pada tahun 475 H. Ahli sejarah berbelah bagi menerima batu nesan Pulau Tambun sebagai bukti sejarah akan tetapi sejarah tidak boleh di putar belitkan dengan begitu mudah.

Pemerintah Pahang di Zaman Majapahit (1365)

Menurut Syair Negara Kertagarma yang disusun pada tahun 1365, Syair ini menceritakan keagungan dan kebesaran pemerintahan Kerajaan Majapahit di Tanah Jawa. Pemerintahan Majapahit merangkumi wilayah yang luas meliputi Tanah Jawa , Sumatera dan Tanah Melayu. Negeri-negeri di Tanah Melayu yang di tawan oleh Majapahit termasuk Pahang,Kelantan dan Terangganu.
Menurut D Ederia,seorang padri bangsa Portugis, Islam telah di amalkan secara meluas di Pahang pada ketika ini.
  Menurut beliau, Islam bertapak di Pahang hampir seratus tahun lebih awal dari Melaka. Bagi kita hal ini tidak menghairankan kerana Islam telah bertapak di Terangganu lebih awal dari itu sekitar 1303 Masehi,ini kerana Batu Bersurat Terangganu bertarikh sekitar tahun yang disebutkan tadi. 
Terangganu dan Pahang merupakan dua buah negeri yang sangat berkait rapat dalam semua aktiviti ekonomi atau budaya. Bagi pelombong emas dan bijih timah mereka datang ke Terangganu melalui Pahang,atau bagi pedagang dari Cina,Siam dan Kampuchea mereka datang melalui Kelantan dan Terangganu menerusi Pahang untuk ke pantai barat.



1.Pemerintahan Maharaja Tajau (1378)

Dinyatakan oleh sejarah Cina, raja yang memerintah Pahang pada tahun 1378 digelar Maharaja Tajau. Penulis percaya bahawa Maharaja Tajau ini merupakan raja dari kalangan Orang Asli tempatan,ini kerana tidak ada bukti menunjjukan bahawa raja ini berasal dari kawasan sekitar yang lain. Tidak ada sebarag catitan yang mengatakan bahawa ini berasal dari selatan atau timur wilayah negeri-negeri Melayu. Kemungkinan besar raja ini menguasai Pahang ketika kemerosotan kerajaan Majapahit.
 Maharaja Tajau mengakui kebesaran kerajaan Cina dan menghantar ufti ke sana. Di percayai saudagar Islam mempunyai tempat mereka yang tersendiri di dalam pemerintahan Maharaja Tajau, mereka tidak diganggu di dalam urusan agama mereka selama meraka tidak mencampuri urusan pemerintahan kerajaan.

2.Pemerintahan Maharaja Tasik Cini (1411-1416)

Selepas pemerintahan Raja Tajau, Ahli Sejarah Cina menyebutkan pemerintah Pahang ketika itu ialah Parameswara Tasik Cini. Ibu kota pemerintahan ini dipercayai di sekitar Tasik Cini di kawasan Daerah Pekan. Raja Cina telah mengutus Laksamana Cheng Ho untuk melawat negara tersebut. Maka utusan dari Parameswara Tasik Cini telah datang sebanyak dua kali ke Cina iaitu pada tahun 1412 dan 1414.

Penulis percaya Permaisuri Tasik Cini ada kaitan dengan Maharaja Tajau dan merupakan dari keturunan Orang Asli tempatan ,akan tetapi di masa ini serangan phak Siam ke atas Pahang begitu kuat untuk menguasai kawasan perlombongan emas dan bijih timah.
 Sebahagian besar kawasan paya sepanjang sungai Pahang mengandungi pasir dan batu batan kasar, ini menunjjukan bahawa kawasan paya ini semasa dulu merupakan lombong bijih bukan kawasan penanman padi pada awalnya. Ahli Sejarah Cina menceritakan bahawa istana Maharaja Tasik Cini di perbuat dari emas. Keadaan ini sudah tentu menarik minat para penguasa dari luar untuk menguasai kekayaan yang luar biasa ini.

Dalam pada itu perkembangan Islam di Pahang di percayai semakin meluas pada masa ini di sekitar kawasan pantai laut dan pendalaman pinggir pantai di Negeri Pahang. Di percayai saudagar Arab yang menguasai aliran perdagangan di Asia juga menguasai sebahagian perdagangan di Pahang ketika itu, terutama bahan-bahan perdagangan seperti Kayu Gaharu, Gading Gajah,Kemiyan dan hasil hutan.

Pemerintah Pahang di Zaman Taalukan Siam (1436- 1454)

3.Maharaja Dewa Sura

Siam menguasai Pahang ketika Melaka sedang kembang mekar. Di bawah pemerintah raja-raja Melaka yang bijaksana. Penguasaan Siam ke atas Pahang semakin sukar. Pemerintah Siam datang ke Pahang untuk menguasai perdagangan bijih timah dan emas. Mereka memasuki Pahang dari kawasan Ulu Terangganu.
 Penguasaan Orang Siam ke atas Pahang di akui oleh beberapa sarjana dan Ahli Sejarah kerana banyak nama-nama temapt di Pahang menpunyai kaitan dengan Siam seperti Jeram Siam, Parit Siam dan di percayai nama Sungai Tembeling di beri nama oleh orang Siam dari perkataan “Tan- ma – ling” .
Di antara wakil Siam yang disebut di dalam Kitab Sejarah Melayu, ialah Maharaja Dewa Sura(1454):

“Syahdan…maka diceriterakan oleh yang punya ceritera. Adala di dalam Pahang itu sebuah negera Pura namanya….airnya sungguh tohor dengan pasirnya terlalu baik,air sungai itu tawar datang ke laut dan ada emas urai di sana. Adapun dahulu kala Negeri Pahang itu taaluk kepada Siam, Maharaja Dewa Sura nama rajanya,Keluarga juga pada Paduka Bubun”

Perkataan “ Air sungai itu tawar datang ke laut” menunjukkan kawasan yang di sebutkan itu adalah Kuala Sungai Pahang Tua berhampiran Kuala Selangor, sebab tidak ada air di kuala sungai tawar sebagaimana sungai di Pahang Tua. yang airnya tawar sehingga masuk ke dalam laut,kawasan kuala nya sempit dan tohor, keika air pasang barulah kapal kecil boleh masuk ke dalam kuala.

Ketika berlaku peperangan kali kedua di antara Melaka dan Siam,pihak Siam telah kalah dan berundur ke Pahang,melihat situasi ini Tun Perak tidak melepaskan peluang untuk mengekori tentera Siam lalu menyerang Pahang, Kitab Sejarah Melayu menceritakan :

“ Telah beberapa hari berjalan sampailah ke Pahang, maka orang Melaka pun berperanglah dengan orang Pahang……Maka dengan kuasa Allah Taala yang amat kuat maka dengan mudahnya juga Pahang alah kepada Melaka”

Perkataan “ maka dengan mudahnya” memberi pelbagai pertanyaan kepada kita keadaan di Pahang ketika itu Oleh kerana kedudukan wakil Siam di Negeri Pahang tidak begitu kuat kerana di percayai sudah ramai penduduk Pahang memelok Islam,maka pasukan kecil dari Melaka begitu mudah mengalahkan Siam di Pahang. Mereka berjaya menguasai Pahang dan meletakkan wakil raja di negeri ini.

Pemerintah Pahang di Zaman Taalukan Melaka

Setelah Melaka dapat menawan, maka Sultan Mansor Shah telah melantik wakil raja di Pahang sebab pada masa itu belum ada raja muda yang layak menjadi raja sebagai wakil sultan,sehingga berlaku peristiwa pembunuhan Tuan Besar anak Tuk Perak :

“ Maka Seri Bija Diraja dititahkan oleh Sultan tinggal di Pahang,dianugerhi dengan nobat dan payung iram-iram serta diapit oleh jasanya merangka Maharaja Dewa Sura…..setahun sekali ia menghadap ke Melaka”

Keadaan ini berjalan selama beberapa tahun sehingga berlaku peristiwa pembunuhan anak Tun Perak oleh Raja Muhammad:

“ Sekali peristiwa Raja Muhammad pergi bermain kuda di kampong Bendahara Paduka Raja. Adapun pada masa itu Tun Besar anak Bendahara sedang bermain sepak raga di lebuh bersama orang muda-muda…..
Maka Raja Muhammad pun lalu…Maka raga itu jatuh menimpa destar Raja Muhammad,jatuh ke tanah. Maka kata Raja Muhammad: “Cis jatuh dastar kita oleh Tuan Besar…..Maka berlari-lari orang membawa puan….maka ditikamnya Tun Besar kena belikat terus ke hulu hati.Maka Tun Besar pun matilah….
Setelah di dengar oleh Sultan Mansur Shah baginda memanggil Raja Muhammad,maka titah baginda”Celaka Si Muhammad….apa tah daya ku engkau ditolak bumi Melaka…………
Maka Seri Bija Diraja pun datanglah,maka Raja Muhammad diserahkan baginda pada Seri Bija Diraja disuruhkan dirajakan di Pahang.

Sejak itu Negeri Pahang mempunyai raja yang berdaulat dan mempunyai peraturan seperti lain-lain negeri yang ada raja.

4. Raja Muhammad bin Sultan Mansur Shah (1470-1475)

Sebelum Raja Muhammad memerintah Pahang, Negeri Pahang di perintah oleh wakil raja Melaka yang bernama Dato Seri Bija Diraja. Kedudukan beliau ketika itu di Pahang seperti raja. Raja Muhammad sepatutnya mengantikan ayahndanya Sultan Mansur Shah sebagai Sultan di Melaka, akan tetapi apabila berlaku peristiwa sepaktakraw yang mengenai kepala baginda,langsung di bunuhnya anak bendahara kerana peristiwa itu,maka baginda dihantar menjadi raja di Pahang.
 Beliau dilantik menjadi raja Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Wilayah kekuasaan baginda dari Sedili hingga ke Terangganu. Baginda bersemayang di Tanjong Langgar Pahang Tua, Pekan, terdapat banyak makan raja Melaka di Pahang Tua.

Dengan tertaaluknya Pahang ke bawah kekuasaan Melaka,maka dengan resminya Pahang sudah menjadi sebuah negara Islam ketika itu. Maka rakyat jelata yang sudah ramai memelok Islam menyambut baik kedatangan raja Melaka yang membebaskan mereka dari cengkaman Siam yang beragama Budhha. Kedatangan orang Melaka bukan sahaja mengubah corak pemerintahan dan politik,akan tetapi membawa bersama mereka Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Laut Melaka yang berasaskan perundangan Islam dan bermazhab Syafiee.

5. Raja Ahmad bin Sultan Mansur Shah (1475- 1794)

Kematian Sultan Muhammad Shah digantikan oleh adiknya Raja Ahmad, pada masa pemerintahan Raja Ahmad kemajuan Islam di Pahang menjadi semakin maju dan berjaya. Kalau kita merujuk kepada kisah Tun Teja yang dirampas oleh Sultan Melaka,maka kita dapati pada akhir kisah ini Raja Ahmad merajuk di atas perbuatan tidak bermoral Raja Melaka terhadap baginda.
Dengan itu baginda meletakkan jawatannya sebagai raja dan digantikan oleh anaknya Raja Jamil.
Raja Ahmad mengambil tindakan meninggalkan istana dan tahta kerajaan lalu mudik ke hulu Sungai Pahang sehingga tidak lagi kedengaran ketukan gendang nafiri,alat muzik kebesaran diraja.
 Baginda sampai ke Lubuk Pelang,maka baginda memilih cara hidup yang zuhud dan beribadat kepada Allah.Dinyatakan di dalam kitab-kitab lama baginda “bersyeikh “ diri yakni bersuluk.Bersyeikh maksudnya “masuk syeikh” itu meletakkan diri dibawah bimbingan seorang guru. 
Pada masa itu di yakini Lubuk Pelang merupakan sebuah tempat pengajian yang agak terkenal di Pantai Timur. Baginda tinggal di sana sehingga baginda meninggal dunia. Makam baginda sehingga kini ada di sana bersama dengan dua lagi makam Sultan Mansur iaitu anaknya dan makam Puteri Berdarah Putih. 
Makam itu bukan makam Sultan Jamil kerana makam Sultan Abdul Jamil ada di Pekan. Penulis Abdul Halim Nasir di dalam catitannya dalam Utusan Melayu (16.4.1997) menyatakan bahawa makam ini sah kepunyaan Sultan Ahmad kerana batu nesan ini sama dengan batu nesan kepunyaan isterinya di Pekan yang terdiri dari Batu Nesan Acheh bertarikh 1497.

Pada masa itu Lubuk Pelang merupakan pusat pendidikan Islam bercorak tasawuff. Makam Raja Ahmad digelar “Marhum Sheikh” yakni baginda merupakan seorang ahli tasawuff yang mengikut tarekat yang tertentu. Kitab Sejarah Melayu menceritakan:

“ ….dan Sultan berdiam ke hulu (Sungai Pahang)…selagi kedengaran bunyi nobat maka baginda mudik jua ke hulu hinggga ke Lubuk Pelang (dekat Kuala Krau,Temerloh Pahang) namanya. Di sanalah baginda diam,tiada kedengaran bunyi nobat lagi…maka sultan bersyeikh dirinya….itulah disebut orang Marhum Syeikh”.

Kedudukan Lubuk Pelang sebagai pusat pengajian di iktiraf oleh Kerajaan Acheh di Sumatera,sehingga pada tahun 1640 di hantar seorang pelajar yang bernama Hamzah Fansuri ke sana untuk mendalam Ilmu Hakikat dan Ilmu Tasauwuff.Perjalanan Hamzah ke Pahang ini merupakan perjalanan awal beliau ke luar negara sehingga beliau sampai ke Mekah, Syaria,Irak dan Palestine. 
Hamzah ke Pahang atas arahan Puteri Kamaliah iaitu seorang anak raja Pahang yang dijadikan isteri oleh Sultan Iskandar Mahkota Alam di Acheh.Puteri Kamaliah berminat di dalam bidang tasawuff dan berminat mengkaji ilmu berkaitan dengan
Penulis berpendapat pondok pengajian di Lubuk Pelang masih kekal sejak dari tahun 1490 hingga ke tahun 1640 sebagai pusat pengajian bercorak tasawuff dan memgajar ilmu-ilmu tarekat dan ilmu-ilmu hakikat. Ia bukan sebuah pondok yang mengajar ilmu syariat semata-mata.


6. Raja Jamil (1794 – 1512)

Pada masa pemerintahan Raja Jamil, angkatan Siam di bawah Raja Ligor datang semula untuk menaluki Pahang. Di sini kita dapat lihat semangat jihad orang-orang Pahang dan Melaka dalam mempertahankan agama mereka, kalau selama ini mereka bersengketa namun apabila keadaan terdesak,umat Islam berdepan dengan musuh mereka yang satu maka pasukan Pahang dan Melaka bekerjsama,bertolong bantu melawan musuh Allah. Akhirnya pasukan Siam gagal menaaluki Pahang dan mereka sempat membina Kota Seri Biram yang didirikan oleh Orang-orang Melaka selama tiga hari tiga malam sebelum kedatangan tentera Siam.


7. Sultan Mahmud (1522- 1530)

Baginda merupakan seorang sultan yang sangat berjasa kerana dapat mempertahankan Negeri Pahang dari menjadi jajahan Portugis. Portugis telah beberapa kali datang menyerang Pahang, pada tahun 1523,1525,1528 untuk menguasai dan menkristiankan negeri ini . Dengan kekuatan dan kepintaran Sultan Mahmud Pahang, semua serangan itu dapat dipatahkan oleh Baginda.

8. Sultan Muzaffar (1530)
9. Sultan Zainal Abidin (1540)
10. Sultan Mansur 2 (1555)

Pada masa pemerintahan baginda,hubungan Pahang,Perak dan Acheh begitu baik,anaknda baginda menjadi permaisuri di Perak bernama Puteri Putih. Baginda merupakan seorang raja yang mencintai Islam,menyertai misi-misi dakwah. Dan akhirnya baginda mati ketika berperang menentang angkatan perang dari kumpulan Jawa Kafir pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani(1960),maka Sultan Mansur 2 di gelar “Marhum Syahid”.

Kisah kekuatan amalan Islam di kalangan raja Pahang jelas digambarkan oleh Kitab Sejarah Melayu ketika menceritakan kisah Raja Ahmad yang dipelihara oleh Sultan Mansur:

“Hatta maka seberapa lama maka Raja Ahmad pun besarlah,bolehlah baginda di cucikan. Maka Sultan Pahang pun berlengkap akan mengejakan anaknda Baginda Raja Puspa Dewi dan Raja Kesuma Dewi untuk bertindik….maka anaknda baginda kedua pun ditindik oranglah dan Raja Ahmad pun bersunatlah….

Setelah selesai daripada itu maka Raja Ahmad diserahkan baginda mengaji ,Hatta maka baginda pun tahu mengaji….dan sangat tertib kelakuanya dan halus manis perkataanya,lagi sangat tahu mengambil hati segala menteri dan hulubalang dalam Pahang itu. Akan Bendahara jangan di kata lagi sangat baginda merendahkan diri dan menteri yang tua-tua,barang tegur ajar tidak dilalui baginda….Sultan Pahang amat kasih memandang budi bahasa dan perketi halus manis itu”.

Disebutkan juga peranan kadi di dalam upacara keagamaan,sebegaimana berikut:

“Setelah datang ke balai rong seri, Sultan Pahang sendirilah menyambut tangan ananknda baginda Sultan Ahmad, di dudukkan di atas ciau antelas badar sila…maka tampilah KADI menikahkan.”

11. Sultan Abdul Jamal (1560)
12. Sultan Abdul Kadir (1567)
13. Sultan Abdul Gahfur Mohaidin Shah (1590-1614)

Sultan Abdul Ghafur merupakan seorang sultan yang berjiwa agama, Baginda memilih untuk mengawini puteri Raja Patani dalam tahun 1584. Baginda adalah raja pertama yang mengasaskan Hukum Kanun Pahang. Hukum kanun ini menyerupai Hukum Kanun Melaka dalam bentuk versi Pahang.
 Hukum Kanun ini diguna pakai di Perak dan Berunai pada ketika itu. Baginda cuba untuk melaksanakan system perundangan Islam di Pahang, tetapi malang usaha ini mendapat tentangan dari keluarga baginda sendiri.
Naskah Hukum Kanun Pahang masih kekal wujud sehingga ke hari ini dengan di buat kajian oleh beberapa professor dari universiti dalam dan luar negara.
Menurut riwayat orang tua-tua,usaha baginda ini mendapat sokong dari ulamak-ulamak di seluruh Nusantara,maka ramailah para ulamak datang ke Pahang ketika itu seperti; Imam Makasar yang membuka Kampong Makassar di Pekan datang dari Selewasi, Imam Suji Bilang yang datang dari Minangkabau, Imam Besar yang datang dari Jawa.

Baginda seorang yang baik hati,baginda memberi layanan yang baik kepada semua rakyat jelata termasuk kepada utusan dari Portugis dan Belanda yang datang ke Pahang sekitar tahun 1607 dan 1608.

Pada tahun 1614 terjadi pemberontakan di Pahang,maka Sultan Abdul Ghafur mangkat, beberapa tahun kemudian Sultan Iskandar Muda dari Acheh datang menaaluki Pahang untuk mengelakkan Pahang jatuh ke tangan Portugis. Sultan Iskandar Muda telah membawa pulang Raja Pahang ketika itu yang bernama Raja Ahmad bersama 10,000 rakayt Negeri Pahang ke Acheh.

Pemerintah Pahang di Zaman Taalukan Acheh
14.Raja Abdullah (1617)

Pada masa Negeri Pahang di bawah taalukan Acheh, keadaan politik dan pemerintahan Pahang sangat tidak tenteram. Kesan dari pertelingkahan Portugis dan Belanda, serangan dari Acheh dan perebutan kuasa di antara waris-waris Kesultanan Melaka yang sudah tewas kepada Portugis.

Namun begitu di bahagian pendalam Pahang keadaan adalah berbeza, suasana kucar kacir di kawasan pantai sebaliknya memberi peluang yang besar kepada semua saudagar yang terdiri dari pelbagai bangsa untuk mengaut hasil mahsul Negeri Pahang.
 Lombong emas dan permata di terokai,hasil hutan di bawa keluar tanpa halangan dari pemerintah,kawasan baru dan penempatan baru dibuka seluas-luasnya.
Menurut Ahli Sejarah, sejak awal tahun 1600 kemasukan orang Bugis dan Minangkabau bermula dengan hebatnya ke Pahang, golongan ini membuka penempatan dan kampong baru, mereka juga berjaya memujuk Orang Asli supaya memelok Islam. 
Mereka membuka Bandar baru seperti Temerloh,Mengkarak,Mempatih ,Raub,Jerantut dan Pulau Tawar. Mereka memasuki Pahang melalui Ulu Muar, Serting dan turun ke Sungai Bera lalu memasuki Sungai Pahang.
 Dari sana mereka membuka Bandar Cenor, Kemudian membuka Bandar Mengkarak,Bandar Temerloh. Laluan perjalanan suadara yang terdiri dari pelbagai bangsa Melayu termasuk juga sebilangan kecil saudagar Cina,India,Holand dan Portugis serta Arab.

Hasil barangan yang diperolehi dari Pahang dijual kepada saudagar Portugis di Melaka, Golongan Minangkabau lebih berpihak kepada Portugis dari pada Belanda.Mereka ini mengadakan perkahwinan campur sesama mereka;sebagaimana kata Tuk Shahibudin dalam syairnya:

Seorang pun tidak ada yang tinggal
Keling dan Cina,Bugis dan Benggal
Sehingga bercicit nutfahnya tanggal
Datuk Perkasa ( فـقـسا )itulah asal


15.Raja Muda Bajau (1673)
16.Raja-raja Terakhir Kesultanan Melaka (1677-1699)

Dalam masa pemerintahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Pahang tertaaluk di bawah kekuasaan Johore membentuk tiga ikatan negara yang falsafahnya : “beraja ke Riau,bertemenggung ke Johore dan berbendahara ke Pahang” . Oleh kerana Pahang terletak diluar dan jauh dari pemerintahan pusat maka suasana Negeri Pahang agak terbiar dan tidak dipedulikan namun ia aman dan tenteram, Kita dapati juga susunan kekuasan dan hairaki pentabdiran sudah wujud dengan baik.

Sejak dari zaman Sultan Abdul Ghafur telah wujud jawatan Orang Besar Berempat, juga telah wujud jawatan mufti dan kadi. Terdapat pada masa itu seperti jawatan mufti yang disandang oleh Imam Dzul Bayan di Mengkarak,beliau di gantikan oleh anaknya Imam Nur Qadim.

Di Kampung Bangau wujud jawatan kadi yang disandang oleh Kadi Ismail dari keturunan Daeng Lima Saudara. Dipercayai sudah wujud jawatan mufti lebih awal dari Imam Dzul Bayan,ini kerana di zaman Sultan Abdul Ghafur,Hukum Kanun Pahang telah dijalankan dengan baik.
Pada masa ini telah terjadi kemasukan Orang Minangkabau secara besar-besaran ke Pahang samada melalui Negeri Sembilan atau dari Riau. 
Orang Minangkabau merupakan pedangang yang rajin dan berani. Mereka membuka kampong dan pemenpatan baru di Pahang. Mereka juga menguasai politik seperti di Kuala Lipis, di Temerloh dan Cenor.(lihat W.Linehan dlm History of Pahang)

“Froum about 1550 Minngkabau settler had been pouring into Pahang through Ulu Muar, and had partly opened up the interior,mined gold in the Jelai,dealt in jungle produce,elephant ivory and the like…..”

Mereka membuka Bandar-bandar baru dan kawasan perlombongan baru,Menurut Dagh Register Record dalam tahun 1644:” The Minangkabau very bravely removed their property from Pahang”.

Kemasukan Orang Minangkabau bukan sahaja mencari harta tetapi juga berdakwah kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pendalaman seperti Tuk Suji Bilang yang sanggup berkahwin dengan Tok Bakul anak kepada Tuk Batin Saridun. Mereka berkahwin dengan Orang Asli, mengislamkan mereka, membuka pondok pengajian,membina masyarakat dan mengwujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan cara menacari makan secara baru.
 Begitu juga dengan Tuk Besar dan Tuk Ali Mambang yang sengaja datang ke Pahang dengan tujuan untuk berdakwah. Hasilnya kawasan-kawasan pendalam Pahang secara meluas telah memelok Islam dan beramal dengan Islam. Mereka membuka pondok-pondok pengajian agama Islam dan mengajarkan kepada masyarakat nilai Islam yang baik. 
Maka pada zaman Tuk Shahibudin sekitar tahun 1720, di Negeri Pahang terdapat berpuluh-puluh pondok besar dan kecil seperti Pondok Mengkarak,Pondok Kg Baduk, Pondok Kampung Berhala Gantang,Pondok Kampung Bangau, Pondok Kampung Sentang, Pondok Kampung Kuala Bera dan lain-lain.

Pemerintah Pahang di Zaman Kekuasaan Bendahara
17.Bendahara Tun Habib Abdul Majid

Pahang menerima kemasukan Orang-orang Bugis khususnya terdiri dari pengikut Raja Bugis Lima Bersaudara. Ini mengukuhkan lagi kedudukan Islam di kalangan masyarakat kerana anak bugis lima bersaudara ini sangat kuat semangat keislaman mereka dan anti kristian Portugis dan Belanda. 
Anak Raja Bugis Lima bersaudara datang ke Pahang atas undangan Raja Sulaiman bagi mengalahkan pengaruh Raja Kecil yang berketurunan Minangkabau. Raja Kecil menuntut takhta Kerajaan Pahang kerana menurut beliau,ia adalah waris dari Sultan Mahmud Mangkat di Julang yang mati tidak meninggalkan pewaris takhta kerana pada masa itu berlaku perebutan kuasa dan beliau masih kecil. Keadaan huru hara kerana Sultan Mahmud telah menghukum mati isteri Megat Serirama yang mengandung dan memakan nangka kepunyaan Sultan.

Raja Bugis Lima Bersaudara berjaya menghalau Raja Kecil yang mendapat sokongan Raja Jambi dan masyarakat Minangkabau yang ramai terdapat di Pahang ketika itu. Antara legasi peninggalan Orang Bugis ialah Pondok Pengajian Tuan Kadi Ismail di Bangau Tanjung.
 Pusat pengajian ini membawa kembali fahaman Widatul Suhud dan menentang Fahaman Wihdatul Wujud yang ada pada masa itu. 
Mereka kembali menegakkan Fahaman Ahli Sunnah wal Jemaah dan menghapuskan semua saki baki pengikut Salek Buta dan yang seangkatan dengan nya yang banyak terdapat di kalangan orang-orang Rawa. Di antara Tokoh yang amati dikagumi ialah Raja Ali Haji yang terkorban di dalam pertempuran dengan Belanda sebagai seorang syuhada!!!

18.Bendahara Tun Abbas
19.Bendahara Abdul Majid(1770-1802)
20.Bendahara Tun Muhammad (1802)
21.Bendahara Tun Koris(1802 - 1806)
22.Bendahara Tun Ali (1806-1857)

Sejak dari zaman Bendahara Tun Abdul Majid sehingga ke zaman Bendahara Tun Ali , suasana politik Negeri Pahang begitu aman dan tenteram. Pada masa ini kegiatan agama begitu berkembang dan berjalan dengan baik diseluruh negeri. Menurut Syair Ghafilah hampir setiap daerah dan mukim terdapat seorang guru agama yang mashyur dan alim ketika itu seperti di Sanggang, Cenor,Bera,Pekan,Temerloh,Mengkarak,Kuala Lipis.
Menurut pengkaji barat dari tahun 1770 hingga ke 1850 merupakan zaman kemewahan di negeri Pahang dengan hasil yang banyak dan murah. 
Rakyat dapat menikmati kehidupan dan menjalankan kegiatan keagamaan dengan begitu baik dan tersusun. Ini kerana tidak berlaku serangan musuh dari luar dan keadaan politik di dalam negeri pun aman kerana tiada berlaku perebutan kuasa.
23.Bendahara Tun Mutahir (1857 -1863)

Pemerintahan Kesultanan Pahang
24.Sultan Ahmad Shah 1
25.Sultan Mahmud Ibni al Marhaum Sultan Ahmad Shah 1
Baginda memerintah Pahang dalam masa yang singkat,tetapi Baginda mempunyai polisi yang baik dalam urusan agama. Baginda telah memberi kuasa yang sangat besar kepada kadi dan mufti untuk menjalankan pentabdiran ke atas orang Islam. 
Mufti dan Kadi merupakan wakil sultan yang diberi kuasa penuh menghukum pesalah-pesalah sehingga rakyat jelata sangat hormat kepada golongan ini. Baginda juga telah mengadakan Kelas Al Quraan dan mengalakkan para ulamak menulis kitab-kitab agama sebagaimana yang dilakukan oleh Kadi Ibrahim.
26.Sultan Abdullah ibni al Marhum Sultan Ahmad Shah 1
27.Sultan Abu Bakar Ibni al Marhum Sultan Abdullah
Baginda merupakan sultan yang memerintah Negeri Pahang dalam masa yang agak lama, Pelbagai usaha di lakukan Baginda untuk memajukan Islam di negeri ini. Baginda memulakan usaha dengan menyusun pentadbiran agama. Majlis Agama Islam diwujudkan dan kutipan wang zakat diselaraskan. Hasil kutipan zakat diagihkan bagi memajukan syair Islam. Jawatan mufti telah diberikan kepada orang yang berbangsa Arab,malah baginda sanggup mengambil orang luar sebagai mufti di atas kelayakan yang dimiliki oleh orang tersebut.
Baginda juga cuba memajukan pendidikan Islam di Pahang dengan mendirikan sebuah sekolah tinggi agama yang diberi nama “Kulliah Sultan Abu Bakar” dengan tujuan supaya pelajar yang miskin dan kekurangan tidak perlu lagi keluar negara untuk melanjutkan pelajaran.Disamping itu untuk pelajar wanita di dirikan pula “Kulliah Tuanku Ampuan Fatimah”, Sekolah-sekolah peringkat daerah di selia dan diberi peruntukan yang sewajarnya. Setahun sekali baginda akan mengadakan lawatan ke seluruh negeri dari sebuah mukim ke sebuah mukim,tidak ketinggalan baginda melawat semua sekolah-sekolah agama dalam mukim tersebut. Dijumpai juga sebuah kitab tafsir al Quran yang di cetak di atas pembiayaan Baginda, kitab tafir ini dicetak di Sumatera.
Menurut Saudara Ariffin Said seorang Ahli Budyawan Pahang:” Keupayaan mempertahankan akidah umat Islam dari dipengaruhi unsur-unsur Kristian,merupakan satu sumbangan yang sangat besar yang dapat di lakukan oleh raja-raja dan para ulamak di zaman dahulu yang tidak kita sedari”.

1 comment:

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Islam telah datang dari Hadramaut,Semenanjung Arab sejak 1208,Masehi berdasar batu nisan wali diKg Pematang Pasir Pekan, lihat kajian saya, Hikayat Seri Rama Naskhah Tertua DiNusantara Yang DiKarang Oleh Orang Lipis ,diterbitkan tahun 2011