Misteri Kisah Baitulmaqdis dan Haikal Sulaiman
Misteri Kisah Baitulmaqdis dan Haikal Sulaiman | Baitulmaqdis
merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan
diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah
dan Madinah.
Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih
dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk
didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama
sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia
dan masih dihuni sehingga sekarang.
Kota ini merupakan tempat
pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian
bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama
yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang
tinggi lagi kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount
Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno
iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan,
dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh
kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu
menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah
Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira
akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat
pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun
586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira
selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya
diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar
Roman.
Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini
dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang
diberikan semasa penjajahan orang Roman.
Kawasan ‘Mount Temple’ pada
asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19
sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah
membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan
permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah
Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram
al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat
tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah
dinamakan Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era
Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan
sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis.
Sekarang ini Baitulmaqdis
yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang
dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang
telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana
beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di
tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’,
merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang
menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah
satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang
mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.Wtelah dinaikkan ke langit untuk
menghadap Allah S.W.T.
Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat
Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas
bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid
al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram
al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid
al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik
semasa era Bani Umayyah.
Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu
indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk
menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang
menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara
monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak
batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Ironinya
batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan
bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas
untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang
bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah
Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang
menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan
oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang
dikepungi oleh tembok.
Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan
kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan
kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan
kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan membina
Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang
terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram
al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab
Injil.
Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara
Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat
krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di
bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci bagi
penganut Yahudi.
Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang
lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang
masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu
dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka
lakukan.
Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan
meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah
berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang
tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang
mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang
dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan
Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan.
Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah
berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih
tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban
dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang
tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada
tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh
penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di
dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang
mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis
sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh
dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman
penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang
Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200
tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul
iaituSalahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi.
Diriwayatkan bahawa
ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi
sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda
oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai
gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah
Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British
sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israelpada
tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk
menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat
sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga
kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin.
Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa
tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat
kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara
Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah
kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif
merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama
Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama
adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua
bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan
orang Islam.
Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya
merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu
bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga
merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka
sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika
dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain.
Ketika Jordan menguasai kota
lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western
Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi
ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut
menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka
dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang.
Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel
menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk
apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah
ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai
dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan
dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis.
Antaranya menjadikan
kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan
penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha
memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan
masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan
Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang
menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi
ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini
menempatkan kedutaan-kedutaan asing.
Pejabat Presiden dan Perdana
Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen,
Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan
ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar
oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling
diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh
provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke
kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma
akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada
tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total
namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam
sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga
Masjid al-Aqsa.
Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan
di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki
kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu
masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum
memasuki kompleks untuk beribadat.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan
terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah
memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya
memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan
provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan
lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa
Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu
digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal
terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti
carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan
pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya
masjid-masjid di atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah
tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu
di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan
kerja-kerja arkeologi itu.
Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk
merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka
pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan
perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman
itu akan dibangunkan?
No comments:
Post a Comment