Thursday, 16 August 2012

PELAYAR MELAYU PELAYAR HEBAT!!!!

Replika kapal Borobodur.


Sejak Abdullah Munsyi seorang kerani Melayu keturunan mamak dan Arab menulis mengenai bangsa ini, besar sungguh inferiority complex yang dialami mereka. Bangsa ini dicemuh sebagai sebuah bangsa yang pemalas dan tak kenal dek untung. 
Sehingga kini kita tidak mengetahui apakah niat sebenar Abdullah Munsyi membuka pekung didada yang mungkin tidak wujud atau hanya wujud dalam sebahagian kecil masyarakat Melayu sahaja. 
Ada pihak berpendapat mereka melontarkan tohmahan dan cabaran bertujuan sebagai kritikan membina, namun pada pendapat saya ianya langsung tidak dapat membina keperibadian bagi masyarakat Melayu kemudiannya malah melemahkannya sehingga ke tahap- yang paling dasar. Mungkin Abdullah merasa lebih superior kerana mendapat tempat didalam masyarakat penjajah kolonial dan menjadi orang kepercayaan mereka.
 Mungkin juga kerana beliau tidak pernah mengaggap diri beliau sebagai Melayu sebabnya dia bukan keturunan Melayu tulin dan hanya menjadi Melayu kerana tinggal dikawasan orang Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.



Pendapat yang mengatakan bahawa ianya hanyalah kritikan atau motivasi yang membangun, bagi saya adalah sesuatu yang kurang berasas. Jika bangsa-bangsa lain sebagai contohnya bangsa cina, mereka tidak akan sesekali merendah-rendahkan martabat dan cara hidup bangsa mereka di hadapan bangsa lain apatah lagi bangsa barat yang dianggap mereka sebagai orang gasar yang kurang bertamadun tidak seperti orang-orang timur. 
Begitu juga dengan bangsa India, Jepun dan Korea. Mereka seboleh-bolehnya mahu menonjolkan semua unsur-unsur positif sahaja mengenai bangsa mereka kepada bangsa lain dan menutup segala kelemahan walaupun ianya ternyata wujud. 
Semangat patriotism seperti inilah yang telah membangkitkan jati diri bagi bangsa-bangsa mereka sehinggakan bangsa mereka boleh menjadi salah satu bangsa yang disegani dunia sehingga sekarang.



Ada juga pihak yang menuduh bangsa yang satu ini adalah bangsa yang penakut dan tidak sukakan cabaran! Apa?...PENAKUT? oh tidak, tidak sama sekali! Bangsa Melayu ini sejak ribuan tahun adalah diantara bangsa yang sangat pemberani sifatnya. Sifat kebenarian orang Melayu boleh dilihat sepanjang lembaran sejarahnya.
 Sejak kemasukan Islam ke Nusantara orang Melayu telah diperkenalkan dengan konsep kehidupan akhirat yang kekal abadi dan mati shahid, maka sifat berani untuk mati itu menjadi semakin tebal dalam masyarakat Melayu. 
Orang Melayu berani mati namun bukan mati sia-sia atau mati katak sebaliknya mati dalam keadilan dan mati yang bermanfaat. Hal ini dapat dilihat dengan memerhatikan adat orang dulu-dulu yang suka menghantar anak-anak mereka belajar silat. 
Apabila anak itu diserahkan kepada guru silat akan disertakan sekali dengan kain putih sehelai yang melambangkan kain kafannya, sintok dan limau nipis untuk memandikan jasadnya dan ayam putih untk kenduri arwahnya. 
Orang tua dahulu tahu risikonya amat besar apabila menyerahkan anak untuk belajar silat pada zaman dahulu kerana dahulu silat tidak diajar secara olok-olok dan senjatanya juga adalah senjata tajam yang betul.
 
Semangat keberanian orang Melayu jugalah yang telah menyebabkan mereka bisa menyebar keseluruh kepulauan Nusantara dan membina tamadun yang gah suatu ketika dahulu. Sejarah telah mencatatkan bahawa kegiatan perdagangan yang ulung di rantau ini telah bermula sejak 200 tahun sebelum masihi lagi iaitu dimasa kegemilangan empayar Rom di Barat dan Dinasti Han di China. 
Pada peringkat awalnya kapal-kapal dagang cina dan India tidak mampu menempuh badai lautan yang begitu hebat bagi mereka. Mereka hanya mengemudi kapal-kapal mereka di pesisran pantai mengelilingi benua-benua sehingga sampai ke destinasi. 
Mereka juga tidak berani menempuh laut cina selatan yang sentiasa bergelora dan juga takut untuk merentasi Temasik dan selat Melaka. Sesetengah ahli sejarah berpendapat mereka pada awalnya amat takut untuk melepasi selat Melaka untuk terus ke India kerana kuatir diserang lanun-lanun Melayu yang amat banyak ketika itu. 
Jadi mereka hanya membataskan jalan perdagangan mereka di Vietnam, Thailand dan segenting kra sahaja. Namun alasan yang lebih munasabah ialah mereka takut untuk menempuhi geloran di musim-musim monsoon dan tambahan lagi mereka pada ketika itu masih tidak mempunyai teknologi perkapalan yang dapat mengatasi masalah tersebut.



Kedudukan ini mula berubah apabila para pedagang Melayu mula memasuki era perdagangan antarabangsa pada zaman kegemilangan empayar Funan sekitar abad ke 4 masihi. Para pedagang Melayu ini mempunyai sejenis kapal layar yang dipanggil Jong dan membawa muatan rempah ratus yang belum pernah dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di dunia. 
Rempah tersebut adalah seperti buah pelaga, cengkih, bunga lawang dan buah pala. Selain itu orang Melayu juga memperkenalkan kapur barus dan kayu gaharu yang sangat tinggi nilainya. Disinilah teknologi maritim orang Melayu telah membawa kemakmuran terhadap bangsanya sehingga terdirinya empayar Srivijaya dan seterusnya empayar Melaka.

Pelayar-pelayar Melayu disebut oleh ahli-ahli sejarah sebagai skilled navigators yang mampu merentas lautan tanpa menggunakan kompas dan peta. Mereka hanya menggunakan angin dan bintang sebagai panduan.
 Mereka membaca cuaca dengan meneliti bentuk awan dan warna langit, air dan alun serta riak ombak. Melalui pemerhatian terhadap burung dan alun laut mereka dikatakan dapat mengetahui kedudukan sesebuah daratan dari jarak 30 batu dari laut!
 Jong-jong Melayu pula diperbuat daripada kayu keras dan tidak menggunakan paku. Papan dan kayu diikat menggunakan penyambung kayu dan jika perlu rotan dan akar yang tahan akan digunakan.
 Jong-jong ini dilengkapi dengan empat layar dan dua kemudi. Setiap jong juga boleh memuatkan barangan seberat 500 hingga 1000 tan melebihi keupayaan mana-mana kapal layar pada masa itu.
 Menurut Tome Pires dari segi efisiensi jong Melayu adalah lebih baik daripada mana-mana kapal yang wujud pada abad ke 15. Keunikan jong Melayu yang membezakannya dengan kapal-kapal lain ialah semenjak beberapa abad sebelum masihi sehingga 4 masihi adalah kebolehannya meredah angin dan justeru itu meneroka lautan yang luas dan dalam.



Setelah melihat kehebatan jong-jong Melayu ini selama berabad-abad berniaga, bangsa-bangsa pedagang lain seperti India, china, Arab sehingga sepanyol dan portugis mula meniru teknologi yang dipakai oleh orang Melayu.
 Teknologi unik yang membolehkan orang Melayu meredah badai ini adalah layar yang berbentuk empat segi yang dipasang satu didepan dan satu di buritan jong. Layar ini dicondongkan ke bawah dan boleh pula dipusing-pusingkan ke kiri atau ke kanan. 
Layar istimewa ini membolehkan jong Melayu meredah dan menentang badai dengan mudah dengan cara menghadapkannya di bahagian hadapan kepada tiupan angin secara menyerang.
 Layar empat segi di belakang dipusingkan untuk memerangkap angin tadi supaya ianya bertiup secara terlencong ke hadapan menolak layar-layar di tengah melawan badai. Justeru jong dapat bergerak kehadapan secara menyerong. 
 Dengan memanipulasikan layar empat segi secara menggilirkan pusingannya maka jong dapat berlayar terus menerkam menentang tiupan angin dan badai mengikut laluan zig-zag. Dengan menggunakan layar ini para pelayar Melayu mempunyai banyak competitive advantage untuk berdepan dengan pedagang lain.
 Mereka boleh ke China, India, yaman, malahan mungkin Madagaskar dan Mesir pada bila-bila masa mereka suka tanpa menunggu tiupan angin yang sesuai.

Penggunaan teknologi ini bertahan ditangan orang Melayu sehingga abad ke 1 sebelum masihi dimana para pelayar Arab yang berdagang sekitar lautan Hindi mula menirunya. Pada abad ketiga selepas masihi pelayar Arab mula menggunakannya di lautan meditranian.
 Ianya kemudian ditiru oleh pelayar portugis pada abad ke 15 masihi. Dengan menggunakan teknologi inilah kapal-kapal portugis dapat berlayar merentas badai sehingga ke Melaka dan kemudian menemui New World di Amerika.
 Satu lagi teknologi ciptaan Melayu ialah outrigger yang menjadi pengimbang untuk menstabilkan perahu induk. Dengan perahu yang menggunakan outrigger ini orang Melayu berhijrah 3000 batu ke barat menduduki pulau madagaskar dan berbelas batu ke selatan menduduki pulau-pulau pasifik semenjak millenium sebelum masihi. Pendek kata sifat berani orang Melayu telah wujud sejak 5000 tahun sebelum masihi lagi!


Menurut catatan fa xian iaitu seorang sami buddha dari China yang berjalan ke India menggunakan jalan daratan gunung dan balik semula ke China menggunakan jalan laut dengan menggunakan kapal Melayu.
 Beliau menyatakan bahawa orang-orang yang boleh menerkam badai adalah lebih hebat daripada org yang mendaki puncak gunung. 
Pada tahun 399 masihi fa xian yang berumur 65 tahun berangkat dari Changan menuju ke utara India untuk bertapa dan menuntut ilmu. Beliau memilih jalan darat yang membawanya merempuh padang pasir, memanjat gunung karakoram, meniti lerengan setinggi 8000 kaki dimana udaranya kurang oksigen dan menyusahkan usaha mengangkat kaki. 
Selepas bertapa dan berguru di India selama 15 tahun akhirnya beliau kembali ke China pada tahun 415 masihi. Beliau tidak lagi berani mengambil laluan yang sama dijalaninya kerana pengalamannya yang terlalu ngeri.


 

Dari utara India beliau turun ke Sri Lanka menaiki kapal pedagang Melayu bersama 200 penumpang lain menuju kepulauan Melayu. Apa yang dialaminya adalah lebih mengerikan daripada masa perjalanannya ke India melalui daratan dahulu. 
Kapal ini menurutnya tidak menyusuri pantai seperti kapal-kapal lain tetapi ia merentas lautan Hindi menuju ke Aceh dan seterusnya ke selat Melaka. Dua hari berlayar fa xian menceritakan ribut besar telah melanda lautan.
 Ribut ini berterusan selama 13 hari menyebabkan berlakunya kerosakan besar kepada kapal. Anak-anak kapal membaikinya di sebuah pulau dan mereka meneruskan perjalanan ke selat Melaka. Pengalaman fa xian di lautan Hindi selama 13 hari ini diikuti pula dengan dilanda taufan dari laut china selatan.

Lebih dasyat lagi bahana taufan ini sehingga kapalnya sesat selama 70 hari di laut sebelum beliau sampai balik ke kampong halamannya. 
Riwayat fa xian ini membuktikan bahawa sejak zaman Srivijaya lagi para pelaut Melayu telah menemukan jalan pintas yang merbahaya kepada kapal-kapal bangsa lain. Jalan-jalan ini adalah jalan lurus yang merentas lautan dalam. 
Hanya keberanian mereka sahaja yang membolehkan mereka menerokainya. Penggunaan jalan pintas ini membolehkan jong-jong mereka menjimatkan masa perjalanan dalam perdangangan antarabangsa diantara timur dengan barat. Justeru itu sebelum kewujudan Melaka lagi Srivijaya telah menjadi pusat entreport yang terulung selama enam abad.

Rumusannya keberanian bangsa Melayu menghadapi badai inilah maka terhasilnya teknologi pelayaran yang membolehkan mereka berlayar jauh dan menerkam badai. Mereka melihat badai sebagai sebuah halangan yang mengancam cita-cita mereka dan harus ditempuhi.  Wallah hu a’lam.

Bibliografi;

Dato’ Dr Afifudin Hj Omar, dalam ‘Pendekar’.

No comments: