Thursday, 20 June 2013

SEKOLAH VERNAKULAR PERLU DIHAPUSKAN!!!



Sekolah vernakular tidak memupuk perpaduan nasional.

 by Generasi Pejuang Bangsa
 



- Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.


Katanya, SJK wajar dijadikan sekolah kerajaan yang masih mengekalkan aspek fizikal, namun mengutamakan pembelajaran berkaitan bahasa ibunda berbilang kaum di negara ini.


"Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan SJK. Tetapi apa peranan SJK? Apa keperluan tentangnya?


"Saya cadangkan SJK ditukar kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja telah sekolah kebangsaan sediakan, SJK tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Percambahan Minda bertajuk 'Kedudukan Sekolah Vernakular daripada Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan' di sini hari ini.


Mohd. Noor dalam pada itu berkata, kewujudan SJK sebenarnya tidak selari dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Sambil mempersoalkan dasar pendidikan yang membenarkan sistem persekolahan vernakular wujud di negara ini, Mohd. Noor berkata, dasar itu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.


"Kenapa adakan sekolah berasingan untuk masyarakat? Bukankah baik jika kita pergi ke satu sekolah dan belajar apa sahaja yang kita hendak di sana," katanya.


Katanya, penyatuan sudah pasti akan berlaku apabila semua rakyat Malaysia pergi ke sekolah yang sama kerana tiada lagi jurang perbezaan antara pelbagai kaum.


"Masa rehat dan sekolah habis boleh bersama-sama. Bayangkan rakyat Malaysia boleh hidup begitu. Keadaan inilah yang tidak ada masa kini," katanya.


Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, kewujudan SJK merupakan satu bentuk diskriminasi kerana memberikan keutamaan kepada kaum tertentu sahaja, namun tidak memperoleh kelebihan kepada komuniti lain.


"SJK Cina dan India antara lain mengajar bahasa Cina dan Tamil. Sementara kerajaan tidak mewujudkan sekolah kebangsaan untuk kaum-kaum lain. Bagaimana pula dengan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai keturunan?," soal beliau.


Oleh kerana itu, Mohd. Noor menegaskan adalah penting sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan diwujudkan di negara .

1 comment:

hisemudinkasim.blogspot.com said...


Mengenai isu sekolah vernakular, ianya banyak dibincangkan oleh mereka yg tidak berada dalam kelompok sekolah Cina itu sendiri. Maka fakta-fakta yg diutarakan juga tidak tepat. Oleh itu sila baca kupasan saya yg berada dari kelompok pendidikan Cina yang bertajuk," isu sekolah vernakular : ke mana haluan SJK Cina".

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/06/isu-sekolah-vernakular-ke-mana-haluan.html