Saturday 18 August 2012

ILMU PERANG MELAYU.


Selain daripada masyarakat di Tanah Jawa, masyarakat Melayu di Semenanjung juga  turut mempunyai kesedaran atau ilmu mengenai pelbagai taktik perang berbentuk tipu muslihat.

Salah satu daripada strategi ini ialah dengan menggunakan mata-mata dan juga penyamaran. Peristiwa mengenai helah dan tipu muslihat sebegini turut dicatat oleh pegawai-pegawai Inggeris yang berada di Semenanjung Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

 Sewaktu British membantu Siam mengepung perairan Kedah pada 1838, pihak British telah tertipu dengan strategi dan helah pahlawan Melayu Kedah iaitu Tengku Muhammad Ali.

 Beliau dikatakan telah berjaya melarikan diri daripada Kedah dengan menaiki perahu yang dipenuhi dengan wanita dan berpakaian wanita. 

Walaupun tentera British telah mengepung Kuala Kedah namun perahu tersebut tetap terlepas kerana menganggap perahu tersebut hanya mempunyai wanita sahaja.

 Menurut Sherard Osborn, iaitu salah seseorang kelasi British yang menjadi saksi peperangan tersebut, orang-orang Melayu Kedah sebelum menghadapi penyerangan Siam secara besar-besaran telah cukup bersedia.

 Persediaan yang mereka lakukan adalah amat rapi dengan jangka masa yang tepat dan dalam keadaan rahsia. Kenyataan ini menunjukkan bahawa tentera Melayu Kedah amat mahir dalam membuat persiapan peperangan secara rahsia.

 Ini mungkin disebabkan kerajaan Kedah senantiasa mendapat ancaman daripada Siam dan oleh itu mereka sentiasa berwaspada dan meneliti strategi-strategi peperangan Siam.

Tengku Kudin salah seorang pejuang  Kedah juga pernah menjalankan taktik penyamaran. Sewaktu beliau mahu membuat percubaan kali ketiga untuk menawan semula Kota Kuala Kedah daripada pegangan Siam, beliau telah menyamar sebagai seorang sepoi Inggeris dan memakai seragam merah.
Hasilnya tentera Kedah berjaya memasuki Kota musuh dan menawan Kota tersebut. 

 Kesultanan Aceh pada zaman kegemilangannya juga pernah menggunakan strategi berbentuk tipu muslihat dan helah bagi mengaburi musuh mereka iaitu Portugis di Melaka.

 Dikatakan bahawa sultan Aceh ketika itu, Sultan Mansur Shah telah mengumpulkan angkatan yang besar terdiri daripada orang-orang Aceh dan Sumatera serta orang negeri perak untuk menyerang Melaka. 

Bagi mengaburi pihak Portugis, maka Sultan telah mengumumkan bahawa bala tenteranya akan pergi menyerang Tanah Jawa. Baginda juga telah menghantar hadiah kepada Gabenor Portugis di Melaka untuk mengelakkan syak wasangka mereka.

 Selain itu, Aceh turut menghantar mata-mata atau spy untuk mengalih mengintip pertahanan laluan selat Melaka ke Pelabuhan Melaka dan juga untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa Portugis.

 Walaupun usaha mata-mata ini tidak berjaya kerana dia ditangkap dan diseksa sehingga terpaksa membocorkan rahsia, namun strategi dan helah yang digunakan oleh baginda Sultan untuk menyerang Melaka dianggap sebagai suatu yang bijak dan boleh dibanggakan pada masa itu.

Dalam peristiwa perang saudara di Selangor pula dapat dipastikan bahawa pasukan ketenteraan bantuan daripada Pahang sememangnya telah mempunyai strategi formasi ketenteraan yang mantap sebelum berangkat ke Selangor. 

Mereka telah mengatur langkah dan perbarisan mereka sejak dari Pahang lagi dengan diketuai oleh Datuk Bahaman. Datuk Bahaman telah membagikan pasukan Pahang kepada beberapa ketumbukan. 

Pasukan yang akan menjaga sempadan negeri daripada dimasuki musuh yang melarikan diri dari Selangor akan diketuai oleh Datuk Orang Kaya Haji Lipis dengan dibantu oleh Mat Kilau bersama ayahnya Datuk Gajah. Manakala urusan pertahanan dari laut pula akan diketuai oleh datuk Shah Bandar Jidin.

Manakala barisan utama yang akan bergerak menentang pemberontakan di Selangor adalah terdiri daripada 3 pasukan. Pasukan ini kemudiannya akan dipecahkan untuk membentuk beberapa ketumbukan kecil tentera. 

Ketua turus angkatan tentera ini adalah Datuk Bahaman sendiri. Apa yang uniknya ialah pasukan-pasukan ini diberikan nama kod tertentu untuk memudahkan pembahagian. Antaranya ialah pasukan semantan yang dikepalai oleh datuk Bahaman, pasukan pulau tawar atau imam perang rasul dan pasukan datuk Shah Bandar atau pasukan Benta.


Dato Bahaman, antara strategis Melayu terulung sehinggakan Huge Clifford pernah memuji kebijaksanaan beliau.


Dalam tentera pasukan Semantan datuk Bahaman telah membahagikan pula tugas-tugas kepada beberapa pegawai-pegawai perang yang terdiri daripada panglima-panglima atau Imam Perang.

 Antaranya ialah Imam perang Mat Akil untuk menjadi panglima dengan dibantu oleh Imam perang Gendut, Imam perang Che Indot, Datuk Johan Perkasa Cik Hassan, Imam perang Khatib Bahrain dan Imam perang Besar Masjid.

 Apa yang uniknya ialah ketua bagi sesebuah ketumbukan tentera di Pahang menggunakan gelaran Imam perang dan ketua kepada semua Imam perang adalah panglima.

 Setiap Imam perang akan mengetuai ketumbukan tentera yang mempunyai lebih kurang 300 hingga 600 orang askar. Pasukan-pasukan ini pula telah ditugaskan untuk menyerang kawasan-kawasan yang berbeza di negeri Selangor. 

Strategi membahagi-bahagikan beberapa bahagian tentera ini menunjukkan bahawa Datuk Bahaman adalah salah seorang ahli strategis yang handal dan dapat mengagak untung rugi yang bakal dihadapi mereka dalam perang ini. Oleh itu dengan membahagikan pasukan kepada 3 kumpulan akan mengurangkan risiko kehilangan askar yang ramai dan dapat menyerang musuh daripada segenap arah.



Peperangan di Selangor ini juga memperlihatkan kebijaksanaan Raja Mahadi sebagai pemimpin pasukan perang Selangor. Beliau telah menjalankan strategi tipu muslihat untuk jangka panjang iaitu dengan memerintahkan Panglima Mashor menawan Kuala Lumpur. Dengan tertawannya Kuala Lumpur beliau telah berjanji dengan Sultan Selangor akan memberikan hak pembahagian cukai di sana dan di Kelang kepada Sultan sendiri. 

Baginda diharapkan akan bertambah yakin dengan kekuatan beliau. Hal ini akan menguatkan kedudukannya dalam pertikaian politik di Selangor dan sekali gus mendapat sokongan Sultan. Seperti juga pasukan Pahang, pasukan panglima Mashor juga telah menyerang Kuala Lumpur dari tiga penjuru iaitu utara, timur dan selatan. 

Selain itu pasukan penentang dari Tengku Kudin pula telah menggunakan pengakap-pengakap hutan ataupun pengintip dalam taktik peperangan mereka. Pengakap ini digunakan untuk mengintip kekuatan dan kedudukan musuh.

Penyerangan terhadap Kuala Lumpur yang dibuat oleh Tengku Kudin adalah amat sukar kerana di pertahankan dengan sengitnya oleh Panglima Mashor. 

Ramai pasukan Pahang yang turut terkorban. Hal ini adalah kerana pasukan tentera Panglima Mashor menggunakan taktik serangan hendap terhadap pasukan-pasukan Pahang yang menyerang ke Kuala Lumpur.

 Mereka turut memasang perangkap di Ampang, Ulu Kelang dan Kepong. Bagi mengelakkan pasukannya banyak kehilangan nyawa, datuk Bahaman telah mengarahkan agar pasukannya berundur untuk seketika. 

Datuk Bahaman kemudiannya telah membentuk pasukan kecil yang khas terdiri daripada pahlawan-pahlawan handal dalam jumlah yang kecil bagi melakukan serangan mengejut dan menghapuskan perangkap-perangkap yang dibuat oleh Panglima Mashor.



Kebijaksanaan Datuk Bahaman dalam mengatur strategi perang juga makin terserlah apabila beliau berjaya menyerang Kuala Lumpur daripada dalam, melalui penyamaran sebagai seorang sakai atau pelarian perang.

 Setelah berjaya menyusup masuk maka orang-orang Pahang telah menggempur kubu-kubu pertahanan Kuala Lumpur dari dalam. Akhirnya orang-orang Pahang telah berjaya menawan Kuala Lumpur daripada Sayid Mashor. 

 Akibat daripada kejayaan ini Sultan Selangor telah menganugerahkan gelaran dan persalinan kepada semua pahlawan Pahang dan Datuk Bahaman digelari sebagai Orang Kaya Indera Pahlawan dan mendapat kedudukan sama seperti pembesar Selangor.

No comments: