Saturday, 18 August 2012























        Sejak di sekolah rendah kita diajar tentang kekalahan empayar Melayu Melaka ke tangan bangsa Portugis pada tahun 1511. 

Tidakkah anda tertanya-tanya mengapa begitu mudah empayar sebesar dan segagah itu telah tumbang, seolah-olah tiada langsung perlawanan. 

Buku-buku rujukan sekolah hanya memberitahu bahawa sebab utama kekalahan kita ialah persenjataan yang tidak seimbang.

 Kononnya bangsa kita hanya berjuang dengan keris, pedang dan lembing sahaja. Tambahan lagi kononnya Melaka tiada senjata mariam dan senjata api jika adapun ianya tidak setanding dengan Portugis. 

Betapa bebalnya orang melayu yang yang tidak mengenal mariam dan senjata api. Ini antara tektik penjajah mahu meracuni bangsa Melayu, kononnya lemah, tidak berpengetahuan dan bodoh.



Masakan tidak! sebuah empayar yang besar dan sangat terkenal bukan sahaja di Asia malahan seluruh dunia tidak mengenali senjata api? 

Sedangkan bangsa pertama yang diketahui mencipta bahan bakar senjata api ialah bangsa Cina dan bangsa Cina telah menjalankan kegiatan perdagangan dengan Kawasan Nusantara sejak awal kewujudan tamadun mereka lagi. 

Manakala bangsa Arab yang terkenal membangunkan senjata api yang diambil teknologinya dari China itu juga diketahui umum sudah menjalankan dan perdagangan dengan Kerajaan-kerajaan Nusantara sejak sebelum Kelahiran nabi Muhammad lagi. 

Mana mungkin kerajaan yang di kagumi oleh orang-orang Eropah yang mengatakan bahawa Melaka lebih kaya daripada Venice tidak mempunyai maklumat atau pengetahuan langsung mengenai senjata api. itu tidak masuk akal!!!

Sebenarnya persoalan ini sudah lama bermain di minda saya, seingat saya ialah sejak saya sekolah rendah lagi. Jika anda masih ingat di sekolah rendah kita diajar oleh guru bahawa Melaka kalah hanya kepada 1300 orang tentera Portugis sedangkan Melaka mempunyai lebih daripada 20 000 tentera termasuk tentera upahan dari seluruh pelusuk Asia.






 Sewaktu di sekolah menegah pula saya pernah bertanya kepada salah seorang guru sejarah, bagaimana Melaka boleh kalah, dan jawapanya ialah keranan orang Melayu zaman itu tidak ada pengetahuan dan tiada senjata api maka dengan mudah Portugis mengalahkan kita...bagi saya jawapan itu amat jahil bagi seorang guru!

 Maaf jika saya kurang hajar disini tetapi sememangnya kebanyakan guru sejarah di Malaysia ini sebenarnya agak buta sejarah rupanya. Mungkin mereka hanya mengajar sejarah kerana terpaksa dan tidak kisah samaada fakta sejarah itu benar atau salah, bak kata pepatah bagai melepaskan batuk di tangga.

Seorang lagi guru sewaktu saya berada dalam tingkatan enam pernah mengatakan bahawa betapa bodoh dan jakunnya orang Melayu pada zaman Melaka, kerana sewaktu Portugis menyerang dengan meriam mereka, orang Melayu Melaka amat terperanjat dan menganggap orang Portugis menggunakan sihir. Menurut beliau lagi, beliau membaca kisah tersebut di dalam hikayat Hang Tuah. 

 Bagi saya, Hikayat Hang Tuah bukanlah sebuah karya sejarah yang mutlak kerana ia adalah karya historical -fictif. Kebanyakan daripada isi kandungan Hikayat tersebuat adalah mitos dan lebih kepada sebuah karya satera dan bukan karya sejarah. 

Malahan sebenarnya ilmu masyarakat Melaka mengenai senjata api adalah setanding dengan orang barat. hal ini dapat dibuktikan dengan catatan Portugis sewaktu berlakunya perang melaka. 

Menurut catatan ini selepas Melaka berjaya ditawan, tentera Portugis telah berjaya merampas lebih kurang 3000 pucuk senjata api yang berupa meriam, lantakas, istinggar dan bermacam-macam lagi. 

Alfonso de Albuquerque juga dikatakan telah merampas sebuah meriam yang sangat besar serta mengagumkan dan meriam ini telah diberikan sebagai hadiah kepada raja kerajaan india yang telah membantu Portugis dalam serangan ke atas Melaka.

Persoalan yang timbul dan perlu dikaji amat banyak. adakah cara berperang masyarakat Melayu zaman itu betul-betul barbarian? kalau cara barbarian, bagaimana dapat mewujudkan empayar yang sekuat itu sehingga diakui oleh negara China dan dapat mengalahkan serangan Siam (Thai). 

Ingin saya beritahu disini bahawa Pada zaman Dinasti Ming China, Maharaja China telah menerima kedatangan sultan Melaka iaitu sultan Muzaffar Syah dan melayan baginda dan seluruh ahli rombongan mereka demgan layanan yang amat grand

Selain itu catatan China juga ada menyatakan bahawa Maharaja China menghadiahkan cop mohor,Jubah Kuning Maharaja dan Payung Obor-obor sebagai tanda menerima kedaulatan Melaka dan Sultannya. Sultan Melaka juga dihantar pulang dengan hadiah yang berupa sutera, emas perak dan sebagainya.

Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Melayu Melaka pada waktu itu adalah sebuah kerajaan yang amat penting, kaya dan bertamadun. Jika tidak masakan kerajaan China sanggup melayan sebuah kerajaan dan bangsa yang dikatakan barat sebagai tidak bertamadun dan barbarian. 

Seperti yang kita tahu, Maharaja China mempunyai pandangan yang amat berbeza dan rigid dalam membezakan diantara sebuah bangsa bertamadun dan bangsa barbarian, malahan orang eropah pada zaman dinasti Qing dinggap sebagai bangsa yang tidak bertamadun malahan Kerajaan China tidak membenarkan sebarang hubungan dengan mereka. 

Selain itu Melaka juga adalah tanah naungan kerajaan Turki Uthmaniah diakui sebagai penguasa sebelah timur, juga bertindak sebagai penyebar agama Islam. dikatakan kerajaan Turki ada mengirim bantuan, tetapi sayang dihancurkan di lautan sebelum sampai ke Melaka!

Terlalu banyak rahsia bekas kerajaan silam yang telah dan masih perlu dicari demi membuktikan bahawa ummat Melayu Nusantara adalah bangsa yang amat hebat di zaman silam. 

Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang amat mahir dengan dunia pelayaran dan amat pandai bermain dengan lautan. Bangsa Melayu memiliki kapal besar yang mampu belayar di lautan lepas. bangsa Melayu cukup mahir dengan ilmu di lautan seperti rahsia penentuan utara, selatan, timur dan barat. begitu juga dengan rahsia tiupan angin.

Kini sebahagian anak-anak Melayu seolah-olah telah diracun bahawa yang lebih moden, lebih hebat, lebih bijak adalah orang Inggeris si bangsa penjajah. Kononnya segala macam ilmu pengetahuan adalah berasal dari sana dan kononnya kalau menguasai bahasa Inggeris menujukkan kebijaksanaan. 

Bahasa Melayu dan tulisan jawi makin kurang diketahui dan makin terpinggir . Pendek kata kita bukan lagi memperkasa bahasa Melayu kita malah telah memperkosanya apabila kita mencampur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa inggeris!

Insyaallah perbincangan mengenai kegemilangan Melaka dan keupayaan bangsa Melayu dalam ilmu peperangan akan dibincangkan dalam topik yang lain kemudian. Masih banyak lagi yang tidak diketahui oleh masyarakat Melayu dan bukan Melayu di luar sana mengenai kehebatan bangsa Melayu dalam ilmu perang. sekian buat masa ini.

1 comment:

Anonymous said...

salam...adakah post ini masih baru lagi?saya berminat untuk berbincang beberapa perkara dengan saudara...sudikah?sila like page facebook saya https://www.facebook.com/bacmente dan kita boleh berbual di situ...terima kasih banyak...:)