Hikmah Berpuasa.
Puasa adalah latihan untuk seseorang mendidik dirinya mengatasi rutin harian iaitu dengan meninggalkan nafsu makan dan nafsu syahwat. Ianya juga proses melatih diri supaya bersabar serta sanggup menghadapi kesulitan. Semua ini boleh meningkatkan keimanan dan ketaqwaan.
Hikmah pensyariatan puasa sangat besar dan sebahagianya masih tersembunyi dalam ilmu Allah SWT. Jika ummat semakin bersungguh-sungguh melaksanakannya semakin banyak terbongkar hikmah dan faedahnya.
Dari sudut kerohanian hikmah puasa tidak akan difahami sepenuhnya sehingga manusia itu memahami hakikat penciptaannya.
Adakah manusia itu hanya suatu kerangka tubuh yang tegak bergerak ke sana dan ke mari?
Adakah manusia ini hanya satu kejadian yang terkumpul padanya sel-sel darah, urat saraf daging atau tulang temulang?
Jika manusia ini hanya seperti itu pastinya ia satu kejadian yang rendah martabatnya atau sekurang kurangnya tiada beza dengan haiwan. Pada hakikatnya insan ini adalah roh yang diutuskan oleh Allah dari langit untuk diletakkan pada jisim atau jasad yang tinggal di bumi.
Dengan roh inilah manusia lebih tinggi darjatnya daripada haiwan. Dengan roh inilah manusia sanggup memikul amanah memakmurkan bumi dan kerana roh inilah Allah SWT memerintahkan malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam A.S.
Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ” Sujudlah kamu kepada Adam”. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang kafir.”
(Surah al-Baqarah 2:34)
Bukan kerana kejadiannya dari tanah tetapi kerana roh yang ditiupkan padanya. Itulah manusia jasadnya dari tanah, rohnya dari langit.
Jasad bagaikan rumah atau kenderaan manakala roh bagaikan penghuni dan pemandunya.
Sebuah rumah didirikan dan didiami dan bukannya sekadar perhiasan sia-sia . Sebuah kereta dicipta bukan sia-sia, bahkan untuk dipandu.
Tetapi anehnya insan selalu mengambil berat tentang penjagaan rumah tetapi mengabaikan penghuninya. Mengambil berat tentang keretanya tetapi mengabaikan penumpangnya. Mereka mementingkan jasad tetapi mengabaikan rohnya.
Bertitik-tolak dari sini Allah mewajibkan berpuasa untuk membebaskan tekanan jasad dan nafsu untuk meninggikan darjat roh tersebut. Puasa adalah satu ibadah yang diamalkan oleh penganut penganut ummat terdahulu.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)
Puasa juga meningkatkan kekuatan jasmani dan tubuh badan. Ramai pesakit yang mengidap penyakit disebabkan tidak mengamalkan cara pemakanan yang betul.
Usus merupakan takungan makanan dan minuman maka menahan makan dan minum adalah langkah mengawal dari segala penyakit dan pensyariatan puasa adalah hikmah yang sangat tinggi untuk mengelak daripada pelbagai penyakit.
Dari aspek akhlak ibadah puasa boleh memperkuatkan keazaman dan kesabaran. Orang yang berpuasa mampu menahan lapar sekalipun makanan yang lazat-lazat terhidang di hadapannya.
Seseorang itu sanggup menahan dahaga sekalipun minuman berada dihadapannya. Ia sanggup menahan sebarang hubungan kelamin sekalipun isteri berada di sisi.
Tidak ada yang mengawal kecuali rasa dilihat oleh Allah SWT. Keadaan ini berulang ulang selama 14 jam setiap hari selama 29 atau 30 hari. Inilah bulan Allah SWT mendidik mukmin supaya bersabar dan meningkatkan keupayaan yakni keupayaan mengawal nafsu makan minum dan hubungan kelamin.
Oleh itu hasil madrasah ramadhan mampu melahirkan insan yang tinggi kehendaknya.Tinggi semangat juangnya malah semakin bersungguh sungguh dalam beribadah. Ayuh, sama-sama kita tanamkan keazaman untuk menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK
Ustazah Norhayati Salleh
AJK Biro Tarbiyah
ISMA Kuantan
No comments:
Post a Comment